"Armelyn? Kau pasti tu Armelyn?"

"Aku tak tahu. Aku bertindak terburu-buru tadi sebab aku rindukan dia." Qhairil menghelakan nafas perlahan mendengar kata-kata Ezra. Kalau tadi Armelyn bersama dengannya, siapa yang bersama Ezra? Haraplah Fazlan dapat menangkap gerangan tersebut.

"Lepas ni, kau kena berhati-hati. Pastikan ada seseorang dengan kau 24 jam. Aku rasa dalang di sebalik semua ni tengah menyasarkan kau."

"Aku? Aku ada apa? Dia nak apa daripada aku? Armelyn pun dah tiada. Apa lagi?"

"Takhta. Kau ada takhta dan kuasa sebagai seorang Raja Xhandelion."

"Hanya disebabkan takhta, hidup aku jadi macam ni? Hilang isteri... Hilang abang... Hilang hala tuju kehidupan." Ezra ketawa kecil. Terasa dirinya musnah sedikit demi sedikit. Baru tadi dia rasa bahagia kerana dapat bertemu dengan isterinya. Namun, dia tidak menyangka isterinya yang entah isteri betulnya atau tidak itu menikam dia.

"Kau mungkin akan terkejut kalau..." kata-kata Qhairil terhenti tatkala Fazlan merempuh masuk ke dalam bilik rawatan.

"Aku dah tangkap Armelyn. Keluar ikut aku, cepat! Kau boleh berjalan tak?” Mata Fazlan teralih memandang ke arah Ezra.

“Boleh. Tikaman tu tak dalam sangat. Tak melibatkan organ dalaman.” balas Ezra. Dia berdiri perlahan-lahan sambil dibantu oleh Qhairil. Kaki dihayun ke halaman istana.

“Lepaslah!” Ronta gerangan yang mengatakan dirinya bernama Armelyn. Kedua belah tangannya sudah dipegang kemas oleh pengawal istana.

“Kau bukan Armelyn.” kata Qhairil. Fazlan dan Ezra memandang ke arahnya dengan dahi berkerut hairan.

“Macam mana kau tahu?” soal Fazlan.

“Aku cerita nanti. Tunggu sekejap.” Qhairil melangkah ke arah gerangan itu. Lantas, wajah gerangan itu dipegang kemudian topeng kulit palsu dibuka.

“Kau...” Mereka bertiga terkedu. Kejutan apakah ini?

•••

Lena David terganggu apabila bahunya terasa lenguh seolah-olah ada sesuatu yang duduk di atasnya. Mata digosok perlahan dan dicelikkan.

“Urgh.” Posisi duduk cuba dibetulkan. Mata spontan membulat tatkala menyedari seorang perempuan lena dalam keadaan berbaring di atasnya.

“David... Dah sedar hmm?” soal perempuan itu dengan sisa kantuk. David statik. Terkejut dengan apa yang dilihatnya sekarang.

“Mimpi ke?” David terkebil-kebil. Bagaikan tidak percaya Danial berada di atas ribanya sekarang ini.

“Kau syaitan ke?” soal David lagi. Danial terkedu. Wah, dilabel syaitan. Lelaki kesayangannya ini sudah gila atau apa? Baru beberapa hari tidak berjumpa.

“Ini akulah.” Danial memejamkan mata.

“Tapi bukan ke kau dah...” Tidak sempat David menghabiskan kata-kata, bibirnya sudah disambar oleh Danial.

“Aku masih hidup. Aron cakap nadi aku lemah masa dia bawa aku pergi. Mungkin kau tak perasan.” ujar Danial. David lantas memeluk Danial. Rasa gembiranya sukar diungkap. Terlalu bahagia kerana Danial masih hidup.

“Aku gembira kau masih bernyawa.” tutur David dengan esakkan tangisan.

“Hei, sayang... Kenapa menangis?” soal Danial. Tangan kirinya melekap pada pipi David.

EMERALDWhere stories live. Discover now