KMM 23

12 0 0
                                    

"ANAK ibu buat apa tu?" tegur ibu yang berdiri di muka pintu.

Aku mengangkat wajah. Penyapu yang berada di tangan, disandarkan pada dinding rumah. Bibir tersungging sebuah senyuman lebar. Bersemangat betul aku menyapu halaman rumah ni sampaikan bermandi peluh dibuatnya.

"Menyapu, ibu."

Ibu menganggukkan kepalanya. Matanya meliar ke sekitar suasana halaman rumah.

"Eh, tu ada bunga lagi dekat atas tembok tu. Rajinnya pengirim bunga ni, ya? Agaknya dia minat anak ibu ni dalam diam tak?"

Aku memusingkan kepala ke belakang. Dahi berkerut nipis saat mata tertancap pada sekuntum bunga mawar putih yang berada di atas tembok. Baru hari itu, aku menerima sekuntum mawar putih. Hari ini aku menerimanya lagi. Ya Allah... siapalah pengirim dia ni? Perasaan ingin tahu aku semakin membuak-buak.

"Tak tahulah siapa pengirim dia, bu. Takkanlah dia minat dekat Haura. Haura bukannya artis Malaysia pun."

Ibu melepaskan tawa kecil seraya menggelengkan kepalanya.

"Mana tahu. Anak ibu ni ada peminat. Peminat tak semestinya yang jadi artis saja. Dah, pergi ambil. Lepas tu, masuk rumah. Kita makan sama-sama."

"Haura nak mandi dulu, bu. Berlengas badan ni." Aku melangkah ke arah tembok untuk mengambil bunga mawar tersebut.

"Haa... yalah. Ibu tunggu, ya."

Aku sekadar menganggukkan kepala.

Mawar putih yang sudah berada di tanganku, diusap kelopaknya satu per satu. Tanpa sedar, bibirku mengulum senyum. Setiap kali aku menerima bunga ini, sepertinya ada sesuatu yang menyerap masuk ke dalam hati. Lebih-lebih lagi, bila aku membaca setiap ungkapan ayat yang tertulis di dalam kad kecil. Tulisannya memang benar-benar memukau hati.

Apa yang ditulis di dalam kad kali ini, ya? Rasa tak sabar pula hendak membacanya.

Sebenarnya, Allah hadirkan ujian yang bertalu-talu kepada kau bukan untuk kau terus hanyut dalam perasaan sedih. Tetapi kerana Dia terlalu rindukan suara dan air mata kau yang bersujud berdoa meminta pertolongan daripadaNya. Dia mahu kau mengadu kepadaNya. Ingatlah pesanan aku, serumit mana pun masalah kau, jangan pernah sesekali kau lupakan Dia. Aku harap dengan kehadiran sekuntum mawar putih ini dapat menggembirakan hati kau.

– Gizemli Adam

Semakin lebar senyuman aku membaca ayat di dalam sekeping kad kecil ini. Pengirim bunga ni macam tahu-tahu saja yang sekarang ni aku tengah bersedih.

Terima kasih, Gizemli Adam! Kata-kata awak selalu buat saya tersenyum walaupun masa tu saya tengah sedih. Saya harap suatu hari nanti saya dapat berjumpa dan berkenalan dengan awak.

"Haura, telefon Haura berdering tu. Dah dua kali dah ni!" jerit ibu dari dalam rumah. Terkejut dibuatnya. Mujur tak terpelanting bunga ni dari tangan aku.

"Ya, ibu. Kejap!" Lekas-lekas aku berlari masuk ke dalam rumah. Harap-harap bukan Si Fakhri yang call aku. Kalau dia yang call, memang spoil my mood.

Dahi aku berkerut nipis apabila mata merenung ke arah nombor yang tidak dikenali. Lambat-lambat aku mengangkat panggilan itu. Mana tahu Si Fakhri ni pakai nombor lain semata-mata nak aku angkat panggilan dia.

"Assalamualaikum...." Si hujung talian bersuara terlebih dahulu setelah aku meleretkan butang hijau ke tepi. Garau betul suara dia. Tegak bulu roma aku dibuatnya!

"Waalaikumussalam. Ya, saya?"

"Ini Cik Haura Kayyisa ke? Saya Amir Razin dari D'Huzurlu Resort."

Terkebil-kebil aku mendengar nama resort yang disebut oleh lelaki itu. Tak semena-mena jantung aku berdetak laju. Sabar dulu, Haura....

"Ya, saya. Ada apa ya?"

"Tadi pagi cik ada datang untuk temu duga, kan? Boleh saya tahu, Cik Mastura ada call cik semula tak?"

Makin berlapis-lapis dahi aku dibuatnya. Sempat lagi aku mengerling ke arah skrin telefon bimbit yang sedang menyala. Mana tahu, Mastura tu ada misscalled ke tadi. Tapi tak ada pulak. Kosong saja notifikasi aku dari tadi.

"Ya, saya ada datang pagi tadi. Saya tak ada menerima apa-apa panggilan dari mana-mana pihak D'Huzurlu Resort. Kenapa, ya?"

Aku terdengar lelaki bernama Amir Razin itu melepaskan keluhan kecil. Walaupun perlahan, cukup jelas di pendengaran aku. Dah kenapa pula dia mengeluh macam tu? Ada apa-apa yang tak kena ke?

"Saya dari pihak D'Huzurlu Resort ingin meminta maaf kepada Cik Haura. Sepatutnya pagi tadi, cik terus diserap masuk untuk bekerja di sini. Sebab pengurus dah semak resume yang cik hantar melalui e-mel. Lagipun, kami memang memerlukan pekerja. Boleh tak esok Cik Haura datang pada jam 9:00 pagi? Jumpa saya dekat lobi resort."

Aku tengah mimpi ke apa ni? Betul ke yang aku dilamar? Eh, dilamar untuk bekerja di sana? Serius ke?

"Errr... betul ke saya diterima bekerja?"

"Ya cik, betul. Patutnya cik dah dapat seragam dan boleh mula kerja esok. Tapi saya tak tahu pulak kenapa Cik Mastura suruh awak balik dan tunggu panggilan daripada dia. Maaf ya, Cik Haura."

Aku tersenyum lebar. Rasa nak jerit aje sekarang ni. Tak sabar nak bagi tahu ibu. Ah!

"Tak apa, encik. Insya-Allah, saya akan hadir esok. Terima kasih banyak-banyak."

"Sama-sama, cik."

Aku hanya mengeyakan. Talian dimatikan oleh Encik Amir Razin. Segera aku melangkah besar ke dapur. Belakang tubuh ibu aku peluk dari belakang sambil melepaskan jeritan kecil.

"Dah kenapa ni?" Berkerut dahi ibu melihat anaknya ini menjerit tak tentu pasal.

"Ibu, ibu... Haura dapat kerja. Esok Haura dah boleh masuk kerja. Dekat resort tadi tu!" jawab aku dengan penuh nada teruja.

"Alhamdullilah, anak ibu dah dapat kerja. Sukanya dia, ya." Ibu tertawa kecil sambil mengusap kedua-dua belah pipiku yang tembam ini.

Berkali-kali aku menganggukkan kepala. Dapat jugak kerja akhirnya. Agak-agak kalau beritahu ayah, dia gembira tak? Ke reaksi dia sama aje macam sebelum-sebelum ni? Tak apalah. Janji aku dah dapat kerja. Terpulang kepada ayahlah. Aku serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa.

"Ibu, lepas makan ni. Haura nak pergi tamanlah. Nak joging."

Ibu menganggukkan kepala.

"Baik-baik pergi nanti. Jaga diri."

Aku tersenyum. Segera aku masuk ke dalam bilik untuk membersihkan diri. Gembiranya aku hari ini. Esok aku dah mula kerja. Tapi seragam tak dapat lagi. Aku pakai ajelah baju yang sesuai dulu untuk ke sana. Mesti kena tukar baju seragam dekat sana.

Aku tertanya juga, kenapa Mastura tu tak ikut apa yang pihak dah tetapkan? Pengurus cakap lain, dia buat lain. Memang betul-betul dia menjaga imej setiap pekerja sampaikan ingkar arahan pengurus. Wah, wah... memandai saja kau ni, Haura.

Perut pun sudah kenyang diisi dengan masakan ibu yang sungguh lazat sekali. Mujur aku boleh tahan diri dari menambah buat kali kedua. Marah Dr. Adam nanti kalau dia tahu aku makan secara berlebihan. Berat aku pun baru aje berjinak-jinak nak turun. Sudahlah susah nak turunkan berat badan, kalau aku makan banyak dengan sewenang-wenangnya berat aku naik. Bukan sekilo dua. Tapi berkilo-kilo. Haih....

"Ibu, Haura keluar dulu. Assalamualaikum!" Aku membetulkan posisi tudungku di hadapan cermin bersebelahan dengan pintu masuk. Topeng mulut aku simpan di dalam kocek seluar. Kalau nak berjoging, tak perlu memakai topeng mulut. Tapi aku saja bawa untuk persediaan.

"Waalaikumussalam, baik. Hati-hati!" pesan ibu.

Segera aku melangkah keluar dari rumah setelah memakai kasut sukan. Kedua-dua belah tangan aku depakan ke udara. Nyaman sungguh udara petang ni. Ada masa dua jam saja lagi sebelum masuk waktu maghrib. Sejam pun dah cukup untuk aku mengeluarkan peluh. Sambil-sambil tu, boleh mencari ketenangan.

Fikiran aku ni tak habis-habis memikirkan tentang hari esok. Macam manalah hari pertama aku bekerja dekat resort tu nanti, kan? Agak-agaknya aku boleh bawa tak skop kerja yang Cik Mastura terangkan tadi. Nak kena sambut kedatangan pengunjung. Wajib senyum. Kena utamakan keperluan dan kehendak pengunjung.

Semoga Allah mempermudahkan segala urusan pekerjaan aku. Amin.

Kuntuman Mawar Milikku ✔ Terbit (2023)Where stories live. Discover now