Sebagai serangan balas, aku mengukir senyum selebarnya.

"Oh ya! Itu kalau jadi ya. Jangan terlalu yakin dan bongkak ketika berkata. Tiada siapa mengetahui takdir. Yang bercinta pun boleh berpisah. Yang bertunang juga boleh putus. Malah, mereka yang berkahwin pun boleh bercerai," bersama senarai panjang hubungan aku kemuka. Fakta yang tidak boleh disangkal. Tambah-tambah lagi di zaman millineum ini, bersepah merata hubungan pada tahap yang tidak dapat diklasifikasikan.

Bersemarak bahang kepanasan dengan kata-kata yang aku lontarkan. Kemarahan tahap maksima, sehingga Rania Adeeba mendengus keras dengan mata ditala tajam ke arahku. Kalau matanya dapat mengeluarkan api, aku pasti sudah rentung dipanah api bercampur kilat kerana tenungan tajamnya. Mujur...bersama senyuman aku membalas tenungan mata Rania Adeeba.

"Awak memang melampau! Dengar ya baik-baik Abang Ashraf milik saya, suami saya, imam saya dan bapa kepada permata hati saya jadi...saya tidak gentar untuk bersaing dengan awak untuk mendapatkannya! Nasihat saya, sedarlah daripada mimpi. Berhentilah bermimpi di angkasa. Sedarlah sebelum tersedar. Sebelum pada saat awak terhempas ke lantai bumi. Pedihnya lebih perit. Jadi, selamatkan diri awak sendiri," Rania Adeeba memasak niat terbenam jauh ke lubuk hati. Siap dengan amaran dan kaunseling percuma diberi.

Memang aku tidak mahu menelan kata-kata Rania Adeeba. Tidak mahu terbawa hanyut oleh bicaranya. Menyimpan ia ke dalam otak, hingga emosi aku terganggu dan semangatku merundum. Namun, nasihatnya membuahkan persoalan juga di benak.

Mungkin aku boleh menipu Rania Adeeba dengan keberhasilan lakonan tanpa cacat-cela...mungkin senyum mampu aku ukir seakan tidak terasa hati...namun aku tidak mampu membohongi diri sendiri. Pada kala, Rania Adeeba membangkit bibit-bibit gaya hidupku yang nyata terumbang-ambing, aku jadi terkelu. Hanyut dengan buah fikiran sendiri.

Persoalannya, aku layak atau tidak untuk jejaka sempurna itu?

Aku tidak tahu. Aku merasa suka dan teruja bila dengan Ashraf. Aku merasa gembira di kala mata bertentang mata redupnya. Berdegup laju jantungku menerima senyuman manis bergulanya. Sehingga aku terasa dibawa terbang ke udara. Lepas...bebas.

Lenyap rasa beban itu. Rasa terkurung kerana silam lampau yang merantaiku. Silam yang banyak mendurjanakan diri. Memecah air mata sepanjang hari. Merobek hati hingga nafas seakan terhenti.

Aku mengenggam tangan, mencari semangat yang mulai pudar tatkala memori hitam berwayang kembali. Walau aku cuba sedaya upaya membuang jauh memori itu, ia tetap tersimpan dalam kotak memori.

"Kenapa tidak? Setiap manusia boleh bermimpi. Walau perkara itu sangat mustahil jika difikir logik akal, namun tiada satunya terbatas jika Allah berkehendak. Terima kasih atas nasihat tetapi I percaya takdir...takdir yang ditulis oleh Allah, itu lebih bermakna," berbekal keyakinan aku terhadap-Nya, aku masih mampu menyusun bicara dan bersuara. Ya...sejak Ashraf muncul dalam hidup, aku seakan mendapat sedikit keyakinan untuk kembali ke pangkuan-Nya. Sudah tiba waktu itu...aku milikNya.

"Baik kita lihat sejauh mana keyakinan awak terhadapNya. Tetapi, perlu ingat juga...adakah Dia terima doa yang dipohon, harapan yang ditagih seandainya manusia melanggar laranganNya? Layakkah kita mendapat simpati Dia, jika kita lupakan Dia? Sesungguhnya, kita perlu mencari cinta Dia dan mencintai Dia sepenuh hati sebelum mengenali cinta manusia," Rania bukan sekadar mengelukan lidahku, malah buat aku terpempan hebat dengan kata-kata yang tidak aku pasti niat sebenarnya. Jika mahu memberi nasihat, intonasi dan gaya bahasanya sarkastik dan sinis. Tetapi kata-kata Rania sememangnya benar.

Aku tidak sempurna.

"Nyata saya lebih sesuai untuk Ashraf. Saya alim dan warak.."

Aku sudah tertunduk. Serasa tidak sanggup mendengar lagi.

"Bertudung labuh...bertutup penuh...terjaga seperti rama-rama di dalam kepompongnya..."

Hatiku semakin sakit. Seperti dicucuk-cucuk duri bunga
Mawar daripada kebun Mak Long.

"Jika kami bersama saya pasti mengikutnya ke majlis agama. Jika kami berkeluarga, anak-anak kami tentunya soleh dan solehah." Sebegitu jauh 'to do list' Rania untuk dibuat bersama Ashraf! Tanpa segan silu bercerita seakan Ashraf sudah sah kepunyaannya. Ini bukan lagi bermimpi ke bintang, tetapi sudah jauh menuju ke komet-komet angkasa! Cinta di tahap kronik.

"Sekarang, fahamkan mengapa lelaki sepertinya tidak sepadan untuk awak? Dua dunia yang berbeza. Tidak kiralah awak bersedia masuk ke dunia Abang Ashraf...fikirlah adakah lelaki sempurna sepertinya bersedia memasuki ke dalam dunia awak. Pandangan masyarakat...suara-suara sinis menghina...mungkin darjatnya di mata manusia, berubah sekelip mata."

Secara automatik, tubuhku menggeletar. Hatiku terusik hebat mendengar pertikaian Rania. Berombak dadaku. Bukan kerana marah tetapi kerana pertikaian Rania itu ada benarnya.

Asyik bermadu kasih hingga aku buta menilai tanggapan dan pandangan daripada masyarakat. Aku tidak peduli diriku tetapi Ashraf...bukan calang-calang orang untuk aku bergandingan!

Perempuan moden berpenampilan seksi berpasangan seorang Imam Muda yang memberi kuliah di masjid?


Imam Muda Miss DivaWhere stories live. Discover now