KMM 20

37 3 0
                                    

TERUJA. Itulah perasaan aku sekarang ini, ketika menerima satu notifikasi daripada e-mel. Laju saja jari menarik notifikasi itu ke bawah dan tertera tajuk besar e-mel yang membuatkan degupan jantung aku berdetak rancak.

Permohonan Jawatan Kosong Diterima – Detil Temu duga

Ah! Aku rasa nak melompat aje sekarang ni. Saat-saat yang selama ini aku nantikan sudah tiba. Aku dijemput untuk ditemu duga di salah satu resort yang aku mohon. Resort ni selalu menjadi buah mulut orang ramai. Rata-rata ramai yang memuji perkhidmatan dan layanan pekerja yang sangat profesional. Harga pun berpatutan.

Detil temu duga yang tertulis di dalam e-mel itu, aku baca dengan penuh teliti. Berkali-kali dengan penuh keterujaan. Pihak mereka menyuruh aku untuk datang pada hari esok, tepat jam 11:00 pagi. Tak sabar mahu memberitahu berita gembira ini kepada ibu dan ayah. Terutamanya ayah. Dengan adanya detil temu duga ini, aku dapat menafikan sangkaan ayah selama ini. Dia selalu cakap yang aku malas nak cari kerja. Sekarang ni, aku dah ada bukti yang aku bukan seorang yang pemalas.

"Ayah, ibu. Haura dapat temu duga dekat sebuah resort yang boleh dikatakan terkenal juga. Esok. Pukul 11:00 pagi."

Telefon bimbit itu aku serahkan kepada ayah. Ibu sudah tersenyum. Ayah pula masih beriak kosong. Seolah-olah tiada perasaan gembira yang menyelusup masuk ke dalam hatinya ketika menerima berita gembira daripada aku.

"Tak ada jauh lagi ke? Kau nak cari kerja jauh-jauh kenapa? Dekat-dekat sini tak ada ke?"

Dahiku berkerut nipis. Jauh? Apa yang jauhnya? Bukannya kena merentas negeri pun. Lagipun, aku sudah pandai memandu sendiri. Guna aplikasi Waze sajalah untuk sampai ke tempat kerja. Semua celah jari saja. Zaman teknologi sekarang semakin canggih.

"Mana ada jauh, ayah. Tak sampai satu jam pun dah sampai, kalau tak jam."

"Kalau jam? Duit minyak lagi? Parking macam mana pulak? Nak kena bayar macam mana? Berbulan-bulan? Kau cari kerja memang pakai cari aje ke apa? Tak fikir macam mana kau nak ke sana hari-hari?"

Allahuakbar. Kenapa dengan ayah ni? Semuanya tak kena pada matanya. Bila tak cari kerja, dicupnya aku seorang yang pemalas. Bila dah dapat panggilan kerja, macam-macam pula yang disoalkannya. Apa yang aku nak buat sekarang ni? Sakit kepala aku memikirkannya. Haih....

"Haura tanggung sendiri, ayah. Duit simpanan Haura cukup untuk sebulan Haura kerja sebelum Haura dapat gaji."

Ayah meletakkan telefon bimbitku dengan kasar di atas meja. Berdentum bunyinya. Membuatkan aku dan ibu terkejut kecil dengan tindakan ayah. Ayah nak apa sebenarnya? Dia nak aku buat macam mana lagi? Semua yang aku buat, semuanya tak kena pada pandangan matanya.

"Aku tak kesahlah kau boleh tanggung ke apa ke. Masalahnya sekarang ni, kira bajet kau untuk setiap bulan kau kerja dekat sana. Takkan duit gaji kau nak habiskan dekat situ aje? Ada otak tu fikirlah sikit."

Aku mengambil telefon bimbitku lalu diseluk masuk ke dalam kocek seluar. Sungguh aku tiada jawapan untuk soalan ayah itu. Aku baru nak pergi temu duga esok. Tapi, cara dia seolah-olah aku dah dapat kerja. Ya Allah... kuatkanlah hatiku ini.

"Dahlah. Suka hati kaulah nak kerja mana pun. Malas aku nak masuk campur. Pandai-pandailah kau hidup."

Ayah mengangkat punggungnya lalu beredar masuk ke dalam bilik. Ditinggalnya aku dan ibu dalam keadaan terpinga-pinga. Sangkaan aku tadi meleset. Aku fikirkan ayah akan gembira bila tahu yang aku akan ditemu duga. Ternyata aku silap mentafsir.

"Sabarlah, sayang. Haura buat saja apa yang Haura mampu. Ibu selalu ada dengan Haura. Ibu gembira yang Haura dapat temu duga dekat resort yang Haura mohon tu. Kena dengan kelulusan Haura, kan?"

Kuntuman Mawar Milikku ✔ Terbit (2023)Dove le storie prendono vita. Scoprilo ora