Episod 26 🍃

4K 279 163
                                    

KESYUKURAN dipanjatkan ke hadrat Ilahi tatkala melihat abangnya kembali sedar setelah genap seminggu Hud terlantar koma di unit rawatan rapi. Air matanya tak henti-henti mengalir melihat Hud sudah mampu membuka mata walaupun kondisi abangnya itu masih kelihatan lemah.

Sekurang-kurangnya, abangnya diberikan peluang untuk menjadi pelindungnya dan ibunya lagi. Malahan, Sherina tidak perlu terus-menerus membuat helah pada ibunya menyatakan bahawa Hud berada di luar kota untuk menguruskan Restoran Aglio yang diwasiatkan kepada Hud.

"Abang... terima kasih sebab kuatkan semangat abang untuk bangun. Dah lama mama tunggu abang. Setiap hari mama tanya, abang sihat ke tak? Kenapa abang diam tak hubungi dia langsung? Yelah, lepas kes dalam penjara hari tu abang tak jenguk mama lagi dah ada dugaan lain. Tapi abang jangan risau. Sherin dengan mak su dah rahsiakan semuanya daripada mama. Mama percaya yang abang outstation. Sibuk uruskan restoran seafood tu," kata Sherina sambil mengenggam erat tangan Hud. Menyalurkan kekuatan buat Hud yang kelihatan pucat tak berdaya. Hanya pandangan mereka sahaja yang saling bersatu saat itu. Sherina tahu. Pelbagai persoalan yang bermain di benak fikiran abangnya saat ini.

"Pasal Afrina. Abang jangan risau. Dia dalam keadaan yang baik. Afrina selamat. Sekarang ni, abang tu tolong jangan fikir sangat pasal benda yang dah jadi. Sekarang abang kena banyakkan berehat supaya abang cepat sembuh. Sunyi tau rumah tu sejak abang tak ada. Sherin rasa tak selamat bila abang tak ada kat rumah. Situasi yang sama sebelum abang kembali pulang ke pangkuan mama," tambah Sherina lagi sambil melekapkan tangan Hud ke pipinya yang sudah basah dengan air mata. Sungguh, dia rindu. Sangat merindui abang yang sering melindunginya di kala Zanif cuba mendera fizikalnya lagi.

Sememangnya, selepas sahaja Hud kembali pulang, Zanif tidak lagi memukul Sherina dek kerana penangan Hud dahulu. Namun sejak ketiadaan Hud, di situlah suaminya itu mengambil kesempatan dengan membuat perkara lama. Cemburu buta dan pengakhirannya tubuhnya akan dijadikan sepak terajang suami yang dayus itu. 

Perlahan-lahan, Hud mengusap lembut air mata yang mengalir ke pipi Sherina. Luluh hatinya melihat wajah sayu Sherina. Dia juga bersyukur di saat ALLAH masih memberikan peluang kedua untuknya meneruskan hidup. Lantas, segaris senyuman terukir di bibir Hud yang pucat tatkala mendengar penjelasan daripada adik kandungnya itu. Menyembunyikan rasa yang terpendam di sudut hati. Namun, melihat tepi bibir Sherina yang lebam mematikan terus senyuman Hud. Jari telunjuk sudah dibawa ke tepi bibir wanita muda itu. Kerutan di dahinya sudah kelihatan melihat wajah cantik Sherina ditutup dengan kesan lebam.

"Zanif..."

"Sherin terhantuk kat pintu. Tak ada kaitan dengan Zanif pun," pintas Sherina seraya melepaskan tangan abangnya daripada genggaman. Air mata dikesat lembut. Dek kerana tidak mahu abangnya kembali khuatir, Sherina menyembunyikan sahaja perkara yang sudah berlaku. Bukan masa yang sesuai untuk dia menceritakan masalahnya dengan Hud yang masih lemah. Bagi Sherina, emosi Hud harus dijaga dengan baik!

"Abang nak air?" soal Sherina. Wanita itu sudah bangun dari duduknya seraya mencapai gelas yang terletak di meja sisi katil. Mengubah topik yang mula menjadi perhatian Hud.

Hud hanya mengangguk sambil memerhatikan raut wajah Sherina. Bukan di tepi bibir sahaja yang terdapat kesan lebam, malahan tangan kiri Sherina yang berbalut juga turut memberikan keyakinan kepada Hud bahawa adiknya menjadi mangsa penderaan domestik lagi. Saat itu, Hud mula merasakan bahawa dia tidak berguna. Apa gunanya dia sebagai seorang abang jika tidak mampu melindungi satu-satunya adiknya? Tapi dia tiada daya ketika Sherina menjadi mangsa dera. Dek kerana penangan penculik-penculik itu serta merta dia berada di bawah alam sedar. 

Perlahan-lahan, Sherina mendekatkan straw ke mulut Hud sebelum pemuda itu menyedut minuman untuk membasahkan tekakknya yang berasa kering. Lantas, Hud mengenggam erat tangan kiri Sherina dengan pandangan yang sudah dipenuhi dengan persoalan. Hud masih memerlukan penjelasan lanjut mengenai keadaan Sherina. Ketika itu juga, Sherina semakin buntu apabila Hud masih kekal ingin berbahas mengenai kecederaannya. 

KERANA AKU BUKAN DIA (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now