K E S 1 7 : L A M P A U

142 20 6
                                    

DIA membaringkan diri di atas katil penjara. Katil itu tidaklah selembut katil di rumah. Sebaliknya, ia keras seolah-olah diperbuat daripada batu. Kedinginan malam menjamah kulit. Sejuknya seakan menggigit hingga ke tulang-belulang. Tiada selimut untuk menutupi badannya. Hidup di sini tidak selesa. Tetapi, tidak pula dia merungut. Sudah salahnya membunuh, ini boleh dikatakan hukuman paling ringan buatnya.

Bukanlah bintang-bintang menjadi tatapan malamnya. Hanyalah sebuah siling buruk dan kotor di atas kepala. Bau busuk yang amat menjengah hidungnya. Bunyi geriji sel menjadi lullaby malamnya. Suara tahanan yang menjerit-jerit seolah mendodoi dirinya. Dia tidak mampu tidur. Lebih tepat, dia tidak mahu.

Entah mengapa, situasi yang dialaminya sekarang seakan memanggil kembali momen perit yang dialaminya suatu ketika dahulu. Momen yang telah mengubah hidupnya 360°.

"Aku dengar, ayah kau sedang sakit tenat. Betul ke?" Di dalam sebuah bilik yang malap, seorang lelaki bersuara. Nadanya bersahaja.

"Ya. Dia sedang menghidap kanser paru-paru tahap 3." Farhan - yang waktu itu berumur 19 tahun - membalas persoalan lelaki itu. Nadanya kedengaran perlahan. Mungkin sedih mengingatkan nasib ayahnya yang sedang terlantar tidak sedarkan diri di hospital.

"Adakah kau mampu membayar bil perubatan?" Lelaki itu menyoal kembali. Kini jari-jemari kiri dan kanannya bercantum lalu diletakkan sikunya di atas meja.

Farhan hanya menggeleng. Keluarganya bukanlah dari kalangan orang-orang berada. Dari kecil sehingga dewasa, dia hidup di dalam kemiskinan. Walaupun begitu, Farhan tidak pernah menyalahkan bapanya atas apa yang berlaku. Dia tahu, ada hikmah disebalik semua ini. Di dalam jiwanya juga telah ditanamkan azam untuk mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik. Namun, azam itu terpaksa dicampak jauh-jauh sebaik sahaja mendapat berita mengenai penyakit bapanya. Tamat sahaja SPM, Farhan terpaksa menemani bapanya yang sakit di rumah. Semua tawaran ke Universiti terpaksa ditolak dengan hati yang berat.

"Aku ada cadangan. Apa kata aku beri RM1 juta kepada kau? Kau terima?" Lelaki itu tersenyum sinis. Mata Farhan terbeliak. Terkejut dengan jumlah wang yang banyak itu.

"S... sa... satu juta?"

"Ya, 1 juta. Dengan 1 juta tu, kau boleh bayar bil perubatan ayah kau dan juga mengubah hidup kau sekarang. Tapi... kau tak boleh senang-senang dapatkannya."

"Apa yang aku perlu buat untuk dapatkannya?" Farhan kedengadan teruja. Apa sahaja yang perlu dia lakukan, dia sanggup, demi ayahnya.

Jawapan Farhan itu sudah dapar diagak membuatkan lelaki di hadapannya tersenyum lebar. Dia tahu, dengan menawarkan harta sahaja sudah dapat memancing anak muda itu. Rancangannya pasti berjalan lancar.

Sekeping gambar dibawa keluar dari bawah meja. Gambar bersaiz polaroid diletakkan betul-betul di hadapan Farhan. Seorang lelaki, umur lingkungan belasan tahun sedang tersenyum di dalam gambar yang ditunjuk.

"Aku nak kau bunuh budak ni." Mata Farhan yang tadinya tertumpu sepenuhnya pada gambar, kini dialihkan memandang lelaki di hadapannya.

"Bu... bunuh?" Farhan terkejut mendengar arahan itu. Tidak mungkinlah sampai perlu membunuh? Atau dia tersalah dengar?

"Ya... bunuh." Lelaki tersebut tersenyum sinis. Melihatkan senyuman itu, Farhan menelan liur. Dia tahu, lelaki itu serius.

Misi IVTGWhere stories live. Discover now