"Kalau ayah kamu ada datang ke rumah Mia dan jemput kamu balik. Kamu ikutlah dia balik ya?" Tidak pasti itu satu arahan atau rayuan, tapi nada suara Tan Sri Raqib seolah-olah sedang memujuk.

Tatkala Husna masih lagi diam membatu. Tidak sangka, tentang dia duduk di rumah Mia pun Tan Sri Raqib tahu? Ah, tak hairanlah kerana Mia itu pekerja paling rapat dengan Tan Sri Raqib. Mereka serupa ayah dan anak sudah. Tapi tak lama lagi mereka berdua memang akan jadi satu keluarga pun.

Kemudian Tan Sri Raqib melepaskan satu nafas. Berat.

"Pak cik tahu hubungan kamu dengan Dato Idris tak berapa baik selepas balik dari Sabah. Dan pak cik juga yakin puncanya juga ada kena mengena dengan anak pak cik. Raf."

Raf tersentak. Eh, dia pun terpalit sekali?

"Jadi pak cik dah cuba bercakap dengan ayah kamu. Pujuk dan nasihat dia. Tapi tak pastilah jika dia dengar atau tidak. Tapi andai katalah dia ada datang cari Husna, Husna ikut sahaja dia pulang ke rumah ya?" Lembut sekali cara Tan Sri Raqib memujuk. Kan bagus jika Dato Idris juga pandai berkata-kata lembut seperti ini. Mudah meresap masuk ke dalam hati sang pendengar.

Perlahan Husna angguk kepala. Dia sendiri tidak pasti setuju atau tidak dengan pujukan Tan Sri Raqib, otak tak mampu proses apa-apa jawapan saat ini. Jika Dato Idris datang dengan cara baik, mungkin dia akan ikut pulang? Nak kati hatinya keras serupa batu, tidaklah juga. Hatinya sama juga seperti orang lain, mudah cair dengan kata-kata manis.

"Kalau kamu nak hidup bahagia dengan Raf, kamu kena balik. Percayakan cakap papa." Sambungnya lagi.

Tersentak Husna apabila Tan Sri Raqib menggelarkan dirinya 'papa'. Tiba-tiba debaran di dada tukar berbunga-bunga. Bibir ditahan daripada tersenyum gembira. Sekali lagi Husna angguk kepala.

"Baik, Tan... Tan Sri. Saya minta diri dulu." Pamit Husna. Segan pula nak panggil papa secara tiba-tiba. Baginya, dia belum selayak itu lagi. Tanpa menunggu lama, Husna terus bangkit daripada kerusi lalu menapak keluar dari bilik kerja itu. Meninggalkan Raf dan bapanya sahaja.

Sekilas Raf toleh ke belakang, sekadar mahu memastikan Husna betul-betul sudah pergi. Kemudian, barulah dia toleh ke hadapan memandang Tan Sri Raqib semula. Tubuh dipeluk, siap bersandar ke belakang dengan gaya bersahaja.

"Jadi macam mana?" Soal Raf dengan bibir tersenyum-senyum bersama maksud tersirat. Tan Sri Raqib pasti faham akan maksudnya.

Kepala orang tua itu mengangguk. Bibir dia juga tersenyum sama.

"Tentulah jadi mengikut plan." Balas Tan Sri Raqib.

Bibir Raf menyenget. Bagus! Dia dah agak, hanya papa sahaja yang mampu membantu dia dalam situasi ini. Dan-dan itu juga fikirannya teringatkan perjanjian mereka berdua semasa berada di hospital beberapa minggu lalu.

Waktu itu Tan Sri Raqib berkeras memujuk dia untuk mengambil alih Ocean Empire semula. Tapi tak adillah, jika dia terus terima secara percuma. Haruslah lakukan sesuatu dahulu. Barulah sama-sama untung, tak gitu?

"Raf boleh janji dengan papa bahawa Raf akan ambil alih Ocean Empire semula. Tapi sebelum tu, papa pun harus bantu Raf juga." Kata Raf begitu serius.

Tan Sri Raqib yang berada di hujung katilnya langsung berpaling ke belakang. Bibir terjuih sedikit. Takkanlah dia mahu Raf terus masuk kerja tanpa apa-apa pertolongan daripadanya.

"Tentulah papa akan bantu kamu. Papa tahu kamu dah lama tinggalkan kerja ni sampai lupa..."

"Bukan bantu soal kerja." Cantas Raf laju.

Buatkan Tan Sri Raqib terdiam sejenak. Mata berkelip beberapa kali.

"Habis tu?"

"Bantu Raf untuk dapatkan Husna semula." Ucapnya. Tegak anak matanya memandang Tan Sri Raqib bersama satu harapan. Cuma bapanya sahaja yang boleh menolong dia saat ini.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now