Chapter Five

545 21 8
                                    

"Awak, isteri Imam Muda ya?" terluah juga rasa cemburu yang hadir namun masih dikawal rapi.

Aku menelan liur yang tiada. Debaran menghentak dadaku. Memujuk hati agar bersedia dengan jawapan yang diterima.

Jika ya... dia maduku?

Dalam pada suasana sengit bagiku ini, aku terdengar tawa halus yang keluar daripada bibir Ashraf. Surut kembali rasa cemburu dan debaran melihat Ashraf yang tertawa sopan. Walaupun begitu, keningku masih bertaut hairan. Aku mahu mendengar penjelasan daripada mulut Ashraf. Aku tetap memfokuskan mata dengan riak terpinga-pinga sambil memandang Ashraf.

"Tidak. Ini, Rania Adeeba. Sepupu saya. Saya cuma temankan dia buat lesen pagi ini. Mak Long saya minta tolong temankan Rania memandangkan tiada siapa menghantar Rania," dengan tutur kata yang sopan, Ashraf menjelaskan kedudukan mereka yang sebenar.

Secara tidak langsung, aku terangguk kepala dengan rasa malu yang tebal terhadap Ashraf. Tersasar jauh anggapanku kepada Ashraf. Cemburu betul ya jika Ashraf sudah berpunya? Alhamdulillah. Hal yang aku takutkan sebentar tadi, hanyalah prasangka aku semata. Ini bermakna aku masih berpeluang untuk mendekati Ashraf. Yes! Bertukar ceria wajahku dengan senyuman yang sangat lebar di hadapan mereka.

"Hai, I Veevy, Nik Veevy Naddyra. Kawan kepada Ashraf," selepas reda peperangan perasaan apabila tercabar dengan kewujudan si gadis Rania Adeeba, aku mengenalkan diri kepada Rania.

"Kawan Abang Ashraf?" Rania Adeeba kelihatan terkejut mendengar pengakuanku. Mata bundar itu pantas mencari mata Ashraf di sisinya. Seakan-akan meminta penjelasan lebih terperinci terhadap pengakuan aku sebentar tadi.

"Ya, Rania. Kawan Abang Ashraf masa kami satu penerbangan dari Ireland," Ashraf membenarkan pengakuanku sebentar tadi bersama anggukan kecil darinya.

Rania Adeeba seperti terkedu dengan penerangan Ashraf. Dia kemudiannya kembali memandangku dengan mata terkebil-kebil. Errr! Entah reaksi yang bagaimana perlu aku tunjukkan kerana mukaku terasa sangat ketat. Sungguh...aku kekok berdepan dengan renungan tajam Rania Adeeba di serata wajah dan tubuhku yang terdedah di bahagian bahu!

Dibandingkan dengan penampilan Rania Adeeba yang tertutup sempurna, reputasiku pasti sangat hancur di mata Ashraf. Jika digandingkan dengan Imam Muda Muhammad Nur Ashraf, Rania Adeeba lebih layak di sisinya. Gandingan mereka terlihat indah dan lebih menyejuk mata. Jika dengan aku pula, aku dan Ashraf seperti dua manusia yang berbeza gaya hidup. Yang seorang dengan gaya warak dan seorang lagi dengan gaya kebaratan!

Hatiku terasa ngilu disedarkan oleh hakikatku sendiri. Senyum di bibir aku paksa agar kelihatan sempurna. Aku masih sedar diri dan untuk itu satu keputusan perlu dibuat. Aku perlu mengundur diri. Aku tidak mahu akui kekalahanku. Tetapi, duniaku dan dunia Ashraf begitu jauh berbeza. Sesungguhnya, aku masih belum layak untuk kekal di dalam hidup Ashraf. Apatah lagi, mendapatkan Ashraf lalu memilikinya.

"Minta maaf ya menganggu. Tidak sangka pula ini kereta Ashraf. I ingatkan kereta kawan I. Jenis dan warna kereta sama. Katanya nak datang ambil tapi sudah sejam I menunggu. Minta diri dulu. Assalamualaikum," pedih bibirku di setiap patah perkataan yang aku ucapkan. Ini bukan saja di tahap yang rugi, malah aku harus mengakui kekalahan sendiri. Buat pertama kali, Veevy berundur daripada misi sendiri.

Pemegang pintu aku pegang namun aku masih berkira-kira untuk keluar. Aku masih mengharapkan Ashraf memanggil namaku lalu menghalang aku daripada pergi. Tolonglah halang, Ashraf! Tolonglah panggil nama saya dengan suara awak yang menyejukkan telinga saya.

"Waalaikumussalam."

Hampa hatiku sebaik saja mendengar salam yang dibalas hampir serentak oleh Ashraf dan Rania Adeeba. Ia seakan sebuah petunjuk buatku agar tidak lagi menyimpan harap untuk mendapatkan Muhammad Nur Ashraf. Mereka seperti ada telepati hingga bercakap pun beriringan.

Imam Muda Miss DivaWhere stories live. Discover now