Bab 21

3.1K 211 31
                                    

[TIARA]
Kau dan aku merancang untuk mengukir cinta namun perihnya hanya mampu meninggalkan kenang dan luka.

PANCURAN air dari pemancur mengalir di setiap lekuk-lekuk indah di perut. Matanya terpejam, menikmati kesejukan air yang menyentuhi setiap permukaan kulit di tubuh. Rambut disebak ke belakang, memercikkan sisa-sisa air ke pelbagai arah. Fikirannya baru-baru ini tepu dengan pelbagai masalah pejabat dan peribadi. Kisah sensasi pergaduhan antara Harrez dan Zakuan yang terjadi tiga hari lalu semakin membusuk. Mungkin Harrez sengaja membuat onar untuk terlepas dari cengkaman papa kerana bayang-bayang lelaki itu lesap dari Estate Empire.

Dia tahu papa turut kesal kerana memalukan Harrez di khalayak ramai atas desakan emosi. Sebaiknya dia tidak berminat untuk masuk campur sama sekali. Melalui pengakuan saksi, Zakuan menyerang Harrez disebabkan tuduhan plagiat. Apabila kes ini disiasat dengan lebih mendalam dari unit sekuriti, kes ini bukan disebabkan pecah amanah tetapi sabotaj. Mereka sudah mengenal pasti pelakunya melalui rakaman CCTV yang tersorok, dan dia tidak terkejut setelah mengetahuinya.

Tidak cukup dengan itu, masalah lain juga turut menerpa. Keberadaan Sean di USA dalam mengawal kekecohan tersebut sudah berjaya dikawal, dan ini bermakna lelaki itu akan terbang pulang ke tanah air. Dia harus mengatur strategi untuk merantai Sean dalam tempoh yang agak panjang selagi misinya belum membuahkan hasil. Permainan yang melibatkan hati ini begitu sukar untuk difahami. Dia perlu merancang sehabis baik kerana memiliki gadis itu adalah keutamaannya.

Percutian ke rumah bapa angkatnya di Perlis memberi Hardeen satu tiket keemasan selepas dia dialu-alukan dari undangan dari Puan Irdina. Encik Wahid merupakan sahabat handai Tan Sri Haidar Saadi di zaman universiti. Sewaktu kecil, dia sering ke rumah lelaki itu untuk bermain dengan teman sepermainannya, Rafiqi Adham. Rafiqi merupakan penghidap kanser otak dan ajal menjemput lelaki itu diusia 20 tahun. Oleh hal yang demikian, hanya dia dan Harrez menjadi tempat Encik Wahid dan Puan Irdina menumpang kasih.

Hardeen sudah tekad. Lembaran baru harus dibuka selebarnya. Tidak pernah sekali pun dalam hidupnya segigih ini untuk mendekati seorang wanita yang bukan menjadi pilihan hati. Kalau hanya mencagarkan masa dan tenaga akan meletakkan dirinya di tangga pertama, dia rela lakukan apa saja.

PERBINCANGAN bersama Encik Akhsar, iaitu wakil dari Casuarina Property berjalan dengan lancar sebaik sahaja lelaki itu mengajak Tiara untuk turun padang melihat kawasan perumahan di Kubang Gajah yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu. Cuaca pada hari ini agak buruk jadi mereka memutuskan untuk berjumpa di Old Town White Coffee yang tidak jauh dari kawasan lapangan bagi berbincang secara terperinci. Berdasarkan pelan pembinaan, perumahan ini tidak berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, dan pihak kontraktor lepas tangan begitu saja sebelum menerima pembayaran penuh.

Encik Akhsar juga mengatakan isu ini telah dikupas oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis dan beliau mengatakan projek berkenaan diuar-uarkan sekitar 10 tahun lalu namun masih gagal disiapkan walaupun proses pecah tanah tapak perumahan berkenaan sudah dua kali diadakan.

Kata sepakat telah dibuat oleh beberapa belia yang terlibat dalam membina sejumlah 1,907 unit rumah mampu milik di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), namun hasilnya sangat menghampakan. Masalah ini terjadi disebabkan cadangan membina 10,000 rumah mampu milik melalui Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) bertembung, dan kerajaan pusat memilih untuk memberi laluan kepada projek terbaru.

10 tahun berlalu seiring perkembangan teknologi dan ekonomi Malaysia. Kawasan ini sudah membangun namun kaedah penjualan pemasaran unit setiap unit merundum sejak dua tahun lalu. Tiara tidak mengerti pada awalnya kerana perumahan ini berada dalam kedudukan strategik, berdekatan dengan pelbagai kemudahan yang mencukupi tetapi tidak berpenghuni.

T I A R AWhere stories live. Discover now