"Tapi kau pasti ke pilihan kau tu takkan salah? Tak semua pilihan kita ni betul, Idris. Buatnya calon yang kita nak satukan dengan anak kita tu lebih teruk daripada pilihan mereka, tak ke kita sendiri yang akan rasa bersalah?"

Dato Idris geleng kepala. Masih lagi angkuh.

"Tak, aku pasti calon yang aku pilih ni sesuai dengan Husna." Tekannya dengan yakin. Tiada keraguan terpapar pada raut wajahnya. Kali ini, dia akan pastikan Husna bersama lelaki yang tepat. Lebih baik, lebih bagus dan lebih hebat daripada lelaki kampung yang Husna tergila-gilakan itu!

"Dengan siapa?" Terpacul soalan itu dibibir Tan Sri Raqib sendiri. Hendak tahu juga siapa yang menjadi calon pilihan Dato Idris. Manalah tahu jika dia juga kenal.

"Anak kau, Nathan."

Semerta Tan Sri Raqib tergamam. Mata tak berkelip. Jelas terkejut mendengar nama yang baru disebut. Tak tahu reaksi apa yang perlu dibuat. Patutkah dia gembira atau sebaliknya?

"Aku tahu cara kau didik anak kau semuanya baik-baik. Jadi aku takkan ragu-ragu untuk satukan Husna dengan anak kau." Sambung Dato Idris, mengenangkan persahabatan mereka yang sudah lama, dia yakin... hasil didikan Tan Sri Raqib kepada anaknya sudah cukup sempurna untuk dijadikan suami buat Husna.

Lagipun, dia lihat Nathan seorang yang peramah dan baik hati juga. Pernah dia mengajak Nathan berbual seketika semasa di Ocean Resort dahulu, orangnya sangat lembut bila berkata-kata.

Jika dia sahaja sudah suka dengan cara layanan Nathan, Husna pasti akan rasa perasaan yang sama.

"Jadi kau setuju tak kalau Nathan berkahwin dengan Husna? Kau pun... dah lama tunggu nak ada menantukan?"
Dato Idris bersuara lagi, dia menyoal apabila Tan Sri Raqib diam daripada tadi. Langsung tiada respon walau sepatah kata.

Terkulat-kulat Tan Sri Raqib hendak menjawab. Adakala jari terlunjuknya mengetuk meja berkali-kali, kepala menunduk seolah-olah sedang menyusun ayat. Takut-takut andai ayatnya bakal mengguris hati Dato Idris yang penuh harapan kepadanya.

"Aku rasa tak boleh..." Perlahan Tan Sri Raqib membantah. Dia mengangkat wajah memandang Dato Idris semula. Jelas, rakannya tampak tertanya-tanya tanda tidak faham.

"Tapi kenapa? Kau tak sudi ke jika kita berbesan?"

Tan Sri pantas menggeleng menafikannya. Bukan begitu dia maksudkan.

"Bukan. Tapi setahu aku, Nathan sekarang sedang ada hubungan dengan pembantu peribadi ditempat kerja dia. Aku tak sanggup untuk paksa dia putuskan hubungan semata-mata nak kahwinkan dia dengan Husna. Jadi sebab itu aku tak boleh setuju dengan cadangan kau..."

"Oh ya ke..." Dato Idris kehilangan kata. Entah kenapa dia rasa kecewa. Mungkin kerana dia meletakkan harapan terlalu tinggi dan fikir bahawa Tan Sri Raqib akan setuju sahaja dengan cadangan yang keluar daripada mulutnya. Malang sekali, ia berbeza.

Haih, siapa lagi yang dia mampu percaya menjadi pembimbing Husna selain keluarga Tan Sri Raqib? Rakan-rakan Dato yang lain pun ada juga anak lelaki, tapi jarak umur terlalu jauh pula dengan Husna. Ada yang terlalu tua bahkan ada juga yang terlebih muda.

Aduh, pening kepala memikirkannya. Lantas sebelah tangan naik memicit kepala. Nampak gaya dia perlu tukar rancangan lain.

"Tapi..." Tan Sri Raqib kembali bersuara, menarik perhatian Dato Idris memandangnya semula. Rasa-rasanya, dia ada calon yang lebih sesuai untuk disatukan dengan Husna.

Tiba-tiba bibirnya tersenyum penuh makna. Buatkan kening Dato Idris berkerut, pelik.

"Alang-alang kau cakap nak satukan Husna dengan salah seorang anak aku, apa kata kalau...." Sengaja Tan Sri Raqib melambatkan ayat. Ditahan bibir daripada menyengih. Melihat Dato Idris yang masih tertunggu-tunggu, langsung dia sambung semula.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now