SETELAH hari penangkapan penjahat-penjahat yang memburu Aira itu, Ali semakin sibuk bekerja. Adakalanya dia bekerja lebih masa. Bila hujung minggu, dia akan bekerja di pasar kampung mereka untuk menjaja sayur yang ditanam oleh Mak Limah. Dia juga turut mengambil upah mengangkat barang di pasar tersebut.
Kegigihan Ali itu membuatkan Aira dan Mak Limah bimbang. Lelaki itu bekerja macam tiada hari esok. Bila ditegah, dia buat tak tahu. Katanya, dia tak mahu berada di rumah untuk bersenang-senang, dia nak mencari wang untuk memudahkan perjalanan jauh mereka nanti.
Dan itu buatkan Aira rasa serba salah. Dia rasa disebabkan oleh dia, Ali terpaksa bekerja lebih masa. Disebabkan rasa bersalah yang tinggi, Aira turut sama menolong menanam sayur-sayuran bersama Mak Limah. Malah semua kerja rumah dia kerjakan sendiri.
Mak Limah hanya mampu menurut sahaja kemahuan dua anak muda itu. Dia nak menghalang pun, masing-masing ada sebab tersendiri. Jadi dia ikutkan sahaja. Tapi tipulah kalau dia cakap dia tak risaukan Ali. Lelaki itu dah tak serupa orang gayanya. Kerja mengalahkan bangla-bangla dah!
Lagipun, walaupum Ali itu seorang lelaki, dia tetap juga manusia biasa. Manusia yang memerlukan rehat yang cukup untuk bekerja. Tambahan pula kerja-kerja yang dilakukan Ali semuanya memakan tenaga yang banyak.
Mak Limah mengerling jam dinding. Sudah masuk pukul lima petang tapi kelibat anak terunanya masih belum pulang dari pagi tadi. Dia dipagut rasa risau. Kali terakhir dia menghantar pemergian Ali ke tempat kerja pagi tadi, wajah lelaki itu sungguh pucat.
Bunyi motorsikal yang masuk ke perkarangan rumah membantutkan lamunan Mak Limah. Dia bergerak pantas menghampiri pintu rumah. Wajah Ali yang kelihatan sungguh penat dan pucat buat dia bertambah risau. Tak menunggu lama, dia menghampiri anak terunanya itu.
"Ya Allah Ali! Pucatnya muka kamu nak."
Tangan Ali ditarik untuk naik ke rumah. Dia menyuruh Ali untuk duduk dahulu di ruang tamu sebelum dia turun ke dapur mengambil air minuman.
Mata Ali melilau ke arah sekeliling ruang tamu. Sesekali matanya menjeling ke ruang dapur. Kelibat yang dicari-cari tidak ditemui.
Mana perempuan tu? Desis hati Ali.
Selang beberapa minit, Mak Limah kembali muncul di depan Ali bersama dengan sedulang air dan sepinggan kuih karipap. Dia letakkan dulang dan pinggan tersebut di depan Ali yang sedang bersila.
Ali mengucapkan terima kasih sebelum air teh yang telah dituang ke cawan itu dicicipnya. Sebiji karipap diambil lalu disua ke bibir. Sejujurnya, dia tiada selera untuk makan, tetapi melihatkan wajah risau emaknya, dia paksakan juga diri untuk menjamah kuih tersebut.
Kepala yang terasa sedikit pening buatkan tangan kirinya naik mengurut dahi perlahan. Dia kena cepat mandi dan solat asar.
"Mak, mana..."
"Kamu demam ke ni Ali?!"
Belum sempat Ali menyoal, soalan emaknya lebih pantas mencantas pertanyaanya. Ali angkat bahu sebelah. Dia pun tak pasti, tapi dapat dia rasa badannya agak lemah dari kebiasaan. Kepalanya juga berdenyut-denyut dari pagi tadi tetapi dia cuba bertahan untuk menyiapkan kerja.
Lagipun ini hari terakhirnya bekerja. Dapur rumah Pak Abu telah siap dibina, selebihnya hanya tinggal menampal mozek dan lain-lain. Itu bukan skop tugasnya, Pak Abu pun telah menempah orang yang pakar untuk memasang jubin rumahnya.
Dia ada juga bertanya tentang permintaanya untuk menyewa kenderaan milik Pak Abu, cuma jawapannya tak dapat dipastikan lagi.
"Tak pasti la mak. Mungkin nak demam kut, mentang-mentang dah dapat gaji. Hari itu jugalah dia nak sakit," rungut Ali sambil mengurut-urut dahinya.
YOU ARE READING
Sweet Choco
Romance"Sayang, semua kawan abang dah ambil dadah. Tinggal abang sorang je tak ambil lagi." "Dah tu, kau nak aku sumbat dadah ke dalam mulut kau?" "Tak payah tunggu sayang suap dadah pun, sebab sayang tu dah cukup mengkhayalkan abang." Mulut manis? Hah! Y...
