~Desire and Obsession 12~

3.5K 139 5
                                    

~If you never lost your mind, than you've never followed your heart~

🌼🌼🌼

Menjelang maghrib, baharulah mereka sampai di kampung Riya. Wajah masing-masing dah tergambar kepenatan. Riya minta Niko terus ke rumah Mak Long. Kerinduan dan kerisauan saling bercampur baur dalam benak Riya.

Benar, Mak Long tak pernah suka kan kehadirannya. Riya dan ayahnya dulu selalu dicemuh dan dihina oleh Mak Long. Sampai ke besar Riya selalu di pandang jijik oleh kakak-kakak sepupunya Shima, Sheila dan Suhaila. Tapi tidak Pak Long. Lelaki berwajah tenang itu terlalu baik untuk Riya. Lelaki yang paling Riya sayang selain dari arwah ayahnya.

Mendapat khabar yang Pak Long sakit sudah membuatkan tangkai jantungnya direntap deras. Tak henti-henti dia menitip doa di sepanjang perjalanan tadi supaya Pak Long cepat pulih walau apa pun yang dia sedang deritai.

Sebaik menapak di halaman rumah, Riya agak canggung bila Mak Long menyambutnya ramah. Siap dipeluk dicium seolah rindu benar dirinya pada Riya. Ada juga Shiela dan Suhaila di situ, turut sama memperlakukan Riya seolah seperti adik yang sangat dinantikan.

"Baiknya family Riya ni. Cemburu aku tengok." Sempat Ayu melontar pujian.

"Hmmm... Baik ada maksud." Spontan Niko memintas. Ayu mengerut dahi cuba mencari wajah Niko namun lelaki itu cepat-cepat naik ke rumah bila Mak Long memanggilnya masuk. Ayu yang keliru dengan ayat Niko turut sama mengekori dari belakang. Ah, ada-ada saja lelaki ni.

Tubuh lemah Pak Long terlantar lesu di sudut ruang tamu. Ada kipas meja dan bekas-bekas makanan di tepi bantalnya. Riya tak dapat menahan hati, esaknya meletus. Luluh jiwanya melihat keadaan Pak Long terlantar macam tu.

"Pak Long, Yaya datang ni..." Dibisikkan ke telinga Pak Long sambil meraih dan mencium tangan tua itu. "Yaya minta maaf, baru sekarang Yaya balik. Yaya tak tahu Pak Long sakit. Maafkan Yaya..." Dia merintih lagi. Dahi Pak Long diusapnya pula. Sejuk kulit lelaki tua itu.

Dari jauh Niko mengamati tubuh yang terlantar. Sisi kepala membiru, lengan bengkak dan ada kesan lebam di bawah dagu. Ligat otaknya berputar cuba mencerna apa yang sedang dilihatnya sekarang.

"Suami mak cik kena sodok dengan babi hutan waktu dia ke kebun beberapa hari lepas." Itulah penjelasan Mak Long.

"Kenapa tak hantar ke hospital?" Soal Niko. Sewaktu urusan pindah milik geran hari tu, Niko sempat bertegur sapa dengan Pak Long Riya sebelum dia kembali ke KL. Lelaki itu tenang sahaja tapi Niko dapat rasa wajah itu muram.

"Berbuih mulut mak cik ni minta dia ikut ke hospital. Dia tu yang degil, tak nak pergi." Keluhan dilepaskan. "Ni, Adam tak datang?" Soalnya lagi dengan mata mencerlung Niko yang ralit memerhati Riya dan Pak Long.

"Dia datang nanti. Kalau tak sempat malam ni, esok dia sampai." Balas Niko tanpa melihat ke arah Mak Senah.

"Abang Nik, ni Su dah buatkan air. Jemputlah minum." Pelawa Suhaila yang datang mendekat sambil menatang dulang di tangan.

Kening Niko ternaik. Matanya dibawa melihat ke arah suara yang lunak-lunak manja tadi. "Hah? Ok." Balasnya agak kaget. Belakang leher diusapnya beberapa kali. Seketika Suhaila melemparkan senyum manis ke arahnya sebelum bangun dan beredar dari situ. Niko menelan liur yang terasa perit. Apa dah jadi dengan orang dalam rumah ni?

Desire And Obsession ©Where stories live. Discover now