Tidak mahu tidak, dia pun kena main tarik tali juga.

Husna melangut kepala membalas renungan Lanun dengan lagak yakin.

"Apa yang boleh buat saya yakin yang awak akan tunaikan setiap permintaannya saya?" Soal Husna.

Lanun dongak memandang ke langit seketika, memikirkan cara. Hmm... apa ya? Dia tunduk pula memandang kedua belah tapak tangannya. Sumpah. Ya, sumpah adalah perkataan yang tidak boleh dibuat main. Jadi dengan sumpah yang dilafazkan, mungkin Husna akan mempercayainya. Lantas sebelah tangan kanan diangkat tinggi sampai ke paras bahunya. Mata Husna ditenung dalam-dalam.

Nafas ditarik sebelum dia bersuara.

"Aku janji dan aku bersumpah... akan tunaikan apa sahaja yang kau mahukan. Tak kira benda tu berat atau ringan, aku akan cuba buat demi kau. Dan aku takkan sesekali cari alasan untuk tolak permintaan tu." Ucap Lanun penuh bersungguh-sungguh dan serius. Jelas dia tidak bermain dengan sumpahan yang baru dilafazkan. Selagi permintaan Husna tidak melebihi batasan agama dan hilang akal, dia akan cuba untuk tunaikan.

Husna tersenyum senget. Menarik! Dia percaya sekarang. Tapi, apa yang nak diminta nanti ya? Ah, nanti-nanti sahaja fikir! Sekarang, dia mahu dengar pula apa yang Lanun ingin dia lakukan.

"Okay, awak nak saya buat apa?"

Lanun tersenyum. Tangan dijatuhkan ke bawah semula.

"Senang sahaja. Tak susah mana pun. Kau tengok dulu aku buat." Topi jerami diperbetulkan dahulu. Dia berdehem beberapa kali membetulkan anak tekak sebelum berpaling ke hadapan. Memandang pengunjung di pasar yang lalu-lalang di laluan mereka.

Baiklah, dia dah bersedia. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus. Lantas kedua belah tangan naik ke mulut sebelum dia menjerit.

"IKAN! IKAN! MURAH! MURAH! MARI BELI! BELI DUA PERCUMA SATU!"

Mata Husna terbeliak. Jatuh rahangnya apabila melihat cara Lanun menarik pembeli. Terpinga-pinga Husna pandang sekeliling. Ya Allah, malunya apabila ada yang menoleh memandang gerai mereka. Terus topi jerami yang dipakai ditarik sedikit menutup separuh wajahnya.

"Lanun, cukuplah tu! Malulah orang tengok!" Bisik Husna perlahan, cukup untuk dia dan Lanun sahaja yang dengar. Lengan baju lelaki itu ditarik berkali-kali, meminta Lanun untuk hentikan tindakan memalukan itu.

Lanun menghembus nafas. Satu kelegaan dapat menjerit. Dia dah buat, kini giliran Husna.

"Sekarang, kau pula."

"Huh?!" Terkejut bukan kepalang, terus kepala Husna melangut memandang Lanun. Matanya membulat. Terketar-ketar jari diangkat menunding ke arah diri sendiri.

"Sa... saya?" Dan-dan pula Husna jadi gagap. Ah, sudah. Husna pandang sekeliling. Ada mata-mata yang memandang ke arahnya, seolah-olah menanti giliran dia pula untuk melakukan perkara yang sama.

Langsung saja Husna geleng kepala. Memang tidaklah dia hendak lakukan seperti tadi.

"Tak nak! Saya takkan buat benda memalukan macam itu!"

"Inilah namanya kerja. Kalau malu, macam mana nak kerja dengan yakin? Kau patut cuba."

Husna tetap geleng kepala. "Awak sajalah yang jerit."

"Kitakan dah deal tadi, kau tak boleh tarik balik. Cepat buat." Kali ini pandangan Lanun bertukar tajam. Mata dikecilkan merenung Husna. Tadi bukan main setuju, sekarang mahu tarik balik pula? Jangan harap dia akan benarkan.
Husna cuba tayang muka seposen, mengharapkan Lanun melepaskan dia. Malang sekali, lelaki itu tetap memandangnya dengan serius. Menanti giliran Husna pula untuk bersuara lantang.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now