Bab 17

3K 204 24
                                    

[TIARA]
Kau dan aku merancang untuk mengukir cinta namun perihnya hanya mampu meninggalkan kenang dan luka.

SEMINGGU sudah berlalu, kini jawatannya di Estate Empire berubah sebagai eksekutif pemasaran walaupun tempoh perkhidmatannya tidak hampir mencapai satu tahun. Dia cuba menolak tawaran kenaikan pangkat itu melalui notis surat atas sebab tertentu, namun permintaannya tidak dibalas dengan baik. Tiba saja di pejabat, tempatnya sebagai setiausaha kepada pengurus projek sudah dirampas oleh pekerja lain. Kata Zalia, pihak atasan akan mengambil tindakan sekiranya dia terus berdegil. Tiara tahu setiap arahan keras itu adalah angkara Tuan Hardeen Daniel.

Sekurang-kurangnya dia tidak akan berselisih atau menghadap muka lelaki itu pada waktu kerja memandangkan kamarnya berada di tingkat yang berbeza. Dia bersyukur untuk itu. Perasaan menjadi pemimpin kepada pekerja lain sememangnya sukar digambarkan, lebih-lebih lagi penghormatan mereka tidak ubah seperti layanannya kepada Encik Sean dahulu. Menghadam tugas sebagai eksekutif pemasaran memerlukan kesabaran setinggi angkasa. Hampir tiga malam dia tidak memperolehi tidur yang secukupnya kerana bertungkus-lumus menyelesaikan kerja yang dianaktirikan.

Keluar mulut harimau, masuk mulut buaya. Terlepas satu masalah, masalah lain pula menerpa. Terkial-kial Tiara mempelajari selok belok berkaitan posisi baharu setelah mesyuarat tergempar diadakan pada tiga hari lalu. Dia diberi tempoh masa selama sebulan untuk menyediakan laporan lengkap tentang kawasan perumahan yang terbengkalai di negeri Perlis sebelum mesyuarat seterusnya diadakan. Melihat saja senyuman sinis Tuan Hardeen atas keputusan sebulat suara barisan ahli lembaga hatinya umpama air panas yang sedang menggelegak. Dia sedar lelaki itu akar tunjangnya.

Pelipis kening dipicit. Beberapa buah fail yang dihantar oleh pekerja-pekerja lain dilihat sekilas sebelum keluhan panjang dilepaskan. Matanya sudah naik muak membaca setiap cetakan di atas kertas kajang memandangkan dia perlu mengetahui segala urusan pemasaran yang sedang diusahakan. Sepatutnya, pihak atasan perlu melatihnya selama seminggu bagi mempersiapkan diri untuk ke jawatan baru. Ini tidak! Esok putus, esok juga dia ditendang. Kejam!

Tok! Tok! Tok!

Ketukan pada daun pintu mencantas lamunan Tiara. Kepala didongak melihat pintu kaca di hadapan sebelum keizinan diberi. Tombol pintu berpusing laju lantas punggungnya bangkit dari kerusi untuk membuka pintu dari dalam. Batang tubuh Jane yang melangkah mendekati bersama dua fail tebal di tangan bagaikan menyedut segala tenaga di dalan badan. Tiara mengetap gigi. Memang Tuan Hardeen sengaja lah nak bagi dia ni mati awal.

"Tombol pintu ni rosak agaknya. I will definitely look into getting the building maintenance team to address the issue. I apologize for the lack of amenities in this room, Miss Tiara." Jane bersuara serba-salah. Pasti Cik Tiara tidak berasa selesa berada di dalam bilik ini.

"Bukan salah you, Jane. I rasa baru saja rosak sebab sebelum ni I keluar masuk okey aje. Terkejut agaknya ada penghuni baru di sini lepas lima bulan kosong, kan?" Tiara tersenyum mesra. Beberapa buah fail di dalam kendongan Jane dilihat sekilas. Gadis itu hanya menayang wajah sisa serba-salah.

"Ada lagi nampaknya. Dokumen yang lain pun I tak sempat hadam lagi. Banyak betul projek syarikat ni, kan? Kaya betul! I patut minta dinaikkan gaji lah kalau macam ni. Baru seminggu kerja dah macam CEO punya tugas." Tiara tergelak dalam nada kepenatan. "You letak saja atas meja, nanti I baca. Thank you so much Jane."

"I minta maaf Cik Tiara. I cuma turut arahan Tuan Hardeen. He requested for you to inspect the entire extent of the work to ensure everything is to spec."

Nafas ditarik dalam manakala senyuman masih belum lekang. Tiara cuba berlagak tenang walhal mentalnya sedang goyah. Dia tidak mahu gadis manis itu berasa tidak selesa dengan tutur katanya yang berunsur perlian. Dia cuma letih, itu saja. Mungkin kekurangan tidur dan rehat membuatkannya mudah dibadai emosi.

T I A R AWaar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu