"Ish, gatal betullah!" Husna mendengus geram. Habis merah seluruh lengannya dek kerana kukunya yang sedikit memanjang.

Beg plastik berisi pakaian dan sabun mandian dihadapannya dipandang. Ah, jangan harap aku akan guna! Terus beg plastik itu ditepis menjauhinya. Husna berpaling ke lain. Kaki ditarik rapat ke dada. Bibir memuncung panjang. Dalam waktu-waktu begini pun, sifat keras kepalanya tidak hilang.

Namun, semakin lama terasa seperti beg plastik itu memanggilnya dari jauh. Memujuk-mujuk hatinya untuk mencuba terlebih dahulu. Tidak! Dia takkan sesenang itu mengalah. Baru separuh hari, takkan tak boleh tahan?

Tatkala gatal kembali menyerang kulit kepala, Husna sudah mengerang serupa nak gila. Tak ubah seperti monyet yang digigit kutu.

"Tak boleh! Aku tak boleh tahan!" Tanpa menunggu lama, beg plastik itu terus ditarik kembali. Husna langsung bangun, membawa peralatan mandian bersama menuju ke pintu belakang.

Si Mr.Pirate itu kata, bilik mandi ada di ruang belakang. Tetapi bila pintu ditolak, dia cuma nampak pokok kelapa dan kontena kecil dihujung sana.

"Mana bilir airnya?" Soal Husna. Melilau anak matanya mencari keberadaan bilik air. Tangan masih menggaru kepala. Aduh, makin lama makin gatal!

"Hoi!" Tiba-tiba dirinya disergah dari belakang. Entah daripada celah mana, wanita tak dikenali itu terus meloncat ke hadapan Husna. Menayang barisan gigi putihnya dengan muka penuh mesra ingin berkenalan.

"Alahai, minah mana pula ni..." gumam Husna. Dia memandang wanita yang sedang berdiri sambil tersengih itu. Ada bunga orkid terselit ditepi telinga kanannya. Eh, orang selalu selit bunga raya tetapi dia bunga orkid. Ah, tak kesahlah. Tapi apa yang wanita itu mahukan daripadanya sekarang? Dia sudah tidak tahan ingin mandi!

"Ko orang darat ka? Yang pengsan semalam itu kan?" Dia meneka.

Dengan malas Husna mengangguk. Ya. Betullah itu. Tetapi biar ditambah sedikit, pengsan disebabkan lelaki tak guna tu!

Namun entah dimana yang seronok, wanita itu menepuk tangan berkali-kali. Dia langsung mendekatkan jarak. Dan Husna pula yang mengundur ke belakang. Beg plastik yang berada ditangan dipeluk erat. Takut diapa-apakan.

Dah kenapa pula perempuan ini?

"Sa (saya) memang dah lama nak berkawan dengan orang darat macam ko, ko tau ka? Bulih endak ko bawa sa pigi (pergi) sana suatu hari nanti? Sa teringin betul bah nak tinguk(tengok) itu bangunan cucuk langit. Apa itu? KLCC! Ha, yang itu!"

"Oh..." Husna tersenyum kekok. Nak berkawan rupanya. Ingatkan nak ajak bergaduh.

"Kenapa ko diam sija? Endak faham ka?"

"Eh, tak. Faham je. Sikit-sikit. Tapi... saya pun tak boleh keluar pergi sana sekarang. Kena paksa duduk sini dengan si Mr.Pirate tu. Sudahlah rambut putih macam atok-atok, perangai pun lebih kurang." Ujar Husna, sengaja dia menekan perkataan Mr.Pirate itu dengan penuh geram.

Namun, kening wanita itu berkerut.

"Mr.pirate? Apa itu?" Soalnya, tidak faham. Siap garu kepala lagi.

"Pirate tu maksudnya Lanun dalam bahasa Inggeris."

"Oooo..." panjang betul harakatnya. Serupa baru belajar ilmu baharu. Kepala terangguk-angguk faham.

"Tuan Lanun rupanya. Dia memang begitu, bah! Kalo (kalau) dengan perempuan memang dia bertegas sedikit. Apa yang dia cakap, ko ikut sija (sahaja). Jangan melawan cakap dia. Dia tu kalo marah, habis semua bahasa dusun, malanau, kadazan keluar! Kadang sa yang orang Sabah ni pun endak faham apa yang dia cakap! Lagi satu, muka dia kalo marah macam jerung tak makan setahun! Menangis budak kalo tinguk! Dia tu memang... memang..." sedang laju wanita itu membebel, tiba-tiba lidahnya kelu. Riak wajah automatik berubah.

MR PIRATEOù les histoires vivent. Découvrez maintenant