Bawa lari? Aduh, dia rasa Dato Idris dah banyak salah faham.

"Dato, Dato ingat tak mengapa saya tiba-tiba bekerja disini?" Soal Mak Timah secara tiba-tiba. Jauh daripada topiknya tentang lelaki kampung itu. Entah kenapa pula banyak sangat soalan dia hari ini, itupun mujur sahaja Dato Idris layan kan sahaja.

Tatkala kening Dato Idris saling bercantum pelik apabila Mak Timah mula bangkitkan pertanyaan tentang benda yang dah lepas.

"Apa kena mengena topik tadi dengan soalan Mak Timah sekarang?"

"Kalau Dato nak tahu, sebelum Mak Timah kerja disini sebenarnya saya kerja dirumah Tuan muda Andikha Rafael. Dia tu baik sangat, Dato. Semua pekerja dia dapat layanan sama adil. Tapi nak dipendekkan cerita, selepas arwah mak dia meninggal... terus Tuan Muda hilang semangat untuk bekerja. Dia tinggalkan rumah, dia berhentikan semua pekerja, dan selepas itu pergi menghilangkan diri."

Dato Idris cuma diam memasang telinga biarpun dia masih belum dapat menangkap maksud. Dalam masa yang sama, tertanya-tanya juga mengapa si Tuan Muda itu tiba-tiba berubah 180 darjah.

"Dan Mak Timah salah seorang yang dipecat. Jadi sebab itulah Mak Timah pindah bekerja disini."

"Jadi kenapa dengan majikan lama Mak Timah dengan topik tadi?" Dato Idris masih lagi bingung.

"Tuan Andikha Rafael itulah yang sebenarnya lelaki kam..."

"Mak Timah dah habis kerja di dapur ke sampai boleh berborak dengan suami saya?" Suara Datin Khadijah mencelah, semerta memotong ayatnya. Langsung Mak Timah toleh ke belakang, tahu-tahu sahaja perempuan tua itu sudah menapak ke ruang tamu. Raut wajahnya nampak kurang senang apabila Mak Timah cuba masuk campur dalam urusan keluarga mereka.

Seraya Mak Timah tunduk menekur ke bawah saat Datin Khadijah berhenti di hadapannya.

"Belum, Datin." Balasnya perlahan.

"Dah tu? Pergilah kerja. Datokan baru balik, takkan tak tahu yang dia penat nak jawab setiap soalan Mak Timah?"

"Maaf, Datin. Mak Timah pergi sambung kerja di dapur semula."

Datin Khadijah cuma menjeling meluat. Ada dengusan kecil jelas sedang menahan geram. Tanpa pedulikan Mak Timah yang terus melangkah ke dapur, dia terus mengambil tempat duduk di sebelah kiri suaminya.

Lengan Dato Idris ditepuk perlahan, menarik pandangan suami menoleh ke arahnya.

"Apa yang Mak Timah tu cakap dengan abang?" Soal Datin Khadijah, agak tidak puas hati kerana dia tidak sempat mendengar penuh perbualan mereka berdua tadi.

Malahan Dato Idris menjongket bahu. Dia pun kurang faham dengan cerita Mak Timah. Sekejap A, sekejap B. Pening kepala.

"Entah. Dia cerita pasal majikan lama dia, Tuan Andikha Rafael katanya."

"Siapa lelaki tu? Abang kenal ke?"

Dato Idris menggeleng.

"Tak tahulah. Mak Timah tiba-tiba sahaja buka cerita tentang tu. Agaknya, dia teringat kut?"

Datin Khadijah tidak berkata apa-apa. Sesaat dia menjeling ke arah dapur, benarkah Mak Timah cuma cerita tentang majikan lamanya sahaja? Tapi mengapa secara tiba-tiba? Fikirannya penuh dengan tanda tanya.

Ah, malas dia mahu serabutkan kepala tentang itu!

Datin Khadijah menggeleng kepala. Melupakan hal remeh tadi sebelum kembali memandang suaminya semula. Tangan Dato Idris diraih lembut. Siap berdehem membetulkan suara sebelum membuka mulut.

"Abang..." panggilnya meleret dengan nada manja.

"Hmm..." Respon Dato Idris.  Matanya masih melekat di kaca televisyen. 

MR PIRATEWhere stories live. Discover now