BAB 8 : Naluri Ibu

66 13 6
                                    

"Najmi, Amirah dan seorang lagi fasilitator perempuan, ikut saya. Kita cari Tiara. Bawa peti kecemasan. Persediaan kalau-kalau Tiara tercedera."

"Tasnim nak ikut!" Tasnim merasa bodoh dan bersalah kerana membiarkan Tiara seorang diri ke tandas tadi. Entah mengapa, mungkin faktor situasi yang tegang membuatkan dia tak dapat membuat keputusan dengan baik tadi.

"Adi ikut!" Adi yang sedari tadi sedar ketiadaan Tiara di bot, bingkas bangun untuk turun dari bot.

"Tasnim, Adi... tetap di bot! Bot akan bergerak dulu. Kami faham kepentingan Tiara untuk kamu berdua. Tapi situasi sekarang tak sesuai untuk kita berlengah dan ubah keputusan. Jangan risau, kami fasilitator akan usaha sebaik mungkin untuk Tiara."

Arahan dari Thalhah jelas dan tegas.

Guru pengiring juga 'memujuk' Tasnim dan Adi untuk ikut pulang terlebih dahulu dan memberi kepercayaan kepada fasilitator-fasilitator mencari dan membantu Tiara.

Mereka terpaksa akur. Bot pertama mulai bergerak pulang.

"Najmi, Amirah, Liyana, mari bergerak cari Tiara. Fasilitator lain boleh tunggu di sini. Jika ada sebarang perkara penting, maklumkan kepada saya segera!" arah Thalhah.

Mereka masuk ke kawasan perkhemahan, tepatnya kawasan tapak perkhemahan peserta perempuan yang sedikit terlindung oleh dinding penghadang.

"Ada sesiapa tak? Tasnim! Tasnim ke tu? Tolong Tiara!"

Terdengar suara Tiara meminta pertolongan.

Keempat-empat fasilitator bergegas ke arah suara.

"Tiara! Apa yang terjadi?" tanya Amirah.

"Ada seseorang tolak Tiara jatuh tebing. Tiara tak nampak siapa pelakunya. Tiara tak boleh naik, kaki Tiara terseliuh. Nak jalan pun sakit!"

"Tunggu sekejap," mata Thalhah meliar mencari kayu.

"Jumpa!"

Thalhah mengambil dua batang kayu. Yang satunya bersaiz selebar betis, yang satu lagi kayu panjang untuk dijadikan tongkat.

"Masalahnya sekarang, bagaimana Tiara nak naik tebing yang licin?" ligat otak Thalhah cuba berfikir mencari jalan.

"Thalhah akan turun ke bawah dengan Amirah. Najmi dan Liyana tunggu di atas, bantu kami naik sebentar lagi."

Thalhah mengambil dua lagi kayu panjang untuk dijadikan tongkat untuk dia dan Amirah sebagai penahan agar tak mudah tergelincir.

Mereka pun berhati-hati turun dengan membawa bersama peti pertolongan cemas.

Sesampainya di bawah, Amirah menyembur ubat penahan sakit, meletakkan kayu selebar betis itu sebagai penyokong dan membalut kaki Tiara.

Sepanjang proses itu, Thalhah dan Najmi memalingkan wajah agar tak terlihat aurat Tiara.

Cara yang mereka pelajari sebenarnya adalah dengan meletakkan pek ais di tempat terseliuh selama beberapa minit untuk mengelakkan bengkak atau mengurangkan bengkak.

Namun, mereka kini di pulau. Tiada kemudahan peti ais dan gerai makanan di sini. Harus menggunakan apa yang ada semaksimal mungkin.

"Siap!" Amirah memberi isyarat, tandanya Thalhah dan Najmi sudah boleh berpaling semula.

Amirah memapah Tiara. Tiara memegang tongkat untuk menyokong tubuhnya berjalan mendaki tebing, sedang Thalhah mengawal kedua-duanya dari belakang, bimbang mereka terjatuh kerana ketidakseimbangan.

"Alhamdulillah berjaya naik!" semua mengucapkan syukur.

"Tapi perjalanan nak ke tepi pantai agak jauh. Dengan kecederaan terseliuh seperti ini, bimbang kecederaan makin serius." Liyana mengungkapkan kerisauannya.

Thalhah melihat jam di tangannya. Mereka sudah menghabiskan hampir setengah jam sepanjang proses membantu Tiara. Bila-bila masa sahaja bot boleh tiba dan mereka tak boleh berlengah.

Thalhah teringat, pengusung kecemasan ada di bot pertama tadi. Mereka terlupa mengambilnya dan bot pertama sudah 30 minit bergerak pergi.

Thalhah tak dapat memikirkan cara lain selain...

"Maaf, tak ada cara lain. Keadaan sekarang mendesak dan kita tak boleh bergerak lambat. Maaf Tiara, saya minta izin... saya... terpaksa angkat awak."

"Tapi... ehh!"

Thalhah mendukung Tiara. Buat pertama kali dalam hidupnya mendukung seorang gadis bukan mahram, kerana keadaan yang kalau dibiarkan, boleh memudaratkan kecederaan kaki Tiara dan memudaratkan semua fasilitator yang ada jika berlaku ribut di lautan kerana terlewat.

Semua yang melihat, ternganga!

"Betulkah itu Thalhah?" Pertanyaan yang tak keluar dari mulut, hanya sebatas di hati mereka.

Tiara tak tahu hendak meletakkan wajahnya di mana. Dia malu!

"Siapa yang tolak aku tadi? Tak pasal-pasal keadaan dah jadi macam ni! Malunya aku!" bisik hati Tiara.

Pipi Tiara yang memang sudah sedia putih kemerahan, bertambah merah kerana malu. Tiara hanya mampu memejam mata kerana kalau dia membuka mata, dia harus memandang ke mana?

Dan Thalhah, perasan akan reaksi Tiara...

Dari jauh, kelihatan bot baru sampai.

Mereka berempat bergegas menuju bot dengan Tiara masih dalam dukungan Thalhah.

"Apa dah jadi?" Tanya fasilitator lain, kebingungan.

***

Sudah separuh perjalanan, dan kelihatan langit masih cerah, cuaca masih baik dan tenang. Buat masa sekarang, kesemua mereka masih boleh bernafas lega. Ada kurang lebih dua jam lagi dari jangkaan kemungkinan berlakunya ribut.

Tiara duduk dalam posisi kakinya dilunjurkan di atas kerusi bot yang asalnya muat untuk seorang lagi penumpang. Kakinya tidak dibiarkan terjuntai ke bawah. Itu posisi duduk yang mereka pelajari jika berlaku seliuh kaki.

Sedang semuanya tenang dan leka dengan pemandangan laut yang indah, awan hitam tiba-tiba memayungi mereka.

"Langit tiba-tiba gelap!"

Thalhah yang duduk dekat dengan pembantu tekong bot terdengar tekong bot berbicara perlahan.

"Adakah kisah legenda itu benar dan akan berulang?"

"Legenda apa yang dimaksudkan, pakcik?" Thalhah tak tahan untuk bertanya.

"Pakcik orang baru di sini. Apa yang pakcik dengar, menurut orang-orang tua di sini, setiap 12 tahun... ," belum sempat pakcik itu meneruskan kata-kata, bot mereka mulai terumbang-ambing.

"Ribut bakal melanda! Mengapa awal dari jangkaan?" Masing-masing tertanya-tanya.

"Semua peluk beg galas masing-masing!" Thalhah gegas memberi arahan.

***
Laila sedang di dapur, tiba-tiba merasa sesak di dadanya.

"Ya Allah, hari ini anakku akan pulang dari pulau. Mengapa hatiku tak tenang. Sakit sekali rasanya. Seperti sesuatu akan berlaku!" Laila menepuk-nepuk dadanya yang terasa sesak.

"Ya Allah... selamatkanlah anakku dan rakan-rakannya dari segala bahaya!" Laila menadah tangan, berdoa sepenuh hati. Sebulir air mata jatuh di pipi, mewakili naluri hati seorang ibu.

SURVIVAL : PULAU SANGKAR CINTAWhere stories live. Discover now