nineteen

347 43 14
                                    


         Pada keesokan hari, Canna memulakan kerjanya mengikut jadual yang telah diberikan padanya. Selepas menyiapkan diri, dia pun keluar dari biliknya. Dan waktu yang sama Tuan Muda Edgar juga baru sahaja menjejakkan kaki di luar kawasan bilik yang berhadapan dengan bilik Canna. Gadis itu tercegat seketika begitu juga si anti kuman.

           "Good morning, sir.." Canna menyapanya lembut. Namun ia tidak terbalas. Raut wajah lelaki itu tidak seperti semalam, masam mencuka di awal pagi.

           Tuan Muda Edgar mengeluh kecil dan lantas mengalihkan pandangannya dari Canna seiring kaki bergerak meninggalkannya. Seperti biasa kedua-dua tangannya bertapa di dalam saku seluar tanpa membawa apa-apa bersama. Tidak seperti Canna yang sentiasa memegang kertas-kertas kerja beserta beg sandang yang tidak berjenama miliknya.

          Sapaan mesra yang tidak dibalas tadi membuatkan Canna sedikit geram tetapi dia cuba berfikiran positif. Mungkin Tuan Muda Edgar bertelingkah lagi dengan ayahnya atau lelaki ini sememangnya selalu berubah watak. Kadang membawa watak antagonis, kadang pula watak baik hati. Hm.. Canna mengeluh di dasar hati tatkala memandang si anti kuman dari belakang.

Lif; selalu menjadi tempat pertemuan mereka tanpa disengajakan. Takdir?

             Canna menyandar belakang badan pada dinding logam lif itu, manakala Tuan Muda Edgar pula berdiri tegak, mendongak merenung nombor-nombor yang sentiasa bertukar apabila lif bergerak turun ke bawah melintasi aras-aras bangunan hotel 10 tingkat itu.

Ting..

           Akhirnya lif itu berhenti. Canna biarkan Tuan Muda Edgar keluar terlebih dahulu. Setahunya, lelaki ini akan bersarapan sebelum datang ke set penggambaran. Setelah Tuan Muda Edgar keluar, kini giliran Canna pula tetapi hala tujunya bukan ke restoran. Malah dia terus ke lokasi tempat kerjanya. Tetapi tiba-tiba lengannya ditangkap dari belakang oleh seseorang. Ia membuatkan Canna terperanjat dan hampir hilang semangat!

          "Ehh..!?" Mata bulatnya terbungkam besar.

Orang yang menangkap lengannya ialah si anti kuman! Canna terpaku!

          "Sarapan.." sebut lelaki itu dengan nada perlahan diikuti riak wajahnya yang suram. Walaupun cuma sepatah perkataan, tetapi ia bermaksud arahan.

             Lengan Canna masih dipautnya, ia tidak lagi sekuat tadi. Ingin Canna menolak arahan Tuan Muda Edgar, akan tetapi mulutnya amat berat bersuara. Secara tidak sengaja, sesuatu berlaku pada diri mereka berdua. Masing-masing merenung wajah dan mata antara satu sama lain tanpa bicara. Fikiran kedua-dua manusia ini bagai terhenti seketika sehinggalah kedengaran satu suara menegur seiring bunyi derapan kaki berjalan laju ke arah mereka.

         "Buongiorno," (Selamat pagi)

Akibat tersentak dengan teguran itu, tangan si tuan muda terus dilepaskan dari menyentuh Canna. Kemudian memandang si penegur tadi. Rupanya orang itu ialah Tuan Herzand. Tuan Muda Edgar tersengih sinis bila melihatnya.

            "Ya.. selamat pagi." Sahut Tuan Muda Edgar tapi ia sebenarnya tidak ikhlas.

Canna berasa amat segan dan malu bila bertemu dengan Tuan Herzand. Peristiwa yang berlaku kemarin kembali menganggunya. Dia tidak membalas langsung sapaan Tuan Herzand, malah dia segera meminta diri.

           "Erm.. maafkan saya, tuan-tuan. Saya kena jalankan tugas sekarang."

Tuan Muda Edgar terus menghalang Canna dari beredar.

           "Tugas awak belum start lagi." Ujarnya tegas.

            "Boleh tak awak tinggalkan kami sebentar? Saya ada sesuatu nak dibincangkan dengan dia." Sampuk Tuan Herzand.

Touch (On Going)Where stories live. Discover now