Bab 28

2.6K 207 42
                                    

[TIARA]
Kau dan aku merancang untuk mengukir cinta namun perihnya hanya mampu meninggalkan kenang dan luka.


"DAH sampai ke belum? Risau pula aku."

"Ya, Siti Farzana. Bagi aku bernafas sekejap boleh? Aku baru sampai ni."

Beg baju dijinjing di tangan kiri manakala sebelah tangan lagi setia memegang telefon bimbit di cuping telinga. Sengaja Tiara mengambil bas seawal lima pagi untuk menghindari mata-mata sinis orang sekeliling. Pada awalnya, Puan Diana dan Usu Najda juga memberi respon berat hati membiarkannya pulang ke Kuala Lumpur. Dia terpaksa beralasan berkaitan kerja untuk menenangkan hati mereka berdua. Kononnya, sesi 'work from home' sudah tamat tempoh dan dia perlu kembali bekerja secara fizikal.

Selain itu, Farzana mengatakan bahawa wartawan-wartawan tidak lagi bersidai seperti awal kejadian dahulu dan ini merupakan peluang untuknya mendapatkan kehidupan normal. Suara nyaring gadis itu sekali lagi menceceh di luar talian, langkah Tiara maju menaiki anak tangga untuk ke tingkat tiga.

"Yalah, yalah... Aku kunci pintu." Katanya cuba menenangkan pemanggil di talian. Tiba saja di tingkat tiga, Tiara menyengetkan kepala untuk menekan menahan telefon bimbit di antara telinga dan bahu. Suara Farzana makin rancak. Segugus kunci dikeluarkan dari tas tangan selepas melalui koridor berbentuk L songsang. Skrin bersaiz leper itu sekali lagi disentuh dengan tangan kanan untuk menyambung perbualan.

"Aku tahu lah! Kau kerja baik-baik, jangan asyik curi tulang aje. Aku nak letak dah ni mak cik. Petang nanti kita borak panjang."

Panggilan dimatikan setelah ucapan salam diakhiri. Layar matanya terhidang kelibat Puan Kalsom yang sibuk menyiram sederet pokok bunga di dalam pasu seramik. Terbongkok-bongkok wanita itu mengutip perkakas bercucuk tanam untuk disimpan ke dalam kotak plastik jernih di rak kasut. Tatkala anak mata mereka bersatu, senyuman Tiara terukir manis isyarat menyapa.

"Hai budak bertuah. Lama tak nampak. Tiara sihat ke?" Puan Kalsom menegur mesra. Postur badan dibetulkan.

"Sihat, mak cik. Takkan tak sihat? Balik kampung makin sihat lah sebab merasa air tangan mak sendiri." Tiara berseloroh. Wanita itu tertawa.

"Tengah hari nanti jemput-jemput lah makan sini. Hari ni Farza kerja, dia minta mak cik tengok-tengokkan Tiara. Jangan segan-segan, kita ni dah macam satu keluarga." Ramah Puan Kalsom menjemput. Gambaran riak di wajah manis itu terlihat gembira. Dia masih ingat pujian yang dilambakkan Tiara sewaktu menjamu masakannya tempoh hari. Senyuman kecil terbentuk serta-merta. Kata pamit didahulukan mengenangkan timbunan kain baju yang belum berlipat.

Tiara menurunkan beg di atas simen konkrit untuk memudahkan pergerakan. Bibirnya sempat menyanyi kecil. Segugus kunci yang dikeluarkan sebentar tadi dibelek dahulu sebelum kunci perak dijolok ke dalam mangga. Belum sempat gril dikuak luas, rempuhan kasar seseorang di belakang badan menyengat di setiap sendi.

Dentuman gril gempita. Tiara panik, tak mampu proses keadaan yang terlampau pantas berlaku. Bingung. Dia cuba melepaskan diri namun lehernya dicekik kuat dari belakang. Menggigil-gigil tubuhnya apakala parang sebesar lengan terpacak di depan mata. Kelibat tubuh Puan Kalsom yang mengintai disebalik pintu akibat dentuman sebentar tadi sudah menghilang ke dalam. Mungkin cuba mendapatkan bantuan pihak berkuasa. Tiara terkejung tika bilah senjata itu menyentuhi leher. Bisikan sinis seorang wanita bergendang di tepi telinga.

"Kalau kau menjerit, aku kelar leher kau perempuan."

Beg bagasi ditarik dengan langkah santai. Hardeen melalukan kad akses di pengimbas selepas memasuki ke dalam perut lif untuk dibawa ke unit tanpa melalui koridor kejiranan. Paradise Cove yang terletak di Setiawangsa merupakan sebuah kondominium 53 tingkat berprestij tinggi. Unit kondominium jenis dual key unit (D) berukuran 1,318 meter persegi ini dibeli dua unit sejak tiga tahun lalu sebagai salah satu koleksi aset pelaburan jangka masa panjang. Lokasi terbaik untuk menghindar dari diganggu oleh paparazzi dan media.

T I A R AWhere stories live. Discover now