"Entahlah. Saya pun tak pasti. Tapi dia ada cakap yang Datin Khadijah ajak jumpa di sana." Ujar Mia.

"Lah, patutlah saya cari isteri saya dalam bilik tadi dia tak ada. Jumpa Husna rupanya." Dato Idris geleng kepala. Puas dia mencari susuk isterinya di sekitar resort ini, tetapi tak jumpa-jumpa. Mengapa wanita itu tidak memberitahu dahulu tentang hal ini? Kalau tidak, tak perlulah dia risau sampai begini sekali. Sejak tadi, hatinya rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Itu yang dia datang ke sini.

"Tapi... kenapa kena jumpa di jeti? Dekat sini pun banyak sahaja tempat yang boleh berjumpa." Dato Idris tertanya-tanya.

Malah Mia hanya menjongket bahu. Dia pun tidak pasti.

"Mungkin ada suprise untuk Husna? Tanda minta maaf? Ah, tak apalah Dato. Saya nak pergi ke jeti sekarang untuk jumpa Husna. Kalau dah tak ada apa-apa, saya minta diri dulu." Pamitnya tergesa-gesa.

"Eh, tunggu. Apa kata kita pergi sekali? Saya pun nak ke sana."

Mia angguk kepala. Lantas, mereka pun sama-sama melangkah meninggalkan tempat itu. Setiap langkah dilajukan. Dia mahu cepat tiba disana. Hati ini takkan tenang selagi tidak dapat melihat wajah Husna di hadapan mata.

Kali ini dia benar-benar mahu minta maaf. Harap-harap Husna menerimanya semula sebagai seorang kawan baik.











                    "NAH, ingat... kalau ada sesiapa tahu tentang hal ni. Engkau orang pertama yang aku akan heret masuk penjara." Ugut Datin Khadijah, wang berjumlah tiga ribu ringgit diserahkan kepada pemandu bot tersebut. Lelaki itu mengangguk kepala. Huluran duit dicapai bersama senyuman puas. Putih mata apabila melihat upah yang diterima. Tak sia-sia dia melakukan kerja gila tadi.

"Datin jangan risau. Saya takkan buka mulut tentang hal ni kepada sesiapa." Katanya.

"Dijah!" Panggil suara garau itu.

Mata Datin Khadijah terus membulat besar. Dia kenal pemilik suara itu. Tidak lain tidak bukan, suaminya. Apa pula orang tua itu buat di Jeti ini? Dari jauh dia dengar derap langkah laju menuju kearahnya. Langsung Datin Khadijah memberi isyarat mata kepada pemandu bot itu, tanda menyuruh dia untuk menyorok wang itu daripada dilihat oleh Dato Idris.

Dia mengangguk. Duit upahan tadi terus disimpan ke dalam poket bajunya.

Setelah itu, barulah Datin Khadijah buat-buat menangis. Meraung-raung serupa kucing hilang anak sebelum menoleh ke belakang. Mulut tak berhenti menyebut nama Husna. Kedua-dua belah tangan melekap ke dada, serupa menahan rasa sakit tatkala mendengar berita tidak gembira itu.

Dato Idris dan Mia yang baru tiba, terus berkerut. Mereka berpandangan sesama sendiri sebelum kembali memandang Datin Khadijah. Adakala anak mata Mia melilau ke segenap jeti, tercari-cari dimana kelibat Husna. Bukankah sepatutnya wanita itu berada disini?

"Dijah, kenapa ni?" Soal Dato Idris. Mula kerisauan. Kedua-dua bahu isterinya digenggam, ditarik agar memandang ke arahnya untuk bercerita apa yang telah berlaku. Entah mengapa, hatinya tiba-tiba rasa berdebar.

"Husna, bang..." ngongoi Datin Khadijah, sengaja dibiarkan ayatnya tergantung serupa tidak sanggup untuk diteruskan. Makin membuatkan Dato Idris tidak keruan dan mahukan lanjutan. Mengapa dengan Husna?

Mia turut memandang Datin Khadijah. Wajah sudah berkerut risau. Janganlah ada berita buruk yang menjengah ke telinganya sekarang.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now