BAB 1 - SI GENIUS

23 0 0
                                        

Alarm telefon berdering dari bawah bantal. Bo mengerang kecil.
Tangannya teraba-raba mencari telefon, lalu menekan snooze buat kali ketiga.

"Urgh... lima minit lagi..."

Dia baring semula, tapi cahaya matahari dari celah langsir berjaya menembusi kelopak matanya. Perlahan-lahan dia bangun sambil menguap panjang. Kipas siling berputar perlahan di atas kepala, dan bunyi hon motosikal dari luar rumah seolah-olah mengingatkan, selamat datang ke realiti, budak universiti.

Bo mencapai tuala, menuju ke bilik air. Beberapa minit kemudian, dia keluar dengan rambut masih basah, lalu berdiri depan cermin sambil menyikat rambut.

"Okay Bo, hari ni jangan lupa print report untuk Puan Zaleha... dan tolong jangan terlambat lagi."

Dia sempat senyum sendiri, walau pun mata masih berat.

Sambil bersiap, Bo teringat malam tadi, dia berjaga sampai hampir pukul dua pagi, main Mobile Legends.

Dia tersengih sendiri bila teringat game terakhir tadi.
"Penat je aku MVP. Si jungler tadi tu... aduh, main macam AFK hidup balik," gumamnya kecil.

Dua match terakhir tewas, tapi dia nekad nak push rank lagi beberapa kali. "Nak masuk Mythic... kalau menanglah. Harap takde bocah jadi beban," rungutnya perlahan sambil sarung beg laptop.

Turun ke ruang tamu, rumah sewa dua tingkat itu masih agak sunyi. Tapi suara Amir yang bercakap kuat dari luar tiba-tiba kedengaran.

"Bo, aku gerak dulu weh! Lambat nanti Amirah bebel pulak!" jerit Amir sambil menghidupkan enjin kereta.

Bo hanya sempat menjenguk dari tingkap. Myvi berwarna putih milik Amir, dengan spoiler belakang yang agak berlebihan, hasil "projek hobi" anak orang berada., meluncur keluar dari halaman.

Dia tergelak kecil. "Macam orang kahwin dah gayanya tu."

Amir memang selalu tumpangkan Amirah ke kelas. Kononnya "kebetulan sekelas", tapi Bo tahu, itu lebih kepada alasan untuk bersama. Sebab tu Bo lebih suka bawa motornya sendiri.

Lagipun, kalau dia tumpang Amir, pasti kena tunggu lama sebab Amir akan pergi ke kolej Amirah dulu, Kolej Tun Dr. Ismail, sedangkan Bo sendiri lebih suka terus ke fakulti dan parkir dekat dengan blok kuliah.

. . .

Pagi di UTM Skudai itu seperti biasa, langit mendung, rumput di tepi jalan masih lembap, dan bau kopi dari arah kafe Arked Meranti berterbangan dibawa angin. Dari jauh kedengaran bunyi enjin motor yang agak serak menghampiri kawasan Fakulti Komputeran.

Bo menolak motor Modenas Kriss 110 lama milik bapanya ke tempat letak motor. Lebih kurang 20 tahun usianya. Dulu bapanya juga menggunakan motor itu ketika belajar di universiti. Catnya dah pudar, pelekat UTM di tangki pun dah hampir hilang separuh. Tapi motor tu banyak berjasa, dari rumah sewa ke fakulti, ke pasar malam, ke gelanggang bola keranjang setiap petang, ke Johor Bahru, malah telah beberapa kali berulang alik Skudai ke rumah orang tuanya di Seremban setiap kali cuti semester. Kalau ada pertandingan "motor paling veteran dalam fakulti", mungkin motor Bo menang tempat pertama.

Dia tengok jam tangan digital murah di tangannya. 8.45 pagi. Masih sempat. Sambil ambil beg galas, dia sempat menguap kecil.

Dari jauh, suara seseorang memanggil.

"Bo! Wei cepat weh! Pensyarah dah nak masuk dah!"

Bo berpaling, Amir, kawan serumahnya, berdiri sambil melambai di hujung koridor. Gaya confident macam selalu. Baju kemeja putih separuh masuk dalam seluar, rambut tersisir rapi, dan tangan menggenggam kunci kereta Myvi putihnya.

Sang GagalisHistorias para obsesionarse. Descúbrelo ahora