BAB 11 : Segalanya Untuk Tiara

66 10 16
                                    

"Tiara, ini ada kemeja-T dan seluar trek, rasanya muat untuk Tiara pakai buat salinan. Cuma mungkin labuh sedikit lengan baju dan seluar. Ada kain pelekat juga untuk... emm kalau perlu untuk digunakan."

Menawarkan kain pelekat kepada seorang gadis membuat Thalhah merasa malu.

"Terima kasih." Tiara mengambil pakaian yang diberi.

"Tapi..." Tiara memerhati sekeliling.
Tidak selesa rasanya untuk mandi di kawasan terbuka meskipun di sekeliling hanyalah hutan yang dipenuhi pokok-pokok.

"Oh, maaf. Sebentar saya buatkan penghadang." Thalhah baru menyedari kegusaran Tiara.

Thalhah mencacak 3 batang kayu ke tanah di tepi sungai. Kayu dicacak dengan susunan bentuk segitiga, kemudian kain rentang kalis air yang Thalhah bawa, diikat membentuk seperti sebuah bilik kecil yang dapat menghadang pandangan dari tiga arah : kanan, kiri dan belakang. Hanya satu arah iaitu arah menghadap sungai yang tiada berpelindung.

"Sekarang dah hampir jam 4 petang, tak sampai satu jam lagi masuk waktu Asar. Bersihkan diri dan berwuduk dulu. Saya akan duduk di kawasan Debris Hut, akan usahakan ikat daun mengkuang untuk dibuat pintu 'bilik air' Tiara."

Tiara mengambil buah kelapa tua yang sudah dibelah dan dibersihkan serta dipasang pemegang dari kayu, untuk digunakan sebagai gayung.

Walau Tiara yakin Thalhah seorang yang baik, namun tetap dia berhati-hati kerana bagaimanapun juga, Thalhah seorang lelaki. Dan fitrah manusia itu punyai nafsu.

Tiara membersihkan diri dengan berpakaian lengkap, berwaspada. Jika bukan berwaspada terhadap Thalhah sekalipun, Tiara harus berwaspada dengan keadaan. Siapa tahu kalau-kalau ada pihak yang sedang mencari mereka, tiba-tiba muncul dari arah seberang sungai, arah Tiara membersihkan diri tanpa penghadang.

Tiara siap mandi dan berganti pakaian, kecuali tudung. Tudungnya hanya ada satu, kotor dipenuhi pasir pantai setelah dia lemas dan terdampar. Kini tudungnya sudah basah dicuci sekali ketika mandi, dan perlu diganti.

Mustahil Tiara keluar dari 'bilik air' tanpa memakai tudung. Dia akhirnya memutuskan untuk menggunakan kain pelekat yang tadinya dia guna sebagai tuala mengelap tubuh usai mandi, menjadi 'tudung' sementaranya.

Tiara keluar dari 'bilik air' dengan lengkap berpakaian dari rambut hingga kaki. Namun, kelihatan sedikit aneh, Tiara asyik memegang bahagian hadapan tudung yang dari kain pelekat itu, tidak sekali pun melepaskan pegangannya.

Thalhah yang mempunyai adik kembar perempuan, sekali lihat sudah mengetahui maksud perbuatan Tiara. Dia sangat memahami kepentingan keronsang bagi kaum hawa.

"Tunggu sekejap." Hanya dua patah perkataan, cukup membuatkan Tiara patuh menunggu.

Thalhah melihat ada pokok berbunga cantik berdekatan mereka. Thalhah mengambil dua kuntum bunga, mencucukkan lidi nipis di bahagian bawah kelopak bunga, kemudian memberikannya kepada Tiara.

"Keronsang bunga... untuk Tiara." Thalhah menghulurkan, dan Tiara menerima dengan hati berbunga.

"Cucukkan lidi nipis pada tudung kain pelekat tu. Apabila tembus, ikatkan supaya menjadi keronsang."

"Tapi, takut kain pelekat ni rosak," bimbang Tiara.

"Jangan risau. Sehelai saja tu. Saya ada lagi kain lain. Gunalah kain tu selama mana kita di sini ye."

Tiara tunduk dan tersenyum. Senyuman yang berseri terkena mentari lembut di sela rimbunan dedaun hutan.

'Abang Thalhah selalu menjaga aku dengan baik, prihatin dan bertanggungjawab. Duhai hati, apa yang selama ini kau rasakan padanya? Mengapa rasanya mulut ini tak boleh berhenti tersenyum. Adakah ini sekadar suka atau adakah ini yang dinamakan cinta?'

Tiara berbicara dalam hati sampai tak sedar sedang termenung sambil tersenyum, memegang keronsang bunga yang diberikan Thalhah.

"Tiara?"

"Eh, emmm... terima kasih sekali lagi. Akhi banyak sangat bantu Tiara."

Tiara lekas berpaling dengan detak jantung yang laju. Tiara lalu solat memakai pakaian seadanya.

Thalhah tersenyum, geleng-geleng kepala.

'Adakah dia punya rasa yang sama sepertiku?' Persoalan Thalhah yang masih tersimpan, dan hingga kini, masih belum diketahui jawapannya.

***
5 petang

Sekarang adalah waktu berjaga-jaga kerana keadaan hutan ketika ini perlahan-lahan mulai gelap. Thalhah menghidupkan api menggunakan penyala api magnesium.

Penyala api magnesium digesekkan ke kayu api dan dengan mudah api berjaya dinyalakan.

Api sangat penting di dalam hutan kerana dapat menjadi pemanas badan, menghindar binatang buas dan serangga, memasak makanan dan dapat memberi isyarat keselamatan S.O.S.

Tiara membelek satu persatu makanan yang dikeluarkan Thalhah.
Ada nasi goreng cina dan nasi goreng ayam dalam bungkusan retort.
Ada juga coklat energy bar, kekacang, sambal bilis kering dan sardin sos tomato dalam tin kecil.

"Ambillah yang mana Tiara suka. Hari ini, kita makan makanan yang ada saja dulu. Esok kita mula cari makanan dari sumber alam, in shaa Allah."

"Kita makan nasi goreng dulu, akhi. Lapar seharian belum makan nasi."

***
Malam menjelma.

Usai solat Isyak, tidak ada aktiviti lagi untuk dilakukan.

Mereka masuk ke Debris hut masing-masing.

Bunyi-bunyi di hutan malam itu menakutkan bagi Tiara.

Tiara kelihatan gelisah.

"Ada apa Tiara?"

"Tak ada apa. Cuma... Tiara takut bunyi-bunyi tu."

Thalhah berfikir, di dalam hutan sebegini, hanya berdua, di malam hari pula, apa yang mampu dia lakukan untuk membantu mengatasi ketakutan Tiara. Lalu...

"Tiara dah hafaz surah apa dan ada hafaz juzuk tertentu dalam Al-Quran?"

"Cuma hafaz surah-surah lazim dalam juzuk 30, dan surah tertentu yang selalu dibaca di sekolah macam Al-Mulk, Al-Waqiah, Al-Jumuah, As-Sajadah, Yaasin, sedikit surah Ar-Rahman dan 10 ayat awal dan akhir Al-Kahfi."

"Subhanallah, banyak tu. Kita baca sama-sama, supaya tenang dan in shaa Allah terpelihara dari bahaya makhluk, okay?

Dan malam itu, ayat-ayat suci Al-Quran dibaca bersama-sama sehingga hilang ketakutan Tiara. Akhirnya, mereka dapat tidur dengan tenang, dengan tawakal yang tinggi kepada Allah.

Sebelum Tiara memejam mata,

'Ya Allah... seandainya telah Kau catatkan, dia untuk diriku, peliharalah kami dari dosa, dan satukanlah kami dengan rahmat kasih sayangMu.'

Perasaan yang selama ini Tiara ragui, kini telah dia yakini. Inilah cinta dan dia sangat mengharapkan, Thalhah lah bakal imamnya.

SURVIVAL : PULAU SANGKAR CINTAWhere stories live. Discover now