"Saya penat, sebab tu tak sanggup bekerja di sana."

            "Jadi Caleb?"

            "Dia.." Canna seperti ragu-ragu menjawab soalan itu.

          Bella umpama ibu dan kakak Canna. Dia sudah mengenali Canna dan Caleb sejak mereka berdua di bangku sekolah rendah lagi. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Dengan kepercayaan seratus peratus pada Bella, Canna menceritakan segala kejadian yang berlaku terhadap Caleb dan dirinya. Namun mengenai penyakit kulitnya, ia tetap dirahsiakan. Walaupun sesama perempuan, Canna malu mengungkap hal peribadinya kepada Bella. Canna risau jikalau Bella tahu tentang penyakitnya, lantas ia mungkin menyebabkan wanita itu memandang jijik padanya. Dan mungkin juga dia akan dihalau dari situ.

         Wanita berbangsa Latin ini menghirup kopi yang separa hangat setelah mendengar luahan Canna. Sesekali dia mengeluh simpati pada nasib dua beradik yatim itu. Hari ini restoran kecil miliknya sengaja tidak dibuka awal kerana Bella ingin mendengar masalah yang dihadapi Canna. Gadis itu menangis hiba, kadang tersenyum pahit tetapi semangatnya tetap kuat. Kopi segar yang sejak tadi dihidang untuknya pula tidak dihirup hinggakan ia mendingin di atas meja bulat. Sedikit kudapan untuk mengalas perut juga tidak disentuh langsung. Bella turut dapat merasa apa yang telah Canna rasai sebelum ini.

          "Sedihnya.. kalaulah auntie ni orang kaya, tentu saya ringan hati ikat jamin Caleb. Hanya restoran ni saja tempat auntie bergantung hidup seorang diri. Selama ni auntie tak pernah menggaji pekerja, tapi tak apa, kali ni auntie upah awak bekerja di sini. Tapi Canna, gaji tidaklah lumayan macam di restoran besar.. awak pun faham kan kadang-kadang berniaga ni ada turun naiknya? Awak sanggupkah?" Ujarnya.

Canna nampak gembira sekali bila permohonannya diterima.

           "Saya sanggup! Auntie beri saja gaji untuk saya setakat yang mampu. Saya tak paksa. Asalkan dapat menampung makan minum saya tiap hari, itu sudah cukup. Saya sanggup buat apa saja kerja yang auntie suruh " Berkobar-kobar semangat si gadis.

            "Baguslah kalau macam tu, Canna. Jadi bila awak nak mula bekerja? Esok atau lusa pun boleh kalau awak nak." Ujar Bella.

            "Hari ni," laju jawapan Canna.

            "Wah.. bersemangat betul, haha. Saya suka sikap awak ni. Ok, untuk permulaan, awak cuma perlu mengelap meja dan cermin dulu. Kedai makan mestilah sentiasa bersih, kan? Haha.." Sambil memuji, Bella terus memberikan arahan ringkas buatnya.

Canna menganggukkan kepala mengerti apa yang diarahkan. Pagi ini dia memulakan kerja membersih dan mengemas restoran kecil itu sementara Bella menyiapkan kerjanya di dapur. Betul kata wanita itu, perniagaannya tidak semaju restoran besar. Hanya beberapa orang pelanggan saja yang masuk sejak pagi tadi sehinggalah selepas waktu tengah hari.

        Selepas selesai menjamu makanan tengah hari, Canna membeli roti kosong yang dijual di dalam restoran itu. Ia buatan air tangan Bella sendiri. Sudah tentulah enak. Sekarang pula ialah waktu rehat Canna.

          "Saya tahu awak buat apa dengan roti tu," kata Bella seperti tahu apa yang ingin Canna lakukan.

Si gadis tersenyum sipu sambil memasukkan beberapa biji roti lembut ke dalam plastik.

           "Dah lama saya tak buat begini.. saya rindukan mereka." Balas Canna.

           "Tentu mereka juga rindukan awak, haha. Pergilah ke sana, tapi jangan lama-lama ya? Sebab lepas ni auntie nak ajar awak cara membancuh minuman." Ulas Bella.

          "Baik.."

       Canna menyahut lalu keluar dari restoran. Apron yang dipakainya masih ada di badan. Sebenarnya Canna cuma ingin ke sebelah restoran itu saja untuk memberi kucing-kucing serta anjing liar makanan. Sudah lama dia tidak melawat mereka, rindu pula rasanya. Apabila dia sampai ke lokasi itu, binatang-binatang itu semua keluar dari tempat persembunyian mereka setelah terdengar siulan Canna yang merdu. Dia umpama tuan mereka semua. Ada yang datang kemudian terus menggeselkan pinggul pada batang kaki Canna. Mereka ingin dimanja-manja. Tentu mereka juga merindui Canna. Dua ekor anjing yang selalu menyapa Canna dahulu juga turut ada di situ sambil melibas-libaskan ekornya.

Touch (On Going)Where stories live. Discover now