KMM 25

30 0 0
                                    

ANGIN sepoi-sepoi bahasa menampar tubuh. Kedua-dua belah tangan yang berada di sisi digoyang-goyang perlahan mengikut rentak langkah kaki. Mata mengerling ke arah susuk tubuh yang sedang jalan beriringan denganku. Mulut masing-masing terkunci tanpa kata. Aku sendiri pun tak tahu nak mulakan perbualan tentang topik apa. Mungkin dia pun sama?

"Ehem..."

Refleks.

Kepala tertoleh ke arahnya. Dah kenapa pulak dia berdeham? Nak tarik perhatian aku ke?

"Erm... kau okey ke? Ada sakit dekat mana-mana?"

Setiap kali Fakhri kacau aku dan dia yang sering menjadi penyelamat pasti akan mengajukan soalan itu. Rasanya soalan itu sudah menjadi satu kewajipan untuk disoal.

"Saya okey saja. Terima kasih sebab tolong saya. Saya tak tahulah sampai bila dia nak kacau saya. Penat rasanya. Langsung tak nak bagi saya bernafas dengan sempurna." Tanpa sedar, aku mula meluahkan perasaan kepadanya. Entahlah. Aku memang rasa penat sangat nak hadap Fakhri tu. Mujur Nafla tak selalu muncul depan aku. Kalau tidak, bertambah-tambah kusut kepala otak aku.

"Kau kena pandai cari jalan. Takkan kau nak biarkan lelaki tu kacau saja. Selain doa, kau kena berusaha jugak. Tak pun kau report aje polis. Biar polis yang ambil tindakan."

Aku terfikir jugak nak laporkan hal ini kepada polis. Tapi hati aku rasa macam yakin tak yakin. Nak cakap tak sampai hati pun ya. Haih... hati aku bergelumang dengan rasa serba-salah. Sedangkan Fakhri dah banyak sakiti hati aku.

"Kau takut? Atau kau rasa serba-salah?" teka Yusuf.

Yusuf ni memang boleh baca isi hati orang ke apa? Rasanya tadi aku bermonolog dalam hati aje.

"Dua-dua."

"Kita duduk sini," ajak dia.

Aku sekadar mengekorinya dari belakang. Bangku berwarna coklat itu menjadi alas untuk aku duduk bersama dengannya.

"Kau nak takut apa? Dan apa sebab kau nak rasa serba-salah? Lelaki tu dah banyak sakitkan hati kau. Takkan kau nak biar saja?"

Nafas dihela perlahan. Pandangan terpancang pada kolam kecil buatan yang terletak di tengah-tengah taman. Lambat-lambat aku menggelengkan kepala. Tidak mempunyai jawapan untuk soalan Yusuf.

"Kalau kau takut nak report polis, kau kenalah cari jalan yang boleh lindungi kau. Orang macam dia tu tak boleh jangka apa yang akan berlaku. Kau sebagai mangsa kena bersiap-sedia."

Kedua-dua belah siku ditahan di atas paha. Menongkat dagu. Pening memikirkan tentang lelaki bernama Zawwar Fakhri ini. Tak pernah terlintas langsung yang dia akan berubah sedrastik seperti ini. Aku ada kehidupan sendiri. Takkan aku nak kena ikut telunjuk dia saja. Banyak cantik muka dia.

"Jalan apa je yang ada selain report polis?" Aku menoleh sedikit ke kanan. Meminta jawapan daripada Yusuf.

"Kau kena cari sendiri."

Aku mencebik. Ingatkan dia nak bagi jawapan. Suruh aku cari sendiri pulak. Tadi beria-ria nak tolong aku. Satu jalan aje yang dia bagi.

"Sorry aku tak balas chat kau tadi. Jadi esok hari pertama kau bekerja? Apa kau rasa sekarang ni?"

"Happy sangat. Rasa tak sabar nak kerja. Setelah dua tahun saya tak kerja, akhirnya dapat jugak kerja. Boleh buat simpanan sendiri lepas ni."

Yusuf menganggukkan kepalanya.

"Baguslah macam tu. Aku sentiasa sokong kau dari belakang."

Ayat dia walaupun dengar macam simple. Tapi aku rasa gembira bila ada orang yang sudi sokong aku dari belakang. Selalu ayat itu dituturkan oleh Nafla. Dia selalu bagi aku semangat kalau aku nak buat apa-apa. Senang cerita, kami sokong antara satu sama lain.

Perlahan genggaman tanganku naik menyentuh dada. Rasa sebak mencengkam hati membuatkan air mata aku menitis tanpa sedar. Aku rindu Nafla Auliya yang selalu menjadi pemberi semangat dan pendengar setia semua masalah aku.

"Kenapa kau menangis?"

Lantas aku menggelengkan kepala. Wajah dipaling agar Yusuf tidak melihat aku menangis.

"Kau nak sorok pun, aku dah nampak air mata kau. Kenapa kau menangis?"

Aku mengemam bibir untuk menahan esakan dari terhambur. Jari menyeka air mata yang semakin lama semakin laju menitis.

"Saya cuma rindukan sahabat saya. Dulu dia selalu ada untuk saya. Tapi sekarang dia dah tak ada. Dia sendiri yang khianati saya."

Beberapa kali aku menggelengkan kepala sambil melepaskan tawa kecil.

"Tapi ibu pernah cakap, tak semua yang akan terus kekal dengan kita. Saya cuba untuk terima semua yang terjadi tapi rasa sakit tu tak dapat nak dinafikan. Dia yang selalu ada tika saya senang dan susah. Tiba-tiba tak ada. Saya rindu semua kenangan bersama dengan dia. Kalau awak ada sahabat, mungkin awak faham apa yang saya maksudkan."

"Aku faham perasaan kau. Aku ada dua orang sahabat. Setakat ini, dia orang masih bersama dengan aku susah dan senang. Tapi aku selalu ingat pesanan seseorang."

"Pesanan apa tu?" soal aku. Ingin tahu. Tangisan aku sudah pun sudah berkurangan. Masih mampu mengawal lagi.

"Ajar diri kau simpan seseorang yang kau sayang dalam doa bukan sepenuhnya di dalam hati. Bila seseorang tu pergi meninggalkan kau, hati kau akan melepaskannya dengan tenang."

Aku terdiam.

"Kau cubalah lepas ni. Kau kata kau rindu dia, kan? Selitkan nama dia dalam setiap doa kau. Mana tahu suatu hari nanti, dia sedar akan kesilapan dia. Hati manusia Allah yang pegang. Bukan manusia yang pegang hati manusia."

Aku sekadar menganggukkan kepala dia. Terdetik sesuatu dalam hati aku. Aura kata-kata Yusuf sama seperti di dalam kad yang aku terima bersama dengan bunga mawar putih itu. Susunan ayat dia pun lebih kurang sama. Suka bagi kata-kata yang mampu menenangkan hati seseorang. Tenang dan lembut.

Adakah dia Gizemli Adam?

Tapi... aku dengan dia baru saja kenal. Haih... pening jugak nak tahu siapa pengirim bunga ni. Payah benar!

"Kau sedih lagi?"

Aku menoleh ke arahnya. Kepala dibawa geleng sekali.

"Dah kurang. Terima kasih sebab bagi kata-kata yang boleh tenangkan hati saya semula."

"Sama-sama. Dah tak sedihlah ni? Aku fikir kau sedih lagi. Baru nak bawa kau pergi makan."

Wah, dia nak kenakan aku! Aku ni dahlah tengah kawal selera makan. Tak boleh makan secara berlebih-lebihan. Dia pulak umpan aku dengan makanan.

"Ala, ya ke? Saya nak kena sedih baliklah ni, eh?"

Dia melepaskan tawa kecil membuatkan jantungku bergetar tak tentu pasal. Takkan baru dengar dia ketawa macam tu dah gubra semacam Haura Kayyisa, oi! Jangan mudah sangat terpedaya dengan godaan lelaki. Eh, ketawa pun dikira menggoda ke?

"Tak adalah. Aku gurau aje. Temanlah aku makan. Aku belum makan ni. Kawan-kawan aku belum habis kerja lagi. Sudi tak teman aku?"

"Eh kalau pasal makanan, 10 kali saya sudi awak. Kalau awak yang belanja, saya selalu doakan untuk awak agar dimurahkan rezeki yang melimpah-ruah."

Yusuf bangun sambil menggelengkan kepala membuatkan aku tertawa kecil.

"Perempuan kalau pasal makanan laju aje, kan? Dah, jom. Memang aku belanja pun. Doa kau tadi tu, aku aminkan aje."

"Mesti. Makanan itu mampu membahagiakan hati seseorang yang sedang lara."

Yusuf hanya memandang aku dengan pandangan kosong. Beku. Macam tulah reaksi dia. Mahal betul senyuman Encik Aidin Yusuf ni.

"Oi, oi jangan lari. Jatuh nanti, susah karang."

Aku ketawa. Seronok pulak bila ditegur begitu oleh Yusuf. Datanglah perangai kebudak-budakanku ini. Langsung tak ada rasa malu terhadap Yusuf. Aku buat dia macam dah lama kenal aje. Padahal belum sampai sebulan lagi. Mujur dia melayan saja perangai aku ini. 

Kuntuman Mawar Milikku ✔ Terbit (2023)حيث تعيش القصص. اكتشف الآن