KMM 7

37 1 0
                                    

CIK ZA menarik pergelangan tanganku lalu disembunyikan aku di belakang tubuhnya. Tidak mahu dua pasang mata itu terus-menerus merenung ke arah aku. Sepertinya meminta aku untuk bersuara. Namun, aku tidak mampu menzahirkan apa-apa kata. Dada terasa mahu pecah menahan sebak yang menyesakkan.

"Asal kau orang diam? Aku tanya ni. Apa yang kau orang dah buat?" Untuk kali ketiga Cik Za mengulang ayat pertanyaannya. Tetapi, masih sama. Mereka diam membatu. Sepertinya tidak tahu mahu memberikan jawapan untuk soalan Cik Za. Dan dari situ, aku tahu mereka benar-benar mempermainkan aku.

"Maafkan abang, Haura...."

"Hei, aku tanya lain, kau jawab lain. Memang merasa nak makan penumbuk aku ke apa?" Nada suara Cik Za sudah naik seoktaf. Mampu menarik perhatian mata-mata yang berkunjung ke pusat membeli-belah ini.

"Haura... kita bincang dekat rumah, ya. Aku... aku...." Nafla dengan beraninya menghampiriku. Meraih pergelangan tanganku. Seolah-olah meminta ruang yang damai untuk membincangkan perkara ini.

Di saat Nafla menggenggam pergelangan tanganku, air mataku sudah mengalir deras ke pipi. Wajahku tertunduk. Tak mampu untuk menatap wajahnya. Terlalu perit situasi ini untuk aku terima dengan hati yang terbuka. Aku hanya manusia biasa. Tidak lari dari semua perasaan itu.

"Ta... tak ada apa yang nak dibincangkan lagi, Nafla Auliya. Semuanya sudah jelas di hadapan mata aku sendiri. Kau dengan Fakhri bermesraan tanpa fikir batas pergaulan. Sedangkan aku selama ini bersama dengan Fakhri, sedikit pun kami tidak pernah bersentuhan mesra seperti apa yang kau buat dengan Fakhri tadi." Terenjut-enjut bahuku melepaskan tangisan. Suara sudah pun berubah serak. Pandangan aku pakukan pada lantai. Tidak ada kekuatan untuk bertentangan mata dengan mereka.

"Abang sayangkan Haura. Abang tak tipu...."

Semakin kuat esakan aku apabila mendengar luahan sayang yang keluar dari mulut Fakhri. Dia kata, dia tak tipu. Habis yang terjadi sekarang ni apa? Prank? Ada penggambaran? Sejak bila pulak mereka jadi pelakon?

Sayang? Kalau dia sayang, kenapa dia menduakan aku buat kali kedua? Dan kenapa Nafla menjadi pilihannya?

"Eh, simpan sikit bodoh kau tu boleh tak? Kalau sayang, kau takkan bermesra-mesraan dengan Nafla!" Jari telunjuk Cik Za sudah naik menuding ke arah wajah Fakhri yang berada di hadapannya.

"Abang minta maaf, sayang. Betul, abang sayangkan Haura. Abang janji abang takkan buat lagi."

Aku mengangkat wajahku yang sudah lencun dengan air mata. Mungkin ketika ini, wajahku merah menahan tangis dari terus-menerus terhambur. Tapi... aku sudah tidak mampu mengawal tangisanku. Sakit aku kali ini terlalu dalam sehingga ke lubuk hati.

"Dulu... abang pernah merayu pada Haura untuk bagi peluang yang terakhir setelah Haura dapat tangkap abang bermesra-mesraan dengan seorang janda dekat Johor dulu. Sekarang ni, abang mengulangi kesilapan abang dengan memilih Nafla. Abang tahu tak... Nafla ni kawan baik Haura? Kawan baik yang paling Haura sayang sangat. Haura dah tak ada kawan selain dia. Kenapa semua ini mesti terjadi? Apa salah besar aku pada kau orang berdua? Apa?" Aku mengongoi sekali gus tanganku naik menumbuk-numbuk dadaku yang semakin mengetat. Air mata tidak usah aku terangkan bagaimana ketika ini. Bagaikan air terjun.

Fakhri memandang sayu ke arah aku. Manakala, Nafla menundukkan wajahnya. Cik Za masih lagi setia berdiri di sisiku sambil menggenggam pemegang penghadang kaca itu. Sepertinya dia sedang menahan amarahnya yang membuak-buak.

"Jangan putuskan hubungan ni, sayang. Abang mengaku... abang sayangkan Haura dan Nafla...."

Cik Za menggelengkan kepala. Dan aku hanya membisu. Dia sayangkan aku dan Nafla pada masa yang sama. Kelucuan apakah ini? Pengakuan dia membuatkan aku rasa mahu meledakkan tawa secara besar-besaran.

Kuntuman Mawar Milikku ✔ Terbit (2023)Where stories live. Discover now