KMM 18

30 0 0
                                    

BEGITU selera aku menikmati hidangan yang sudah tersedia di atas meja. Tak sampai 20 minit, pesanan kami sudah sampai. Sesekali aku mengerling ke arah Yusuf yang sedang asyik dengan makanan yang dipesannya. Sebelum makan tadi, aku nampak dia baca doa makan dan juga beberapa doa yang lain. Boleh tahan panjang doanya. Aku ikutkan saja. Tak sopan pula kalau aku yang mencekik dulu. Kalau ya pun lapar sangat, kenalah kawal sikap buruk itu.

"Kau masih fikirkan mereka lagi?" soal Yusuf secara tiba-tiba setelah lama mendiamkan diri.

Aku menggelengkan kepala perlahan. Takkan aku nak cakap yang aku masih fikirkan mereka. Aku sendiri pun tak tahu nak lupakan mereka dengan cara apa lagi. Lagi-lagi, cara nak menyembuhkan hati dari terus terluka kerana mereka.

Kerana hati yang terluka mampu melemahkan seseorang. Aku tak nak jadi seorang yang lemah. Aku ada lagi insan yang masih menyayangi aku. Memerlukan aku.

"Dari pandangan mata kau, aku tahu kau masih fikirkan mereka lagi. Aku tahu susah untuk lupa dan lepaskan orang yang bertahun-tahun kau sayang. Aku pernah rasa apa yang kau rasa suatu ketika dulu. Tapi, kalau nak dibandingkan kau dengan aku, mungkin situasi kau lagi memeritkan."

Aku hanya menggariskan senyuman kecil. Dia pernah rasa macam mana kehilangan orang yang kita sayang? Macam aku, aku kehilangan dua orang yang aku sayang selama bertahun-tahunnya dalam satu masa. Agaknya kalau orang lain kena tempat macam aku ni, semestinya dia orang akan berputus asa. Tidak mahu lagi meneruskan kehidupan harian mereka.

Banyak aku baca kisah di dalam akhbar, rata-rata ramai membunuh diri kerana putus cinta. Ditinggal orang yang disayanginya separuh nyawa. Banyak komen yang memarahi mereka.

Tetapi, tidak pada aku. Malah aku rasa kasihan kepada mereka yang terjebak dalam situasi tersebut. Kita tak tahu apa yang mereka fikirkan ketika itu. Apa yang mereka rasakan. Sakitnya yang bagaimana. Cumanya mereka tersilap memilih jalan. Tiada siapa yang mendorong mereka untuk keluar dari jalan gelap itu.

Aku bersyukur kerana ada insan yang masih mengambil berat mengenai aku. Ibu dan juga Cik Za. Dua insan yang tak pernah lupakan aku walau sedetik.

"Jejaka yang benar-benar ikhlas mencintai seseorang gadis itu akan memastikan si dia sentiasa bahagia bersama dengannya. Tak kesah dalam keadaan susah atau senang. Tak pernah melukai hati gadis itu walaupun hatinya sendiri terluka. Sanggup berkorban apa saja. Menghadapi apa saja situasi yang boleh mendatangkan risiko pada dirinya sendiri."

Aku setuju dengan kata-kata Yusuf. Dulu, aku fikir Fakhri ikhlas untuk menjalinkan hubungan istimewa bersama denganku. Kendatipun, ketika itu aku rasa ragu-ragu dengan dia. Makin lama aku mengenali dia, perlahan-lahan hati aku terbuka untuk dia. Dan dari situ, aku berjanji yang hati aku ni cuma untuk dia. Takkan ada orang lain lagi selain dia. Kerana dia lelaki pertama yang sudi menerima aku seadanya.

Tapi, itu tidak berkekalan lama. Aku sendiri nampak dia bermesra-mesraan dengan seorang janda. Ketika itu, aku baru saja balik dari kelas. Tepat pada waktunya.

"Aku tahu apa yang bermain di dalam fikiran kau. Kau fikirkan kenangan lama kau dengan lelaki tu, kan? Dengarlah cakap aku. Semakin kau ingat, semakin susah untuk kau keluar dari bulatan itu. Balik-balik kau akan berpusing saja di dalam bulatan tu tanpa tahu jalan keluarnya mana. Dan akhirnya kau sesat. Bila sesat, kepala kau dah buntu. Jadinya, kau ambil jalan dengan berputus asa. Dan selama-lamanya kau terkurung dalam bulatan tu."

Aku mengemamkan bibir. Sangkaan Yusuf memang benar. Entah kenapa dari tadi, bayangan kenangan lama aku bersama Fakhri bermain-main di dalam mindaku. Gelak-tawa kami bersama. Tiada sebarang gangguan. Aku rindukan semua itu.

"Walaupun aku tak tahu cerita yang sebenar, kau kena yakin dengan setiap perancangan Allah SWT. Ada sebab Allah bagi kau perasaan sedih sekarang ni. Perasaan gembira kau tu ada, cumanya dia tengah bersembunyi sekarang ini sehingga waktunya tiba. Hati kita ni milik Allah. Bukan milik orang. Allah saja yang tahu isi hati kita macam mana. Orang lain tak tahu. Mereka akan tahu sekiranya kau tunjukkan melalui air muka kau. Itu pun belum tentu mereka peduli dengan kau ketika itu."

Panjang lebar Yusuf menasihati aku. Dia ni memang bijak berkata-kata. Sampaikan aku pun tak tahu nak balas apa. Hanya angguk saja dari tadi. Aku mana pandai nak berkata-kata sangat walaupun aku suka baca novel.

"Yusuf, kenapa awak selalu ada untuk saya bila saya tengah sedih? Seolah-olah awak tahu yang saya ada di sesuatu tempat dalam keadaan sedih." Soalan itulah yang sudah lama aku mahu tanyakan. Dah dua kali kejadian ini berlaku. Pada mulanya aku fikir, hanya kebetulan. Tapi, bila setiap kali dia muncul waktu aku dalam kesedihan. Aku dapat rasakan sesuatu. Sesuatu yang aku tak dapat nak tafsirkan.

"Jangan perasan sangat. Memang kebetulan aku datang ke tasik ni. Terserempak dengan kau. Ingatkan kau nak terjun dalam tasik tu. Tak pasal-pasal ada kematian dekat tasik ni. Dah jadi berhantu tempat ni nanti."

Mulutku sedikit ternganga. Namun, tiada butir kata yang lahir. Wah! Dia boleh terfikir macam tu, ya. Fikir aku nak bunuh diri dalam tasik tu. Sedangkan aku ni takut dengan kedalaman air. Lagi-lagi kalau laut. Tak ada kerja aku nak terjun dalam tasik tu. Entah ada apa dalam tasik tu. Hesy!

Aku pandang dia tak lepas. Geram pula bila dia cakap macam tu. Yang dia pula, makan saja. Buat muka tak bersalah. Kadang-kadang, menjengkelkan juga perangai dia ni.

Prechhh!

Percikan air yang membasahi wajah dan baju, membuatkan mataku turut terpejam rapat. Sedikit pedih kerana ada air yang berjaya terpercik masuk ke dalam mata. Bunyi kaca gelas yang pecah berderai membuatkan jantungku berdegup laju. Macam dah nak meletup. Siapa yang tiba-tiba saja menyerang kami dengan cara begini? Tak boleh elok-elok ke?

"Apa semua ni, Haura?"

Suara herdikan itu membuatkan aku terpaksa mencelikkan mata semula. Melihat gerangan yang sudah terpacak di sisi meja kami berdua. Beberapa orang pelanggan yang sedang menikmati makanan turut terkejut melihat ke arah kami.

"Kau siapa? Asal kau keluar makan berdua dengan bakal isteri aku?"

Aku rasa macam nak cekik aje Si Fakhri ni. Tapi, itu hanya expectation. Kalau realiti, aku hanya membisu saja ketika ini. Masih dalam keadaan terkejut. Entah macam mana Fakhri boleh tahu aku berada di sini. Ataupun ini semua secara kebetulan?

Dan adakah sebab ini aku berasa tidak sedap hati? Entah-entah dia yang call aku banyak kali tadi. Ha, sudah....

"Aku kawan dia. Aku dengan dia hanya minum petang sambil berbual kosong saja. Yang kau nak angin satu badan, kenapa?"

Itu dia. Encik Aidin Yusuf yang terkenal dengan sikap selambanya itu. Cukup tenang dia membalas soalan Fakhri. Tiada apa yang harus dia takutkan. Bukan dia buat salah apa-apa pun. Setakat makan dan berbual dengan aku saja. Duduk pun bertentangan. Bukannya duduk sebelah-menyebelah. Fakhri saja yang over sangat.

"Aku tak kiralah. Kau makan ke, borak kosong ke. Masalahnya sekarang, dia ni bakal isteri aku. Kau tak tahu ke? Aku rasa, kau ni mamat yang sama masa dekat kafe hari tu, kan?"

Yusuf masih beriak kosong. Beku. Dingin. Sedikit senyuman pun tiada. Tadi sewaktu berbual bersama dengan aku. Aku masih boleh nampak lagi senyuman dia walaupun segaris.

"Asal kau diam? Kau memang ada hati dengan bakal isteri aku, kan?"

Sumpah, aku terkejut dengan tindakan drastik Fakhri. Dia merentap kolar baju Yusuf sehingga lelaki itu berdiri secara mendadak. Semua orang pandang saja. Entah apalah yang mereka fikirkan ketika ini. Fakhri memang tak tahu malu langsung. Dekat tempat awam, dia boleh buat perangai macam ni. Sama sekali aku tak boleh nak terima.

Akal dia memang dah tercicir! Ada sesiapa yang boleh tolong carikan tak? 

Kuntuman Mawar Milikku ✔ Terbit (2023)Hikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin