"Itu sahaja pilihan yang kita ada sekarang." Sambung Tan Sri Raqib.







                  
                     BEBERAPA jam sudah berlalu, dengan cahaya matahari yang memancar terik ke bumi. Panasnya hingga terserlah kesan peluh melekat di belakang baju T shirt yang dipakai Husna. Berkali-Kali tangannya mengesat peluh yang turun dari dahi. Kulit putihnya pun sudah terbakar dek kerana dijemur panas daripada tadi. Bibir asyik mengeluh. Adakala membebel apabila tiada satu pun haiwan laut yang terperangkap pada jorannya.

"Haih, ketam ni tak lapar ke? Apahal daripada tadi umpan aku tak mengena ni?" Gumam Husna, geram. Sudahlah panas, selepas itu kena sabar menunggu jorannya bergoyang. Dan tatkala dia menoleh ke sebelah, makin buatkan hatinya rasa panas apabila melihat baldi biru milik Lanun yang sudah separuh dipenuhi ikan. Makin meluap rasa cemburu apabila melihat kulit muka lelaki itu putih bersih terlindung dari terkena sinaran matahari kerana mengenakan topi nelayan.

Haih...

Tenang sungguh lelaki itu memancing.  Adakala terlihat peluh mengalir pada batang lehernya, tentu dia juga turut rasa panas seperti Husna. Akan tetapi langsung tak merungut apa-apa. Husna sahaja yang melebih-lebih, serba tak kena. Dan Lanun siap boleh berpeluk tubuh sambil anak mata memerhati ke segenap kawasan yang luas itu penuh serius. Tak ubah seperti pihak polis yang sedang memastikan setiap penjuru kawasan mereka duduki selamat daripada ancaman.

"Ikan makan umpan aku lagi!" Lihat sahaja pelampung pancing itu bergoyang, terus Lanun bangun daripada duduk di atas fish box. Pantas tangannya mencapai joran yang disandarkan pada bot, ditarik dan direntap tali pancing itu sekuat tenaga agar ikan itu tidak terlepas. Sebelah tangan lagi lincah memutar tali pancing dengan laju.

Berdebar-debar jantung Husna saat menonton aksi tarik-menarik joran itu. Rasa-rasanya ikan yang dapat kali ini besar, lihat muka Lanun berkerut semasa menarik pun sudah tentu ikan itu berat dan kuat melawan arus.

Kuat lagi tarik! You can do it! Jerit Husna di dalam hati.

Eh sekejap, mengapa dia pula yang excited apabila Lanun dapat ikan? Husna geleng kepala. Ikan aje pun, bukannya dapat tangkap udang galah!

"Sikit lagi... Yes!" Lanun bersorak gembira. Sekali tarik dengan menggunakan seluruh kudrat yang ada, terus ikan yang tersangkut pada mata kailnya itu meloncat masuk ke dalam bot. Husna sedikit terkejut saat ikan kerapu bersaiz besar itu jatuh hampir-hampir mengena kakinya. Langsung dia bangkit lalu bergerak ke tepi, menyaksikan ikan yang masih hidup itu bergerak-gerak dengan mulut terlopong.

Wah, ikan kerapu itu lagi besar daripada kaki aku! Bisik Husna di dalam hati.

Lanun tersenyum gembira. Hilang penat apabila melihat usahanya membuahkan hasil yang lumayan. Jarang sekali dia dapat ikan bersaiz sebesar itu. Ikan kerapu pula tu! Bukannya murah jika hendak mendapatkannya di pasar. Bersyukur sangat kepada Tuhan. Tanpa menunggu lama, Lanun duduk mencangkung mencapai ikan yang masih hidup itu dengan tangannya yang memakai sarung tangan. Ada bahagian sirip yang tajam, jadi dia perlu lebih berhati-hati.

"Rezeki kita hari ini dapat ikan kerapu. Sedap ni kalau buat bakar berempah." Ujar Lanun.
                
Dengan secara lembut, dia menanggalkan muncung ikan kerapu yang tersangkut pada mata kailnya sebelum diletakkan ke dalam baldi biru bersama ikan-ikan kecil yang lain.

"Dah terlebih cukup ikan yang kita dapat hari ini. Eloklah kalau kita balik sekarang." Kata Lanun, bersiap sedia mengemas peralatan yang telah digunakan tadi. Sarung tangan dibuka, kotak umpan ditutup, dan joran pancingnya disimpan ke tepi. Malahan Husna langsung tidak bergerak, memeluk tubuh dengan gaya berlagak.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now