BAB 42

511 76 11
                                    

"ABANG, akhir-akhir ni asyik sibuk je kan?"

Syah yang bersila di atas lantai mendekat ke arah Aira. Kepalanya dilentokkan ke atas peha Aira yang duduk di atas sofa. Penat bekerja masih bersisa. Seminggu ini dia tak ada cuti langsung, sibuk menguruskan kedai dan menjawab berbagai panggilan yang masuk.

Maklumlah, dia sekarang nak kembangkan perniagaannya ke negeri lain pula. Nak buka cawangan baru di Kedah. Kalau-kalau dia dan isteri balik Kedah, bolehlah dia ajak tok nek melepak dekat kedai dia sendiri.

Walaupun tok nek tak melayan makanan barat ni, tapi benda boleh paksa buat apa fikir panjang. Tok nek tu kalau dipujuk, ikut punya. Nak-nak kalau ada Aira, mesti lagi suka dia. Ada kawan boleh diajak berbual dan bercerita.

“Abang naiklah atas ni, tak selesalah duduk lantai.”

Syah senyum sedikit sebelum bangun dan melabuhkan punggung di sebelah Aira. Sepantas kilat, dada lelaki itu menjadi alas kepala Aira. Pinggang Syah dipeluknya kemas dengan bibir yang tersungging senyum suka.

Dia tak mampu khianat pada hatinya sendiri bila dia rasa sangat selesa berkedudukan sebegitu dengan Syah. Syah sediri juga tak menolak, bukan selalu dapat bermanja dengan Aira. Selagi ada masa dan ruang ini, seeloknya dia manfaatkan sebaik mungkin. Walaupun hakikatnya Syah mengada dengan Aira hari-haru. Kalau tak mengada tu bukan Syahril Danial la namanya.

Mereka diam buat seketika. Kedua-duanya khayal dalam angan-angan sendiri. Setiap detik yang berjalan, Syah dan Aira hargai sepenuhnya.

Setelah beberapa minit berjeda, Aira palingkan wajahnya untuk memandang muka kacak Syah. Setiap satu yang terhias pada wajah lelaki itu ditilik sepuasnya. Dalam hati dia memuji kekacakan dan kesempurnaan rupa yang dikurnia tuhan buat Syah.

Terlintas di benaknya soalan yang berjaya mengerutkan keningnya. Bibir bawah digigit dan dia mula berfikir-fikir. Kenangan lama diimbas bagi mencari jawapan pada soalan itu. Namun dia gagal mentafsir jawapan apakah yang mampu dijawab pada soalan itu. Lebih tepatnya dia sendiri tak tahu apa jawapan kepada pertanyaan hati dan akalnya sendiri.

“Fikir apa sampai berkerut macam tu?” soal Syah.

Wajah Aira dielus penuh kasih dan sayang. Matanya redup memandang wajah kalut Aira. Perlahan-lahan bibir Syah melengkung senyuman tipis sebelum dia menarik badan Aira agar kedudukan wajah wanita itu hampir dengannya. Kemudian, dahi Aira dikucup perlahan sebelum sekali lagi dia hadiahkan satu senyuman lebar dan manis ke arah Aira.

Aira senyum pulas sebelum pipi Syah dicium laju. Wanita itu kemudian melarikan mukanya dengan menyorok di celah leher Syah. Bibir sekali lagi digigit bagi menahan diri dari terus tersenyum. Sayangnya dia tak mampu melawan rasa hati yang berbunga-bunga, kalau boleh nak je dia menjerit malu dan suka.

“Hei… mana boleh nyorok macam ni, bagi tahulah abang sayang fikir apa?”

“Entahlah, fikir benda lama kut…” balas Aira. Kali ini kening Syah pula berkerut. Benda lama apakah itu?

Kisah silam Aira dengan ayahnya? Atau kisah silam Aira dengan Hakim? Mengingatkan nama Hakim saja terus jantungnya berdetak laju. Rasa cemburu yang menjerut hatinya tak dapat disangkal. Walaupun dia antara orang yang terlibat dalam menganggantikan diri berlakon menjadi Hakim setelah ketiadaan lelaki itu. Walaupun Hakim itu sahabatnya, walaupun permintaan supaya kawannya menerima perasaan Aira itu datang dari Syah sendiri. Dia tetap merasa cemburu.

Cemburu kerana segala perhatian, kasih dan cinta Aira hanya dicurah pada Hakim suatu ketika dulu. Tanpa sedar wajah Syah agak tegang. Dalam ketegangan wajah itu, Aira dapat lihat ada segaris duka yang memancar di balik anak mata bundar suaminya.

Sweet ChocoWhere stories live. Discover now