Chapter Three

660 27 4
                                    

Buat apa dia di sini? Kenapa dia ada pula dalam rumah ini? Mengapa muka ini juga menjadi yang pertama aku lihat?  Sedangkan ada saja penghuni lain dalam rumah selain Salina. Atau nama lainnya, Salina Sotong! Gelaran khas aku berikan pada Salina kerana sikap gedik lentoknya itu. Macam Sotong yang tidak bertulang, begitulah Salina!

Darah panas menyerbu muka. Wajah Salina aku pandang sekilas saja. Dengan air mukanya yang sinis dan pandangan tajamnya, aku cukup tidak suka.  Muka tiada cahaya nur langsung. Terpandangkan saja wajah Salina, meruap perasaan marah! Tidak seperti ketika aku memandang wajah tampan milik empunya Muhammad Nur Ashraf. Terbias seri kelembutan dan ketenangan pada wajahnya. Menyejukkan hati!

"What are you doing here in my house Sally?" Tidak perlu bersopan dengan  Salina. Kesopananku nanti bakal ditertawakannya saja.

Di mata Salina, Nik Veevy Nadyra Tan Sri Nik Nazrin, seorang gadis yang teruk. Perangainya buruk. Minda Salina sarat dengan tanggapan negatif tentangku.

Lagi pula, Salina Sotong musuh abadiku.  Semuanya bermula dengan fitnah Salina. Jadi, aku tidak peduli apa pun tanggapannya. Aku tidak kisah.

Di hadapan ahli keluarga besar kami, Salina menuduh aku berzina dengan seorang kawan lelaki sekolah kami. Salina memang melampau. Salina sebenarnya tahu, bukan aku orangnya. Tetapi, Thania.

Apatah lagi, lelaki itu sangat diminati Salina. Thania pula merupakan kawanku dan juga anggota kumpulan Queen Babe's.

Salina semakin berani menggugah ketenangan ahli kumpulan Queen Babe's yang lain. Membuatkan hubungan kekeluargaan antara kami sebagai sepupu menjadi dingin.

Aku akui siapa saja yang tidak pernah mencemburui dan menaruh dendam dengan ahli Queen Babe's yang begitu terkenal dengan rupa paras yang cantik dan sikap diva yang mengalahkan primadona tanah air! Rata-rata mereka mendambakan anggota Queen Babe's kerana populariti kami. Biar beratus borang telah pun diisi untuk menyertai Queen Babe's, keesklusifan kami sukar untuk ditawan.

Tetapi bagiku meskipun dunia yang aku huni gelap, udara yang aku hirup bersama kotoran yang menyesakkan tetapi menjadi prinsip aku untuk tidak melampaui batas dengan lelaki.

"Veevy? Apa-"

"Siapa yang datang Sally?" tidak sempat Salina menghabiskan ayatnya, ada suara datang mencelah. Pantas saja, aku mahupun Salina menoleh gerangan empunya suara itu.

Dengan pantas, heels di kaki aku cabut lalu dengan sengajanya aku merempuh tubuh Salina. Tolakan yang kuat mendorong tubuh Salina beberapa langkah ke belakang. Lembik seperti sotong!

Salina melemparkan pandangan tajam mautnya. Dia sedar tindakanku memang sengaja. Biarlah asalkan puas hatiku melihat air muka Salina yang masam mengalahkan asam keping Tesco. Aku tidak kisah pun!

"Mummy! I'm back!"

Tidak sempat Salina membuat serangan balas, susuk anggun mummy muncul di ruang tamu. Tidak mungkin Salina berani buat onar di hadapan mummy.

Secara tiba-tiba, mummy menghentikan langkah kakinya di sekerat jalan. Matanya terkebil-kebil dan menyepet seketika. Aku dipandang dari atas dan  bawah. Air muka mummy berubah terkejut dengan mata yang sudah terbeliak besar.

"Vee, anak mummy? Vee? Veevy!"

Mummy berlari mendapatkan aku. Aku ikut berlari, merangkul tubuh anggun mummy ke dalam pelukan hangatku. Kami berpelukan erat setelah lima tahun berjauhan. Kalimah syukur terdengar meniti di bibir mummy. Luluh hati ini.

"Mummy, I'm so sorry. I know I'm such a bad daughter. Vee-"

"Veevy Nadyra dah cukup. Tak mengapa Veevy. Mummy tak berkecil hati. Sekarang, Veevy dah balik. Mummy cukup bersyukur sayang," kelembutan dua belah telapak tangan mummy mengelus pipiku. Air mata yang bertamu tidak dibiarkan membasahi wajahku.

Mataku meredup saat wajah cantik mummy kini betul-betul di hadapan. Wajah yang sangat aku rindui saban lima tahun lalu. Aku kembali mendakap tubuh mummy. Tenang hati ini. Kecamuk perasaanku mereda dengan kehangatan pelukan mummy.

"Mummy..."

"My precious Veevy... janji jangan tinggalkan mummy?"

"Vee janji mummy."

Janji yang mummy pinta, aku ikat dengan sesungguhnya. Cukuplah sekali. Aku tidak sanggup. Yang lepas telah pun berlalu. Kali ini, aku sedia membuka hidup baru.

"I'm so glad Vee you finally make your way back home! We've been waiting for you for ages!"

Ingatkan Salina sudah pergi daripada sini. Rupa-rupanya ada lagi! Siap menyindir pedas pula. Ish!

"Mummy rasa sesaklah nafas Vee. Apa Sally buat dekat sini ni? Pardon, I need my space please!" Aku sudah tidak mampu lagi mengawal rasa geram aku dengan kehadiran Salina. Entah apa yang dia buat dekat sini?

"Sally, biar aunty habiskan masa dengan Vee. Sally pergilah naik atas beritahu yang lain," mummy mengarahkan Salina sekali gus memenangi aku.

Salina dengan wajah yang dimaniskan, mengangguk dan menurut arahan mummy. Di mata aku, Salina jelas memprotes. Bila mummy memandang ke wajahku semula, Salina di belakang mummy menghantar jelingan tajam.

Aku melemparkan senyuman. Setakat Salina, aku tidak tergugat. Tiada istilah untuk itu. Tahu sajalah nanti aku pasti dapat menundukkan Salina dan benamkan semula taringnya supaya Salina tidak sesekali berani berhadapan dengan aku lagi.

•••

Seharian aku menjawab pertanyaan yang diajukan kepadaku berkenaan dengan kehilangan aku lebih lima tahun, aku akhirnya terhampar di atas tilam empuk. Bagai peluru berpandu, aku ditembak dengan soalan tanpa henti. Antara soalannya berbunyi; Apa yang aku buat, belajar macam mana, sudah kerja atau tidak.

Setiap daripadanya, aku jawab dengan mengatakan aku menghabiskan masa dengan bercuti bersama kawan-kawan mengembara ke serata Eropah. Nasib aku baik kerana mereka percaya dengan alasan yang aku berikan. Oh ya! Kecuali... Salina Sotong.

Jelas dia marah dan geram kerana alasanku diterima baik oleh ahli keluarga lain. Sedangkan dia bulat-bulat yakin, aku sekadar beralasan menutup perbuatan sendiri.

Berkali-kali  Salina menyerkap jarang dan menimbulkan pertikaian terhadap alasanku. Mujur saja yang lain percaya. Tentang Salina Sotong, aku tidak peduli pun.

Hari-hari aku pasti akan susah dengan kewujudan Salina. Rupanya Salina Sotong, Uncle Salleh dan Aunty Suraya, berpindah masuk di vila ini 2 tahun yang lalu. Aku tidak berdaya mempertikai lanjut kerana kata mummy, mereka di sini atas permintaan eksklusif daddy. Kuasa veto daddy!

Kalau sudah tuan rumah kata begitu, apa lagi yang hendak aku katakan walaupun sebenarnya aku kurang menyenangi kehadiran Salina.

Aku dikejutkan dengan deringan telefon. Notifikasi twitter? Setelah memasukkan kata laluan, laman Twitter terpapar pada skrin telefon. Akaun Twitterku disebut Harees.


Harees @Veevnd Lady Vee is back!


Aduh! Suhu bilik yang tadinya sejuk terasa sudah berubah. Aku kini seperti cacing kepanasan! Tidak senang duduk selepas membaca tweet daripada seorang kawan sekolahku, Harees. Harees sangat rapat dengan setiap ahli kumpulan Queen Babe's.

Dahulu, jika Queen Babe's mahu mengupah perisik, Harees adalah perisik yang terhebat. Segala maklumat  berada dalam pengetahuannya. Meski hebat sebagai perisik, Harees akhirnya memilih juruterbang sebagai kerjaya.

Juruterbang! Apakah Harees terlihat aku di KLIA petang tadi? Aduh!

Aku berdecit kecewa. Belum masanya untuk aku dedahkan kepulanganku kepada Queen Babe's.  Tetapi sepertinya keberadaan aku akan diketahui tidak lama lagi. Queen Babe's pasti mencari dan menggali maklumat tentangku. Sekelip mata, pasti aku akan diketahui akhirnya.


(Thank you for reading chapter three. Please support me dear readers by vote and comment! I want to hear more about your thought on this chapter! ❤️ }

Imam Muda Miss DivaWhere stories live. Discover now