BAB 69

2.9K 346 83
                                    

      "BAIK. Kalau itu yang Ris nak, abang akan kahwini Natalia." Tenang Harraz berkata lantas memalingkan semula mukanya menghadap sang isteri.

Terpempan. Laju jantungnya berdegup. Meskipun begitu, riak wajah dikawal baik. Tidak mahu menunjuk reaksi terkejut di hadapan suaminya. Senyuman diukir.

"Baguslah. Memang itu pun yang saya nak dengar." Anak mata dilarikan memandang ke tempat lain. Suaranya mula bergetar. Liurnya ditelan meskipun pahit.

"Satu yang Ris perlu tahu, abang tak akan ceraikan Ris," ujar Harraz, mula dikendurkan nadanya. Jelas di penglihatannya raut wajah sang isteri yang mula merah. Tak pasti sama ada sedih ataupun marah.

Tapi buat apa Marissa nak sedih kan? Bukankah itu permintaan isterinya?

"Awak tak boleh buat saya macam ni, Harraz. Saya tak rela hidup bermadu," balas Marissa seperti mengharap agar Harraz melepaskannya.

"Ris tak rela untuk bermadu. Dan abang pun tak rela untuk lepaskan Ris,"

"Sebab abang tahu, Shafqi akan rampas Ris daripada abang. And because of that, i will never let you go." Serius Harraz berbicara.

Berkerut seribu dahi Marissa.

"Awak jangan merepeklah, Harraz. Kenapa awak ni suka sangat tuduh dia yang bukan-bukan? Apa masalah awak dengan dia, hah?" Kaki diatur menuju ke sofa. Badannya direhatkan buat sementara. Sakit badan dan sakit otak dia sekarang ni! Kusut dan semak!

"Sebab abang tak suka Ris berkawan dengan dia! Boleh tak Ris dengar cakap abang? Apa yang susah sangat Ris nak patuh?" Bengang betul Harraz dibuatnya.

Kalau Shafqi berada di depannya tika ini, memang pecah muka lelaki itu ditumbuknya. Kenapa Shafqi kembali semula dalam hidup Marissa? Adakah lelaki itu mahu memporak perandakan rumah tangga dia? Jika benarlah tekaan Harraz, perkara itu sama sekali tidak akan dibenarkan berlaku!

"Awak ni kenapa? Awak tahu tak dia tu kawan saya? Dia selalu ada dengan saya! Jadi, apa sebab untuk saya putuskan hubungan persahabatan kami? Semua benda awak nak kongkong kan? Cakap awak je saya nak kena dengar!" Oktafnya mula meninggi. Mencerlung tajam mata wanita itu.

"Ris tu yang bermasalah! Susah sangat ke nak dengar cakap abang? Abang ni siapa? Suami Ris kan? Abang ada hak untuk halang Ris berkawan dengan Shafqi!" Lengan Marissa dicengkam kuat. Mendesis sakit Marissa jadinya. Dia bergelut untuk melepaskan diri. Harraz tika ini bagaikan dirasuk saja.

"Sakitlah, Harraz! Awak ni kenapa? Dah gila ke?" Marissa meronta-ronta. Sungguh, dia pun terkejut dengan tindakan agresif suaminya. Belum pernah lagi lelaki itu mengasarinya.

"Harraz Daniel!" tempik Marissa seraya mengerah segala kudratnya untuk menolak Harraz. Bengis wajahnya tika ini.

Bagaikan baru tersedar, Harraz melepaskan cengkaman lalu meraup kasar mukanya. Kerana terlalu ikutkan marah dan bisikan syaitan, dia bertindak di luar kawalan. Bibir beristighfar panjang.

Kau buat apa ni Harraz?!

"Awak pentingkan diri, Harraz! Awak tahu tak selama awak dekat Johor tu, siapa yang selalu ambil berat pasal saya?!"

Harraz tidak menjawab.

Marissa bangkit lantas merenung tajam muka suaminya.

"Shafqi!"

Harraz terhenyak. Berdesing gegendang telinganya tatkala nama Shafqi disebut lagi.

"Tak habis-habis nama Shafqi! Ris dah tergilakan dia sangat ke?!" Dek terlalu mengikut perasaan, Harraz terlepas cakap.

1.0 | DENDAM CINTA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now