K E S 2 1 : P E N A M A T

190 24 18
                                    

BANG!!

Aakif tergamam. Mulutnya terlopong tidak percaya. Pistol yang berada di tangan lelaki itu mengeluarkan asap, memberitahu ia sudahpun melepaskan tembakan.

Apabila merasakan tiada apa-apa berlaku, Aliff lantas membuka matanya. Dia.... masih hidup? Tembakan dilepaskan tetapi tidak menembusi kepalanya. Malah, tiada peluru pun yang keluar dari pistol En. Ridzwan. Jadi... bunyi tembakan tadi dari mana?

"Ini seekor lagi. Liat gila nak mati." En. Ridzwan berkata lantas memalingkan wajah ke belakang. Matanya tajam menikam kelibat seorang lelaki yang sedang mengacukan pistol ke arahnya. Muncung pistol lelaki itu mengeluarkan asap halus.

"Apa? Tem... tembakan aku tersasar?" Bisik lelaki itu. Namun, Aliff dapat mendengarnya dek gema yang terhasil. Lantas Aliff turut sama memandang ke belakang. Matanya membuntal terkejut.

"Farhan?"

"Bukan aku dah tikam kau ke? Macam mana kau boleh hidup lagi, hah?" Farhan senyap. Dia tidak membalas soalan itu. Matanya tertumpu tajam pada wajah En. Ridzwan yang  sedang menyinga.

Aakif melihat pertemuan ini sebagai satu peluang. Terus dia berlari dan menyambar tangan bapa saudaranya. Pistol yang dipegang En. Ridzwan tercampak. Manakala badannya pula ditolak sehingga terkena troli yang disandarkan pada dinding. Aakif memegang kuat kedua belah tangan En. Ridzwan, menghalangnya daripada bergerak.

Namun, Paksunya itu bukanlah seseorang yang mudah dikalahkan. En. Ridzwan mengangkat lutut lantas menyepak-nyepak perut Aakif sehingga terasa senak. Pegangan tadi terlepas. Aakif terundur ke belakang.

Melihatkan peluang yang ada, Farhan terus berlari mendapatkan Aliff yang terikat pada kerusi. Tali yang mengikat tangan dan kaki Aliff ditarik dan dicari punca ikatannya. Tetapi, ia tetap juga tidak putus. Farhan melilau sekeliling, mencari sesuatu yang mungkin berguna. Tidak jauh dari mereka, terletaknya satu serpihan kaca yang sebesar telapak tangan. Lantas kaca itu diambil. Bahagian yang tajam digesel pada tali yang mengikat kaki Aliff seperti gergaji.

"Kenapa... kenapa kau selamatkan kami?" Aliff tiba-tiba menyoal. Pergerakan Farhan terhenti. Mukanya diangkat memandang Aliff. Lambat-lambat dia menjawab.

"Untuk tebus balik kesilapan lama aku." Jawab Farhan tenang. Sempat diukir segaris senyuman sebelum dia sambung memotong tali itu.

Aakif mengelak setiap serangan dengan sangat cekap. En. Ridzwan memberi sepakan, dia menepis. En. Ridzwan menghadiahkan satu tumbukan, dia mengelak. Tiada satu pun serangan yang mengena tubuhnya. Pun begitu, dia tetap tidak pernah sekali melancarkan serangan dari awal pertarungan ini. Dia merasakan, walaupun Paksu sedang menyerangnya, dia tetap tiada hak untuk menyakitinya kembali. Betapa tebalnya rasa hormat kepada saudara yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri.

"Kenapa? Ada masalah kah, pendekar? Hah? Kenapa kau tak serang? Hahaha!" Soalan provokasi itu dilontarkan bersama gelak tawa sinis di akhirnya. En. Ridzwan kini makin menggila. Menyerang tanpa memikirkan lagi siapa yang berada di hadapannya.

Tumbukan demi tumbukan, sepakan demi sepakan. Semuanya semakin pantas. Semakin berbisa. Aakif mula kehilangan rentak dan akhirnya, beberapa sepakan terkena pada badannya. Dia mengaduh kesakitan beberapa kali. Keseimbangan dan fokusnya terganggu. Dia mula terhuyung-hayang ke belakang. Tidak semena-mena, satu tumbukan padu hinggap di muka. Aakif jatuh terduduk. Bibirnya yang pedih disentuh perlahan menggunakan belakang telapak tangan. Suatu cecair merah melekat.

En. Ridzwan mendekati dengan gelak tawa yang belum surut. Malah, makin galak. Kakinya diangkat, mahu memijak Aakif. Tetapi, Aakif sempat mengelak. Kali ini, dia tidak lagi boleh berdiam diri membiarkan dirinya menjadi beg tinju tanpa izin. Dari arah belakang, dia berlari lantas menolak Paksunya sehingga lelaki itu jatuh tersungkur. Kolar baju En. Ridzwan digenggam tangan kiri. Manakala tangan kanannya tinggi dikepal ke udara, bersedia mahu menumbuk.

Misi IVTGNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ