KMM 12

30 1 0
                                    

KEDUA-DUA belah lutut didakap rapat ke dada. Air mata mencurah-curah bagaikan tidak kenal erti berhenti. Terasa angin kencang menampar-nampar kasar tubuhku. Hujung selendang turut melambai-lambai mengikut rentak angin. Topeng mulut diturunkan ke bawah dagu. Pandangan yang berkaca-kaca aku bawa dongak ke atas. Kelihatan seperti hujan akan turun dengan lebat. Seketika ini, aku rasa lemas dengan perasaan yang bercampur-aduk ini.

Entah kenapa tubuh aku serasa tidak mampu untuk berdiri teguh. Seakan-akan kekuatan aku lesap tidak lagi kembali. Pelbagai bayangan yang bermain di dalam mindaku. Pandangan mata orang yang melihat aku terduduk di belakang kereta ini, sedikit pun tidak aku hiraukan. Mereka tiada dalam situasi aku. Tak rasa apa yang aku rasa sekarang ini.

"Kenapa kau duduk dekat sini?"

Pandangan kini beralih ke arah lelaki yang berdiri di hadapanku. Fikirkan dia sudah pulang ke rumahnya. Rupa-rupanya dia masih ada di sini.

"Tak ada manfaat yang kau akan dapat bila membazirkan air mata untuk lelaki macam dia."

Sehelai sapu tangan bercorak geometri dihulurkan ke arahku. Namun, aku tidak sambut hulurannya. Keadaan aku sekarang ini macam berada di dunia lain. Bukan lagi berpijak di dunia nyata. Seakan-akan sedang bermimpi. Terlalu berharap semua yang terjadi ini hanya mainan tidur semata-mata.

"Lebih baik curahan air mata kau ni, kau keluarkan waktu kau sedang berdoa kepada Yang Maha Esa. Banyak kelebihan bila kau mengadu dengan Dia daripada kau mengadu pada orang yang belum tentu akan selamanya ada untuk kau."

Kata-kata nasihatnya membuatkan hatiku sedikit terusik. Apa yang dia katakan semuanya benar. Untuk apa aku mengongoi di atas jalan ini? Balik-balik, hanya sakit saja yang aku dapat.

"Jangan menangis. Aku tak boleh tengok bila seseorang menangis kerana disakiti lelaki yang tak tahu nak menghargai nilai kesetiaan seorang perempuan. Ada baiknya, kau balik dan duduk di atas tikar sejadah. Tunaikan solat sunat. Mengadu pada Allah sehingga dada kau terasa lapang."

Dia meletakkan sapu tangan itu di atas lututku. Aku hanya memandang saja dirinya yang masih lagi statik berdiri di hadapan aku. Tangisanku sudah sedikit reda. Tidak lagi teresak-esak seperti tadi. Dia berjaya membuatkan hati aku yang tadi menggelodak hebat menjadi tenang.

"Terima kasih, encik. Saya minta maaf pasal kemalangan kecil tadi," ucap aku sebaik saja mempunyai kekuatan untuk berdiri semula. Cumanya kepala aku sedikit berpinar. Mungkin kerana terlalu banyak menangis.

"Tak perlu berterima kasih dengan aku. Aku cuma tak nak tengok kau menangis sendirian dekat atas jalan macam ni. Aku hanya sampaikan apa yang aku rasa melalui hati aku. Allah nak tegur kau dengan menggunakan aku. Pasal tadi tu, kau lupakan saja. Aku tak ada nak tuntut apa-apa pun. Mungkin ada sebab Allah mempertemukan kita pada hari ini. Allahualam."

Segaris senyuman aku lakarkan pada dua ulas bibir. Walaupun aku tahu, senyuman aku nampak hambar. Tapi aku nak juga berikan senyuman kepada lelaki yang sudah mengembalikan sedikit semangatku dengan kata-kata nasihatnya itu.

"Aku gerak dulu. Tu air untuk kau. Assalamualaikum." Dia terus berlalu meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga.

Salam aku jawab dengan nada perlahan. Pandanganku menghantar susuk tubuhnya yang semakin menjauh sebelum beralih ke arah air chocolate iced yang berada di atas permukaan butt. Air yang tadinya tergolek di atas jalan dek perlanggaran yang tidak sengaja, sekarang berada di atas butt kereta aku. Aku yang langgar dia, tapi dia yang gantikan air tu untuk aku. Nama dia pun aku tak sempat nak tanya. Ya Allah... mulianya hati dia. Semoga Allah menggandakan rezekinya lagi.

Pandangan dijatuhkan ke arah sapu tangan yang berada di dalam genggaman aku. Sapu tangan kepunyaan lelaki itu tadi. Kenapa aku tak terfikir nak pulangkan semula? Aku tak guna pun sapu tangan dia untuk lap air mata aku. Dari tadi, aku hanya genggam saja sampai ke sudah.

Kuntuman Mawar Milikku ✔ Terbit (2023)Where stories live. Discover now