K E S 4 : K E N A N G A N

182 31 4
                                    

AINI duduk berseorangan di ruang tamu. Rumahnya gelap-gelita. Hanya lampu di ruang tamu itu sahaja yang menyala. Akibat penat menangis, ibunya sudah tertidur terlebih dahulu. Kini, tinggallah dia sendirian di dalam rumah itu.

Telefon pintarnya dipegang. Jam telefon itu menunjukkan pukul 12 malam. Walaupun hari sudah benar-benar gelap, Aini masih tidak mahu tidur. Matanya langsung tidak terasa berat. Lagipun, dia sudah biasa berjaga hingga larut malam.

Pada skrin telefon pintarnya tertera foto-foto lama yang diambilnya. Satu demi satu dibelek. Senyumannya juga tidak lekang dari tadi.

Tiba di satu gambar, jari-jemarinya berhenti membelek. Gambar itu ditatap lama.

Gambar dia dan Akim.

Dalam gambar itu, Akim kelihatan tersenyum manis memandang kamera. Gambar itu diambil sewaktu menyambut hari lahir Akim yang ke-16. Dapat dilihat juga beberapa tompokan tepung pada wajah Aini yang ketika itu lehernya sedang dirangkul oleh abangnya.

Entah mengapa, kenangan-kenangan bersama abangnya kembali mengetuk benuk fikiran.

***

"Apa yang kamu pakai ni, Aini?"

Berseluar ketat, berlengan pendek, tudung bawal dilibas ke atas. Membuatkan tudung menjadi singkat.

"Suka hati oranglah nak pakai apa!" Jerkah Aini, pantang ditegur. Sungguh dia tidak nampak apa yang salah jika dia berpakaian begini. Bukankah ianya trend? Semua orang buat!

"Aini, berapa kali abang nak pesan? Tutuplah aurat dengan sempurna. Tudung labuhkan. Pakailah baju lengan panjang. Seluar jangan ketat. Islam ajar tutup aurat bersebab. Ianya juga untuk kebaikan kamu." Bernada perlahan, Akim cuba menasihati. Ini sudah masuk kali ke berapa dia menegur. Namun dia tidak akan berputus asa dengan mudah kerana ianya adalah tugasnya sebagai seorang abang untuk menjaga adiknya.

"Eee! Ikut suka Aini lah nak pakai apa! Abang tak payahlah sibuk!" Aini semakin panas. Egonya menggunung, membuatkannya susah menerima nasihat.

Inilah bahayanya ego. Andai terus dibela, pasti akan membinasakan. Jangan disebabkan perkataan tiga huruf ini, hidup kamu musnah.

"Aini, kamu sanggup ke tengok abang dengan abah kena campak ke neraka sebab cara pemakaian kamu ni? Kalau arwah abah tengok, pasti dia sedih. Abang sayangkan kamu, Aini. Sebab tu abang tegur. Tutup aurat, please?"

"Ha, yalah! Hidup Aini memang macam dalam penjara, kan? Itu tak boleh, ini tak boleh. Semua Aini buat tak boleh! Semuanya salah! Abang jelah yang betul!" Sudah hilang sabar dengan segala teguran, Aini akhirnya berlari masuk ke bilik semula.

Pang!

Pintu bilik dihempas kuat.

Akim sedikit sedih kerana sekali lagi perbuatannya seperti mencurah air ke dau keladi. Tapi, itu tidak akan mematahkan semangatnya. Dia yakin, suatu hari nanti Aini akan terbuka hati juga untuk menerima nasihat.

Dia tidak boleh berputus asa, kerana itu adalah adik perempuannya!

***

"A-abang... Aini dah tutup aurat dengan sempurna. Abang bangga tak? Aini minta maaf sebab tak dengar cakap abang dulu. Lepas abang pergi, barulah Aini rasa menyesal sangat. Abang, Aini minta maaf sebab dah jadi adik yang teruk. Aini janji, Aini tak kan jadi asbab abang dan abah ke neraka. Abang tunggu Aini, ya? Nanti kita sekeluarga sama-sama kumpul dekat syurga, ya?" Mutiara-mutiara jernih yang ditahan sejak tadi jatuh jua. Malam itu, keheningan malam menjadi saksi kerinduan yang sudah lama ditahan.

Misi IVTGWhere stories live. Discover now