K E S 1 3 : R U N G K A I

155 21 3
                                    

"NAH." Dompet kulit berwarna coklat itu secara tiba-tiba diletak di hadapan matanya. Terkejut beruk Aliff jadinya. Air kopi panas yang sedang dihirup juga hampir tersedak dek dompet yang tiba-tiba muncul di hadapan mata.

"Iya tak iya pun bagilah salam dulu." Ujar Aliff lantas meletakkan gelas kaca berisi air itu ke bawah. Dompet yang dihulur bertukar tangan lantas dibuka dan dibelek isinya.

"Berapa gelas habis?" Soal Aakif selamba lantas melabuhkan punggung di hadapan Aliff.

"Boleh 100 gelas juga habis semata-mata tunggu kau. Lama dia tu macam dari Thailand nak datang Malaysia." Balasan sarkastik Aliff berjaya membuatkan Aakif tergelak kecil.

"Bukan apa... aku ni jalan kaki. Bukan terbang macam superman." Balas Aakif tidak kurangnya juga. Keadaan menjadi sepi sementara ketika Aliff sedang sibuk mencari dan mengira duit untuk membayar.

"Weyh, kau tahu tak Mikael ada dekat sini?" Perbuatan Aliff terhenti mendengarkan kata-kata Aakif. Terus pandangannya dialih memandang lelaki di hadapannya.

"Mikael? Mikael mana?"

"Detektif Mikael. Anak buah Inspektor Badrul."

"Laa, yakah? Dia buat apa dekat sini?"

"Katanya dia bertugas jaga dan soal siasat Irham nanti." Ujar Aakif. Aliff sekadar mengangguk. Nampaknya, Inspektor Badrul-lah yang menguruskan kes langgar lari ini, ya?

Sambil mengeluarkan sekeping not berwarna merah daripada dompetnya, Aliff bangun daripada kerusi lalu berjalan ke arah kaunter yang jaraknya cuma beberapa meter daripada tempat mereka duduk. Setelah membayar dan mengambil baki, dia berjalan kembali ke arah Aakif. Aliff tidak duduk. Sebaliknya, dia memberi isyarat kepala, mengajak Aakif beredar dari situ.

Aakif menurut. Walaupun tidak sampai lima minit dia duduk, lenguh-lenguh berjalan pun masih belum hilang, tidak mengapa. Dia turuti sahaja.

"Mikael ada cakap yang kes langgar lari ni berkemungkinan akan dipindahkan kepada kita." Aakif membuka kata sambil kedua-dua mereka berjalan beriringan meninggalkan kantin hospital.

"Kenapa?" Soal Aliff dengan dahinya yang berkerut hairan.

"Entahlah. Katanya, semua ni seolah-olah berkait rapat dengan kes yang kita siasat."

"Hm... boleh jadi juga. Mikael tu detektif yang hebat. Jarang dia tersalah. Sebab kenapa dia boleh keluarkan teori macam tu pun mesti logik." Inilah Aliff. Bab puji orang dialah nombor satu. Aakif menunduk, memikirkan sesuatu.

Andai betul apa yang Mikael cakapkan, adakah pembunuh misteri yang mereka cari ini sebenarnya orang yang dia sendiri kenal? Atau lebih tepat, orang yang berdendam dengannya? Mustahil... andai pembunuh ini berdendam dengannya, pasti sudah lama pembunuh itu membunuh dirinya. Namun tidak pernah pula--

Aakif memegang dagunya. Dia teringatkan kembali kisah dirinya hampir ditikam ketika sedang tidur beberapa bulan yang lalu. Nasibnya baik kerana dia ketika itu masih belum nyenyak dan perasan akan kehadiran lelaki misteri yang tinggi dan kurus. Terus mereka bergelut. Akibat persediaan yang tidak lengkap, Aakif akhirnya dicekik oleh si lelaki misteri. Melihatkan peluang yang semakin tipis, Aakif terus menjatuhkan pasu berdekatan untuk menyerang lelaki misteri, seterusnya menghasilkan bunyi. Apa yang dia ingat, ketika itu ada serpihan kaca yang terpelanting dan terkena pipi lelaki misteri, menghasilkan luka yang dalam serta darah yang mengalir bertali-arus.

Lelaki tinggi, serpihan kaca terkena pipi, luka yang meninggalkan parut. Semuanya melengkapi ciri-ciri...

"Doktor tadi!" Terus Aakif berlari sepantas kilat apabila perasan mengenainya. Aliff yang tidak tahu apa-apa masih terpinga-pinga melihat Aakif yang tiada angin tiada ribut, terus berlari seolah dikejar lanun menaiki bot.

Misi IVTGWhere stories live. Discover now