Raut wajahnya yang tampan seolah-olah merayu pada Canna. Sesekali gadis itu melihat kaunter di mana Bella sedang mencuri pandang ke arah mereka berdua. Canna mengetap bibir. Lalu terlintas di fikirannya mengenai Caleb. Ditatapnya semula wajah Tuan Herzand.

'Adakah Tuan Herzand yang mengikat jamin Caleb?'

Getus akal fikirannya. Dia ingin bertanya tapi niat itu tidak terluah. Biarlah Tuan Herzand sendiri mengakuinya. Namun, lelaki itu tidak berbicara langsung tentang Caleb.

            "Err.. maafkan saya tuan, saya terpaksa tolak permintaan awak. Abang saya tentu tak setuju bekerja jauh dari negara ni." Terang Canna.

            "Kalau macam tu.. biar saya sendiri berjumpa dengannya dan berbincang. Tak perlu ragu-ragu dengan saya, Canna. Saya bukan orang jahat.." kata Tuan Herzand.

Entah benar atau tidak kata-katanya itu. Canna seperti dua hati mempercayainya. Dia hanya tersenyum.

           "Edgar ada hubungi awak sejak awak pergi?" Tiba-tiba dia menyoal Canna.

Si gadis menggelengkan kepala padahal Tuan Muda Edgar pernah menghubunginya. Sambil melabuhkan punggung pada sebuah kerusi, Tuan Herzand seraya berkata..

            "Dia buat masalah lagi di hotel saya. Kerja yang sepatutnya disiapkan tak berjalan dengan lancar. Iklan tu dah siap, tapi sangat teruk. Tak menarik langsung. Lagi satu, sebelum dia pindah ke hotel lain, habis segala barang di bilik dihancurkan. Majikan jenis apa begitu? Tiada adab betul. Sempat pula dia memaki hamun saya dihadapan staf sebelum pergi."

Air mukanya yang tampak serius membuatkan Canna serta merta percaya. Sememangnya sikap baran bekas majikannya amat menyakitkan hati.

            "Sampai macam tu sekali?"

            "Kalau awak tak percaya.. cuba tengok ni." Kata Tuan Herzand lalu memaparkan gambar bilik yang diinapi Tuan Muda Edgar dari telefon bimbitnya.

Bukti itu menunjukkan kesahihan kata-katanya tadi. Punah segala barang yang ada di situ. Kesan vandalisma juga tertera pada dinding bilik mewah tersebut.

'Teruknya awak, tuan muda.. kenapa jahat sangat?'

Hatinya bermonolog kecil tentang Tuan Muda Edgar.

             "He's a bad guy. Kalau dia merayu pada awak untuk bekerja dengannya lagi, tolonglah jangan ikut. Tak pasal-pasal, awak jadi mangsa keadaan. Ini baru barang-barang yang dirosakkannya, belum lagi seorang perempuan lemah macam awak." Tambah Tuan Herzand sambil memasukkan telefon bimbit ke dalam saku.

Tatkala Canna diam tidak bersuara, Tuan Herzand tersenyum sengih. Kemudian mengubah topik.

            "Boleh saya tahu siapa nama abang awak?"

Soalannya ini membuktikan bahawa bukan Tuan Herzand yang membebaskan Caleb! Jika dia yang telah mengikat jamin abangnya, sudah tentu dia tahu nama Caleb.

              "Erm.. kenapa awak nak tahu?" Sengaja Canna bertanya.

              "Supaya saya kenal. Kalau boleh saya nak berjumpa dengan dia sekarang."

              "Mungkin lain kali saja.. sebab dia sedang bekerja sekarang." Jawab Canna.

Sekali sekala, dia kena menipu. Walhal sedang Caleb berusaha mencari pekerjaan baru.

              "Kalau awak rasa saya hanya berbohong tentang kerja tu dan risau tentang keselamatan awak, dia pun boleh bekerja dengan saya juga." Manisnya ayat Tuan Herzand memujuk Canna.

Touch (On Going)Where stories live. Discover now