"Keluarlah Harraz! Kalau awak tak nak tengok saya mati disebabkan awak, lebih baik awak berambus sekarang!"

"Sayang..."

"Keluar!" tempiknya sekuat hati. Mata menikam tajam Harraz yang seakan terkedu. Tak pasal-pasal title isteri derhaka telah disandang.

"Okey-okey abang keluar. Abang letak makanan ni dekat sini. Nanti sayang makan ya? Nak apa-apa, panggil je abang."

Senyum dan terus senyum. Perlahan-lahan dulang itu diletakkan di sisi katil. Namun tidak sampai sesaat, ia jatuh ke lantai dek tepisan daripada isterinya.

Prang!

Bertaburan makanan dan air di atas lantai itu. Sekali lagi, Harraz tergamam dengan tindakan isterinya. Dia memejamkan mata. Cuba mengumpul kesabaran yang masih bersisa.

"Sayang tidurlah. Mesti sayang penat kan? Tak apa, biar abang bersihkan. Nanti abang masakkan bubur lain."

Tersentuh sanubari Marissa. Rasa bersalah mula mengambil tempat. Kenapa Harraz masih melayannya dengan baik? Kenapa?

Diperhatikan saja Harraz yang sedang bertinggung sambil mengutip kaca-kaca itu. Sorotan mata menangkap pergelangan tangan lelaki itu yang merah. Dan bukan itu saja, ada cecair merah yang menitik tatkala Harraz mengutip sisa kaca tersebut.

Lukakah tangan lelaki itu? Ingin sekali Marissa melihat luka suaminya. Tapi kerana hatinya yang cuba dikeraskan, dia berpaling dari terus memerhatikan tindak tanduk sang suami.

Luka itu tak sesakit mana. Kerana hatinya lebih sakit dek luka yang ditinggalkan oleh Harraz.

"Abang keluar dulu," pamit Harraz lalu melangkah keluar dari biliknya dengan perasaan yang becampur baur. Tipulah kalau dia tak terasa dengan layanan isterinya.

Saat pintu ditutup, kelopak mata Marissa kembali memberat. Perlahan-lahan manik jernih itu jatuh. Tika ini, dia perlukan seseorang untuk dia mengadu. Dan tanpa berfikir panjang, nombor seseorang dicari lalu didail.

"Shafqi, boleh saya jumpa dengan awak?"

•••

     HARRAZ lalukan tapak tangannya di bawah air paip. Sesekali dia berdesis menahan pedih yang menjalar. Dek terlalu ingin menahan sabarnya, dia menggenggam kaca-kaca yang pecah tadi. Tak sedar yang tapak tangannya sudah terluka.

Kecewa.

Suami mana yang tak kecewa dengan layanan kasar daripada sang isteri? Walaupun Harraz tahu Marissa masih marah kepadanya, tapi perlu ke wanita itu menunjukkan protes sebegitu? Dia punya hati dan juga perasaan. Sedikit sebanyak, hatinya terguris juga dengan sikap Marissa.

Air ditutup serentak dengan keluhan lemah dilepaskan. Cara apa lagi yang harus dia buat untuk kembalikan hubungan mereka seperti dulu? Entahlah, buntu akalnya.

Kakinya melangkah keluar dari dapur. Dan ketika itu kelihatan isterinya sedang menuruni tangga.

"Sayang nak pergi mana?" Pakaian Marissa dipandang atas bawah. Sleeve blouse bewarna merah tersarung cantik pada batang tubuh isterinya. Anggun betul Marissa tika ini. Harraz terpanar melihatnya. Kecantikkan isterinya semakin menyerlah.

Tidak diendahkan langsung pertanyaan Harraz. Marissa terus berjalan ke muka pintu. Seketika, terasa lengannya dipaut seseorang.

"Abang tanya, sayang nak pergi mana?"

"Keluar." Pendek dan dingin Marissa menjawab.

"Keluar ke mana?"

Lengannya ditarik. Hati mendongkol geram dan menyampah.

1.0 | DENDAM CINTA [ COMPLETED ]Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon