BAB 9 : Canggung

52 13 1
                                    

"Semua peluk beg galas masing-masing!" Thalhah gegas memberi arahan.

Situasi berubah genting. Ombak tiba-tiba mengganas disusuli angin kencang yang menakutkan.

Bot bagaikan sedang naik turun di kawasan berbukit tanpa boleh dihentikan.

Tiara yang terseliuh kakinya, cuba menarik beg galasnya yang diletakkan di bawah. Posisinya yang tadi duduk dengan kaki melunjur di atas kerusi tidak memungkinkan beg galasnya yang besar muat diletak di tempat duduk.

Thalhah yang khuatir akan keadaan Tiara, gegas bangun mencuba membantu, dengan beg galasnya sudah dalam pelukannya.

Namun, malang tidak berbau. Ketika rakan-rakan lain memegang kuat pada bot, Thalhah yang baru beberapa langkah menghampiri Tiara, dan Tiara yang sedang mencuba mengambil beg galasnya, kedua-duanya dalam keadaan tiada tempat berpegang, lalu terhumban keluar dari bot.

Semua yang menyaksikan menjerit cemas.
Mereka cuba membantu tetapi tak berdaya kerana mereka sendiri juga dalam situasi yang berisiko tinggi.

Di fikiran Thalhah ketika ini hanyalah "Aku kena selamatkan Tiara!"

Thalhah mencuba melawan arus, berenang menghampiri Tiara. Mujurlah jarak mereka sangat dekat. Thalhah berjaya mencapai jaket keselamatan yang dipakai Tiara, menariknya dan membawa Tiara sama-sama berpaut pada beg galas Thalhah. Beg galas Tiara? Terjatuh dan dibawa arus entah ke mana.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Dengan tiba-tiba, sebuah ombak yang lebih besar datang.

Tiada yang dapat menggambarkan betapa terpaku Thalhah dan Tiara ketika ini, seolah fikiran terhenti dan mereka tak mampu berbuat apa-apa lagi.

Dan...

Pandangan mata mereka kelam. Fikiran mereka bagai berada di awang-awangan... terasa bagai berada di dunia antara sedar dan tidak sedar.

***
Hujan renyai-renyai terasa menitik-nitik di wajah.

Thalhah membuka mata. Perkara pertama yang dia sedar, matanya sedang melihat ke arah langit. Kesedarannya perlahan-lahan datang.

"Uhuk uhuk." Thalhah terbatuk.

Entah banyak mana air yang masuk ke rongga mulut dan hidungnya tadi.

"Allahurobbi..." Thalhah baru sedar sepenuhnya.

Dia bangun, memerhati ke sekeliling. Tiada sesiapa kecuali... beg galasnya dan... gadis yang dicintainya dalam diam sejak empat tahun lalu, ada terbaring dekat dengannya.

"Tiara!"
"Bangun Tiara!"

Thalhah memanggil.

Tiada respon dari Tiara.

Thalhah menggoncang tubuh Tiara, tetap tiada respon dari Tiara.

Tanpa berlengah, Thalhah membuka jaket keselamatan yang dipakai Tiara, memeriksa nadi Tiara dengan dua jari diletakkan di leher gadis itu.

"Seperti tiada denyutan nadi! Atau aku yang panik sampai tak rasa nadi?"

Teringat latihan bantuan kecemasan yang pernah dipelajari. Jika seseorang lemas atau tak sedarkan diri, tiada denyutan nadi atau ada sekalipun, tetapi kita cemas sehingga tak dapat rasa denyutan nadinya, segera lakukan juga bantuan pernafasan kerana ianya dapat membantu menyelamatkan nyawa.

Thalhah gegas melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR).

Thalhah meluruskan kepala Tiara, mendongakkan kepala Tiara untuk membuka saluran pernafasan, seterusnya memeriksa jika ada bendasing dalam mulut Tiara.

Kemudian, Thalhah segera melakukan 30 kali tekanan di tengah dada.

Tiara belum juga sedar.

"Bantuan pernafasan mulut?" Thalhah meneguk liur... gugup.

"Demi selamatkan nyawa."

Thalhah memicit hidung Tiara, baru saja hendak menunduk, Tiara tiba-tiba terbatuk dan mulutnya mengeluarkan sejumlah air yang tertelan ketika lemas tadi.

'Hampir saja,' bisik hati kecil Thalhah.

'Haish, apa yang aku fikir ni. Jangan fikir yang bukan-bukan, Thalhah!' Thalhah membentak dirinya sendiri di dalam hati, sambil mengusap tengkuknya, respon spontan antara rasa malu dan bersalah. Rasa bersalah kerana sempat memikirkan perkara 'nakal' seperti itu, tadi.

Tiara sudah sedar, tetapi masih terbatuk. Segera Thalhah mengiringkan tubuh Tiara agar berada dalam posisi pemulihan.

Tangan Thalhah terhulur ingin menggosok belakang Tiara, ingin membantu meredakan batuknya. Namun... tangannya ditarik kembali.

Akal logiknya mengatakan, Tiara selama ini sangat menjaga diri dari sentuhan ajnabi. Tadi dia tidak sedar sewaktu Thalhah melakukan bantuan pernafasan, tapi sekarang sudah sedar. Pasti akan lain jadinya jika Thalhah bertindak di luar kebiasaan.

Keadaan Tiara sudah membaik. Dia memerhati sekeliling.

"Kita di mana?" Tanya Tiara, kebingungan.

"Sebuah pulau yang saya pun belum tahu pulau apa." Jawab Thalhah, sambil melihat sekeliling, mana tahu kalau ada tanda-tanda pulau ini berpenghuni.

"Mana yang lain? Mereka semua selamatkah?" Tanya Tiara, bernada risau.

"Saya belum jumpa sesiapa yang lain di sini kecuali kita, Tiara." Tenang Thalhah menjawab.

Tiara sekali lagi melihat sekeliling. Wajahnya memucat. "Cuma kita berdua... di sini?"

Thalhah mengangguk. Dari cara soalan itu, cukup membuat Thalhah faham kerisauan hati seorang Tiara.

"Hari masih cerah. Kita kena segera cari tempat yang sesuai untuk berlindung sebelum senja."

Thalhah mengeluarkan telefon bimbit dari beg galasnya. Thalhah tahu, di pulau agak sukar mendapatkan talian telefon. Namun tak salah dia mencuba. Salah satu ikhtiar awal yang boleh difikirkan untuk mendapatkan bantuan.

Puas sudah Thalhah menghalakan telefon bimbitnya ke sana ke mari, namun tiada isyarat talian yang didapatkan. Bermakna tiada nombor yang dapat dihubungi untuk memohon bantuan!

"Cuba periksa telefon bimbit Tiara, ada isyarat talian tak?" pinta Thalhah.

"Telefon bimbit Tiara, rosak masa jatuh tebing awal pagi tadi. Telefon tu ada dalam beg, dan beg Tiara tak ada. Tak tahu di mana..." Tiara tertunduk, sedih sekaligus risau memikirkan bagaimana menghadapi keadaan tanpa barang keperluan penting yang ada di dalam begnya.

"Allahuakbar... maaf saya lupa."

"Kalau macam tu, kita cuba cari dulu ada sesiapa tak di sini. Sebelum tu, balutan kaki Tiara perlu ditukar." Thalhah melihat balutan di kaki Tiara yang lencun sepenuhnya.

Thalhah mengeluarkan peti pertolongan cemas dari beg galasnya. Mujurlah beg galas itu beg kalis air yang berkualiti. Punyai daya tahan, barangan di dalam beg tidak basah dalam tempoh tertentu di lautan. Hanya jika terendam lama di dalam air, barulah barangan di bahagian dalam akan basah.

"Hulurkan kaki, saya bantu tukarkan balutan."

Tiara kelihatan ragu-ragu. Namun, untuk membalut sendiri, dia tidaklah begitu pandai. Dirinya juga masih lemah. Mahu tak mahu, Tiara menurut, menghulurkan kakinya untuk ditukar balutan.

Thalhah membalut kaki Tiara dengan penuh teliti. Setelah selesai, Thalhah mendongak ingin memberitahu Tiara, namun terpana seketika, bila pandangan matanya tak sengaja bertemu sepasang mata bundar yang sangat... cantik!

Kedua-duanya tersedar lalu segera mengalihkan pandangan. Canggung! Ya, perasaan canggung memenuhi diri. Buat pertama kalinya beradu mata, berinteraksi dekat seperti ini. Berdua, tanpa ada sesiapa di sekeliling mereka.

SURVIVAL : PULAU SANGKAR CINTAWhere stories live. Discover now