K E S 1 4 : B E R A K H I R

120 23 3
                                    

"KE Kuala Lipis... sekarang."

Suara Hilmi bergema indah di setiap sudut dalam kereta. Farhan sekadar mendengar sambil tangannya tidak lepas memegang stereng. Dia kini berada di sebuah jalan perkampungan yang sunyi, berhenti seketika untuk mengumpul tenaga sebelum dia boleh beraksi semula.

Setelah berpuas hati dengan kata-kata Hilmi yang dirakam secara langsung menggunakan perakam suara yang ditinggalkan di dalam balai, dia akhirnya tersenyum sinis sendirian.

"Bagus... mereka dah berjaya, walaupun sedikit lambat."

Enjin kereta dihidupkan. Gear ditukar daripada P kepada D. Pedal minyak ditekan. Kereta hitam yang sama hampir melanggar Aakif tempoh hari kini bergerak perlahan-lahan sebelum memecut membelah jalan raya.

Masa untuk dia beraksi sudahpun tiba.

***

"Aliff, berapa bar minyak kau tinggal?" Soal Hilmi. Cepat-cepat Aliff berjalan ke keretanya lalu memeriksa.

"Masih penuh." Balas Aliff.

"Bagus. Kita guna kereta kau. Minyak kereta aku dah tinggal sikit dan kita tak ada masa untuk berhenti isi minyak." Pintu belakang kereta Proton Iriz itu dibuka lalu masuklah seorang jejaka tinggi ke dalamnya. Memandangkan Hilmi sudah mendapatkan seat belakang, maka Aakif akan duduk di hadapan.

Apabila kesemua mereka telah naik, tanpa teragak-agak lagi Aliff terus memandu kereta itu keluar daripada perkarangan balai polis Bukit Aman. Maka, bermulalah perjalanan ekstrem daripada Kuala Lumpur menuju Kuala Lipis bersama satu harapan - mereka berjaya tiba sebelum pembunuh tersebut mula beraksi.

Jam pada radio menunjukkan pukul 12:47 tengah malam. Pun begitu, jalan raya tidak juga lengang daripada kereta. Ke mana hala tuju mereka, hanya mereka yang tahu. Mungkin ada yang punya kecemasan seperti mereka, mungkin juga ada yang saja-saja mahu keluar ambil udara tengah malam. Walau apapun ia, ia langsung tiada kena mengena dengan mereka.

"Macam mana? Dapat tak?" Hilmi mula menyoal sebaik sahaja melihat Aakif meletakkan kembali telefon yang asalnya ditekap di telinga ke bawah.

"Tak dapat. Aku cuba sekali lagi."

Nombor yang sama didail. Pada skrin tertera nama 'Aini'. Telefon ditekap kembali ke telinga. Walau apa jua caranya, dia perlu menyuruh Aini berjaga-jaga, tidak keluar rumah dan kunci segala jenis pintu di rumah tersebut. Pembunuh ini bukan calang-calang. Dia tidak akan memaafkan dirinya sekiranya Aini berjaya jatuh ke tangan si penjahat. Dia telah mengutarakan satu janji bersama Akim hampir sedekad lepas dan dia akan cuba sedaya-upaya untuk tidak menghampakan arwah sahabatnya.

"Aakif. Andai aku pergi dulu, boleh tak kau janji dengan aku satu perkara?"

"Apa dia?"

"Tolong jagakan Aini dan ibu untuk aku."

"No hal-lah, bro. Aku kan sahabat kau. Kita dah macam adik-beradik, tahu? Family kau, family aku juga. Aku akan jaga mereka sebagaimana aku jaga nyawa aku sendiri. Malah andai perlu, aku sanggup gadaikan nyawa ni demi mereka."

Deringan telefon berhenti. Suara ayu di balik corong telefon mula kedengaran. Akhirnya, panggilan diangkat.

"Maafkan Aini, Abang Aakif. Aini duduk dekat dapur tadi. Tak perasan pula telefon berbunyi. Abang Aakif telefon ni ada apa?"

Misi IVTGTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon