"Husna?"

Bahu Husna terhinjut akibat terkejut. Tangan yang memegang kain kotor melekap ke dada. Terus dia memusing tubuh ke belakang.  Tergamam sejenak melihat Raf berdiri di situ.

"Aw... awak tak balik lagi? Saya ingatkan awak dah pulang dulu."

Raf menggeleng. Kenapa Husna persoalkan jadual pulangnya pula, sedangkan Husna juga masih berada di sini.

"Aku ingatkan kau dah balik dengan Mia. Kenapa masih ada dekat sini? Kau tahukan pintu tu akan automatik kunci bila jam 12 malam?" Tegur Raf, serius. Ada nada kerisauan pada suaranya.

Sedangkan Husna menyimpul senyuman kecil. "Awak jangan risaulah. Saya dah beritahu sekuriti yang saya balik lewat hari ni. Nanti diaorang boleh bukakan pintu kecemasan kalau saya dah siap kerja."

"Tapi takkan kau seorang sahaja? Mana cleaner yang lain?" Soal Raf, sekilas anak matanya melilau ke sekeliling lobi. Mencari kelibat pekerja yang lain. Namun, tiada. Ruang lobi ini suram serupa mereka berdua sahaja yang ada.

Lantas Husna geleng kepala.

"Diaorang semua dah balik. Termasuk Cik Suria. Saya yang minta kebenaran untuk ambil kerja lebih masa." Ujar Husna. Tatkala Raf cuma diam merenungnya. Entah apa yang bermain di fikiran lelaki itu saat ini. Mukanya masih lagi serius. Mungkin risau jika dia berseorangan di dalam bangunan ini.

"Saya memang dah biasa kerja sampai lewat malam. Jadi awak tak perlu risau." Sengaja Husna beritahu jika itu yang Raf sedang fikirkan. Lagipun ada sekuriti yang berjaga di luar. Jadi dia pun tak takut sangat.

"Kau perlukan duit ke?" Tanya Raf secara tiba-tiba.  Mana ada seseorang yang sanggup melakukan kerja lebih untuk saja-saja. Jika itu masalah yang Husna hadapi sekarang, dialah orang pertama yang akan menghulurkan tangan.

Perjanjian mereka di pulau masih lagi segar dalam ingatannya. Susah atau senang, mereka akan laluinya bersama-sama.

Husna berdecik kecil. Tergeleng-geleng kepalanya saat ini. Sampai ke situ pula Raf terfikir.

"Mana ada. Saya cuma nak gaji lebih, jadi saya buatlah kerja lebih. Lagipun, cermin dekat sini dah berhabuk." Balas Husna, tak mahu Raf memikirkan yang bukan-bukan.

"Tu, kereta awak dah sampai. Baliklah. Saya nak sambung kerja." Kata Husna, memuncung bibir menunjuk ke arah kereta Bentley Bentayga berwarna kelabu yang baru muncul di hadapan bangunan korporat.  Pemandunya sudah keluar menunggu di tepi pintu. Sedia menyambut kedatangan tuannya.

Kemudian, Husna pusing menghadap cermin di belakang. Kembali menyambung kerja pembersihan cermin yang tergendala sebentar tadi. Tak pedulikan Raf yang masih tak berkutik daripada tempatnya.

Perlahan kepala Raf menggeleng. Dia tak boleh biarkan Husna seorang diri di dalam bangunan ini. Lantas telefon canggih dikeluarkan, kembali menghubungi Ashraf.

"Berapa lama kau ambil masa siapkan semua kerja ni?" Soal Raf, dia memandang Husna yang masih lincah melakukan kerja.

Kening Husna berkerut pelik. Kenapa pula Raf mahu tahu? Tapi dia jawab sahaja.

"Hmm... dalam 30 minit juga?"

Kepala Raf terangguk-angguk tanda faham. Sebaik sahaja Ashraf mengangkat panggilannya, terus Raf membuka mulut.

"Maaf, Ashraf. Sa ada kerja sedikit. Dalam 30 minit nanti siap. Tunggulah dalam kereta dahulu. Tak perlu berdiri di luar." Ucapnya, seraya talian dimatikan. Sekejap dia mengerling ke luar cermin kaca bangunan korporat,  melihat pemandunya yang kembali masuk ke dalam perut kereta. Mengikut arahan.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now