11| Maafkan Ramadan ayah.

52 7 0
                                    

21 Ramadan 1445.

Biskut semperit yang dibakar dalam ketuhar elektrik menguap dan menyebarkan aroma biskut yang wangi di udara sekitarnya. menggugat keimanan sesiapa sahaja yang melalui dapur kesayangan Puan Asyura.

Ramadan yang memang berkampung di dapur membantu Puan Asyura menyiapkan biskut raya terus mendekatkan wajah di lapisan kaca pintu ketuhar elektrik. Ramadan tergugat, terbayang-bayang biskut semeperit cair dalam mulut, tak sabar ingin mencuba biskut itu selepas berbuka nanti.

"Ramadan buat apa tu?" Puan Asyura yang membawa dulang ketuhar menegur Ramadan. Tergoyang kepalanya dengan telatah Ramadan yang tak ubah seperti kanak-kanak yang jakun melihat kuih dibakar.

"Ramadan terliur tengok biskut mak. Rasa nak ngap," balasnya sambil berganjak dari ketuhar elektrik dan duduk di sebelah Puan Asyura.

Tanpa disuruh Ramadan menyapu sedikit minyak di sekitar dulang ketuhar yang baru mak letak di atas meja. Kemudian Ramadan ambil bekas doh yang terletak tak jauh darinya. Doh dimasukkan ke dalam acuan semperit.

"Assalamualaikum."

Jari yang ingin menekan doh itu tertahan. Ramadan dan Puan Asyura sama-sama berhenti melakukan pekerjaan mereka. Dua beranak itu saling berpandangan.

"Assalamualaikum." Sayup-sayup salam mengetuk gegendang. Tidak terlalu jelas tetapi dapat didengari oleh mereka berdua.

"Mak rasa parcel Abang Syawal tu. Ramadan tolong ambilkan dekat depan boleh." Puan Asyura meminta tolong.

"Okay mak." Ramadan letak acuan semperit atas dulang. Dia berlari ke singki dan mencuci tangan ala kadar. Sempat tangan dilap pada kain yang tersedia di peti sejuk sebelum mara ke ruang hadapan.

"Tunggu sekejap eh saya buka pintu." Semakin dekat Ramadan dengan pintu rumah yang tertutup rapat semakin berdebar pula dia. Entah kenapa Ramadan rasa tak sedap hati, seolah yang sedang berada di luar bukan abang pos tetapi orang lain.

Ketika pintu dibuka dan menampakkan gerangan yang sedang menantinya di luar. Ramadan kejur dan tak mampu bergerak sama sekali. Bahkan oksigen yang dihirup juga tersekat dan dia juga lupa bagaimana cara untuk terus bernafas.

Ramadan melotot tak percaya tika menyedari kehadiran seorang lelaki lanjut usia yang berdiri tegap di hadapannya. Tiada kemanisan yang terpamer di wajah hanya kebencian yang terpapar.

Tanpa sempat Ramadan menegur lelaki yang bertandang ke rumah mak. Gerakan tangan tangkas lelaki itu tepat mengenai seluruh permukaan pipi kiri dan sekaligus membuat Ramadan yang tidak kukuh pasaknya rebah mengikuti arus pukulan.

Plak.

Bunyi dentuman barang yang terjatuh di hadapan sana mengejutkan Puan Asyura yang sedang mengeluarkan dulang dari ketuhar elektrik. "Ramadan kenapa?"

Ramadan terbungkam. Telinganya yang berdesing dan deru nafas yang semakin kuat menyukarkan Ramadan untuk mendengar suara lantang mak dari dapur dengan baik.

"Anak tak guna."

Dengan gerakan perlahan Ramadan menggerakkan kepalanya ke arah suara seorang lelaki tua yang cukup ia kenali. Tepat di hadapannya ada Syafie yang sedang menatapnya bengis.

Ramadan mencapai sisi pintu. Menarik tubuhnya dalam keadaan separa terbaring itu berdiri. Syafie yang tidak berganjak sama sekali itu Ramadan raih tangan kanannya. Dengan penuh kelembutan dan sopan dia menyalami tangan tua itu. Namun tak berselang lama Ramadan terundur ke belakang dan punggungnya terhentak pada dasar yang keras.

"Ayah..." seru Ramadan perlahan. Dia mengukir senyum buat Syafie biarpun pipi kirinya makin berdenyut kerana mendapat dua pukulan dari Syafie di tempat yang sama.

[C] RamadanWhere stories live. Discover now