BAB 14 : Tak terduga

48 10 4
                                    

Hari ke-10

"Hari ini kita ke pantai semula ye untuk cari makanan. Tak perlu masuk hutan lagi sementara ini. Dalam hutan sana terlalu banyak risiko dan bahaya."

Tiara menyetujui saranan Thalhah.

Thalhah bercadang menangkap udang karang hari ini di pesisir pantai. Sempat dia melihat ada udang karang semasa menombak ikan sebelum ini tetapi tak sempat menangkapnya. Kali ini, dia ingin mencuba. Siapa tahu kalau rezeki, dia berjaya mengukir senyuman Tiara lagi.

Setelah berjalan selama lebih dari setengah jam, mereka pun tiba di pesisir pantai.

"Akhi... itu... beg? Beg Tiara!" Tiara berlari laju menuju begnya.

"Ya Allah! Subhanallah! Macam mana beg yang hanyut berhari-hari akhirnya terdampar di tempat yang sama dengan tuannya?"
Tak henti-henti Thalhah memanjatkan syukur kepada Allah atas keajaiban yang terjadi di hadapannya.

Tiara laju-laju membuka begnya.

"Semuanya basah..."

"Tak mengapa Tiara. Kita jemur pakaian-pakaian Tiara. Syukurlah makanan dibungkus elok dengan plastik, bolehlah Tiara makan makanan sedap kan?" Kalimat yang diatur untuk memujuk, tetapi...

'Eh, dia menangis?'

Air mata menitis di pipi putih kemerahan Tiara, sebak memegang bungkusan sambal bilis kering yang dibekalkan ibunya.

"Dah 10 hari... apa khabar ibu dan ayah? Adik-adik?" Tiara menangis sesenggukan.

Terpisah lama seperti tinggal di asrama sebulan adalah perkara biasa, namun tidak jika dalam situasi sekarang. Terpisah dalam keadaan tiada siapa yang tahu keberadaan mereka, nasib mereka, masih hidup atau telah tiada.

'Tolong jangan menangis, Tiara. Thalhah tak tahan tengok Tiara menangis! Terasa tak berguna! Tak dapat membantu apa-apa!' Dialog terpendam yang terhenti di tenggorokan, Thalhah tertunduk lesu.

Thalhah menghampiri, duduk tidak jauh dari Tiara yang sedang bersimpuh di pasir pantai.

"Kita balik sungai? Keadaan tiba-tiba tak mengizinkan saya turun laut. Angin kuat tiba-tiba. Bimbang terjadi ombak besar. Makanan dalam beg Tiara rasanya cukup kan untuk dua hari? Kita makan sikit-sikit sekadar kekalkan tenaga. Kalau tak cukup, nanti kita usahakan yang lain." Lembut Thalhah menutur kata.

Tiara menyeka air mata dengan lengan bajunya, mengangkat wajah. Mata yang masih terlihat basah itu seolah-olah membuat permintaan kecil.

"Sambal bilis kering buatan ibu sedap sangat. Akhi kena rasa tau sekejap lagi." Senyuman pasrah terlukis di wajah Tiara.

Hanya Thalhah satu-satunya teman berbual dan berinteraksi, tiada yang lain di sini.

Kalau dulu, mereka sangat menjaga batas pergaulan sesama bukan mahram, tetapi di sini, mengharungi 10 hari bersama hanya berdua, sesekali hal-hal yang tidak begitu penting pun terkadang tak sengaja diluahkan jua.

***
Matahari memancar terik tengah hari tadi, mempercepat proses pengeringan pakaian-pakaian Tiara.

Hati Tiara sedikit terubat, kerana dia sudah mendapatkan kembali pakaian lengkap seorang perempuan.

Telefon bimbit dan powerbank Thalhah sudah kehabisan bateri. Mereka menggunakan bayang kayu yang dipacak di tempat agak lapang untuk melihat tanda masuknya waktu solat.

Sebentar lagi akan masuknya waktu Asar. Tiara tak sabar ingin memakai set pakaiannya yang telah kering.

Tiara masuk ke bilik air sementaranya. Sebaik sahaja Tiara selesai membersihkan diri, angin tiba-tiba bertiup kencang. Sebatang dahan gugur dan mengoyakkan sebahagian kain rentang yang menjadi dinding bilik air Tiara selama ini.

Thalhah yang tadinya sedang menghidupkan api, langsung berpaling melihat ke arah bilik air Tiara setelah terdengar bunyi kuat dahan yang jatuh, bimbang sebarang bahaya menimpa insan tercinta.

Dan di sana...

Rambut ikal mayang Tiara separas pinggang, hitam keperangan, beralun ditiup angin. Aurat yang selama ini dijaga rapi, sekali terlihat, berjaya menggetarkan jiwa seorang pemuda sepertinya.

Tiara yang terkejut melihat dinding bilik airnya koyak, segera berusaha menutup auratnya secepat mungkin.

Matanya langsung tertuju ke arah Thalhah di atas sana. Kelihatan Thalhah sepertinya sempat melihat sesuatu, namun laju-laju mengalihkan pandangannya. Entah, Tiara tak pasti.

Degup jantung Tiara melaju, tanpa dia tahu, Thalhah juga merasakan yang sama.

***
Malam hari

Tiara keluar dari khemah TeePee-nya, khuatir akan Thalhah. Sejak kejadian petang tadi, Thalhah banyak diam dan seperti menghindarkan diri darinya. Makanan untuk Thalhah juga belum terusik.

Tiara melihat Thalhah kegelisahan di pangkin tempat tidurnya. Sekejap mengiring ke kiri, sekejap ke kanan.

'Mungkinkah petang tadi... akhi memang ternampak sesuatu yang tak sepatutnya?' Risau sekaligus kasihan, meliputi hati Tiara.

Tiara pernah mempelajari sedikit sebanyak berkenaan psikologi manusia. 10 hari di sini, Tiara dapat merasakan, Thalhah punya perasaan terhadapnya, dan kejadian petang tadi pasti menguji nafsu seorang lelaki normal, yang tidak berperasaan songsang.

'Astaghfirullah... kenapa bayangan kejadian semalam, si 'penyamar' Tiara, dan bayangan kejadian petang tadi tak berhenti menggangguku?' Thalhah mengusap wajah, kemudian beranjak turun dari pangkin, berwuduk menggunakan air sungai yang diisi dalam botol buluh buatannya.

Tiara tahu ini bukan masa yang sesuai untuk dia 'mengganggu' walau sekadar memperingatkan Thalhah untuk makan malam.

Tiara masuk kembali ke dalam khemahnya, dan Thalhah, duduk di atas sejadah, tak henti-henti memohon ampun dan berzikir, agar hatinya tak lalai memikirkan sesuatu yang lebih dari sepatutnya.

SURVIVAL : PULAU SANGKAR CINTAМесто, где живут истории. Откройте их для себя