"Ramainya! Ini rombongan ke kenduri?!" Jerit Husna. Pernah juga sesekali dia pergi mengikut rombongan kahwin dahulu tapi tidaklah seramai ini! Rumah yang sudah tentu besar dan luas pun belum tentu muak hendak masukkan mereka semua. Besar betul keluarga Tan Sri Raqib. Tapi wajah mereka tidak nampak asing di mata Husna, serupa pernah lihat...

Tapi di mana ya?

"Itulah, Mak Timah pun tak sangka ramai. Sebab itu Mak Timah suruh kamu bersiap cepat-cepat.  Nanti malu pula kalau kamu keluar hadap mereka dengan pakaian macam itu." Sampuk Mak Timah daripada belakang. Nada suaranya masih lagi gelisah. Entah sempat ke tidak si Husna tu bersiap.

Namun, mata Husna masih lagi mengintai ke bawah. Melilau dalam keluarga besar Tan Sri Raqib mencari seseorang yang dia nantikan. Perasaan resah tak habis-habis lagi. Berpeluh tangannya menggenggam kain langsir.

Ya Allah, dia tak pernah rasa gelisah sampai begini sekali. Sehinggakan dapat merasakan degupan jantung yang begitu kencang.

Saat mata menangkap figura Tan Sri Raqib keluar daripada perut kereta Alphard, Husna terus fokus ke situ. Kalau Tan Sri Raqib naik kereta itu, bermakna bakal suaminya tentu ada di dalam kereta itu juga.

Air liur ditelan kesat. Makin berdebar-debar jantungnya ketika menantikan susuk tubuh seterusnya yang akan keluar daripada pintu penumpang bahagian belakang.

"Tolonglah dia... tolonglah dia..." terkumat-kamit bibir Husna mengucap ayat yang sama. Sesaat mata dipejam. Dalam hati berdoa agar tekaannya benar. Dan ketika kelopak mata terbuka semula, dia lihat figura memakai baju Melayu biru keluar daripada perut kereta.

Makin berdebar Husna jadinya.

Namun, perasaan itu berubah tatkala menyedari rambut lelaki itu berwarna hitam. Dan saat dia berpaling, nyatanya itu adalah Nathan. Bukan seseorang yang dia nantikan sebelum ini!

Dia ingatkan Nathan akan lama lagi outstation di luar negeri. Tapi boleh jadi juga jika dia sanggup batalkan jadual semata-mata untuk rombongan meminang hari ini.

Habislah!

Langsir terus ditutup.

Tak duduk diam Husna jadinya serupa kucing hendak beranak. Ke kiri dan ke kanan dia berjalan berulang kali.

"Kenapa Nathan? Ini semua salah Mia! Aku dah agak ayah akan pilih Nathan! Sekarang apa aku perlu buat? Takkan aku nak tolak pinangan ni depan mata Tan Sri Raqib? Apa pula perasaan dia nanti..." Bertubi-tubi soalan keluar daripada mulutnya. Husna gigit kuku. Gelisah.

Naik pening kepala Mak Timah melihat Husna yang ke hulur ke hilir daripada tadi. Tergeleng-geleng kepalanya. Lantas, Mak Timah menapak mendekati Husna bersama dress merah jambu ditangan. Tersiap iron semalam lagi. Dato Idris yang belikan untuk Husna pakai supaya kelihatan cantik di hadapan mata bakal suami nanti.

"Cik Husna... apa kata Cik Husna bersiap dahulu? Dah lambat sangat ni. Nanti Cik Husna kena ada di bawah sekali dengan keluarga Tan Sri Raqib."

"Tak! Saya tak boleh! Saya tak nak kahwin dengan lelaki tu!" Dress yang dihulur oleh Mak Timah ditepis lembut.
Tak mahu pakai.

Mak Timah menghembus nafas perlahan.

"Kenapa pula tak nak? Ramai orang tunggu Cik Husna di bawah sana tahu tak? Takkan Cik Husna nak biarkan aje? Sekurang-kurangnya turun dan hadap mereka. Kalau tak suka, cakap sahaja tak suka. Orang pun takkan paksa." Ujar Mak Timah lembut.

Kepala Husna terangguk-angguk dengan begitu angkuh.

"Memang. Memang orang tak akan paksa! Tapi ayah tu! Ayah yang akan paksa saya untuk terima juga pinangan ni! Jadi sebelum saya berada di situasi itu, lebih baik saya larikan diri dahulu!" Anak matanya meliar ke segenap ruang bilik. Kalau nak keluar ikut pintu memang tak akan berjaya! Banyak halangan di sana.

MR PIRATETempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang