Episod 6 🍃

5.8K 477 73
                                    

"AKU bukan polis lagi, Rahim. Aku dah jadi orang biasa dan dah lima tahun aku hidup tak dikelilingi dengan jenayah. Jadi, tak salahkan kalau aku dah tak tahu nak hadap musuh macam mana?" kata Hud. Dia mengeluh berat seraya menyandarkan tubuhnya di belakang kerusi.

Sesak rasanya saat mengenangkan bahawa dirinya sudah tak sama seperti dahulu. Cita-citanya hancur hanya kerana sebuah tragedi yang tak akan dilupakan hingga hujung nyawa.

Ibrahim bungkam buat seketika. Dia merehatkan dirinya yang tegang seraya bersandar di belakang kerusi. Bangunan pencakar langit di kota raya yang dihiasi cahaya lampu yang begemerlapan menjadi tatapannya.

Benar.

Hud bukan lagi Inspektor Hud Aidan yang sentiasa dingin ketika berhadapan dengan jenayah. Kerana trauma yang hebat dalam diri, Hud meletakkan jawatannya. Hidup seperti orang biasa dan mengalihkan pekerjaannya menjadi seorang usahawan sebuah Restoran Western di Melaka.

"Kenapa kau diam? Apa dia berita tu? Tak apalah. Aku cuba terima apa sahaja berita yang akan dikhabarkan pada aku. Sekurang-kurangnya aku boleh siapkan mental dan fizikal aku. Tak adalah sewenangnya aku kena belasah macam haritu lagi. Kan?" kata Hud.

Dia ketawa kecil teringat akan dirinya yang menerima kecederaan walaupun berjaya menumbangkan tujuh orang lawan terlebih dahulu. Kalau dulu, jarang sekali dia cedera jika melawan musuh kerana kekuatan fizikal dan mentalnya yang selalu dalam keadaan bersedia.

Ibrahim terus mengalihkan pandangannya ke wajah Hud semula. Bahu sahabatnya ditepuk-tepuk. Senyuman nipis terkulum di bibir pemuda itu. Senang hatinya tatkala suara Hud yang seakan-akan bersemangat menusuk halwa telinga.

"Hah! Ini barulah Hud Aidan yang aku kenal! Betul tu Hud. Kau memang kena jadi Hud yang dulu. Kau kena kuatkan stamina dan sedia fizikal dan mental kau semula. Biar dia orang gerun nak berhadapan dengan kau. Tapi kau jangan risau, pasukan aku dah siasat kes ni memandangkan ini berkaitan dengan kes percubaan membunuh. Pasal berita tu... kami temui dia orang semua mati dalam penjara lepas dua orang daripada dia orang bagi klu tentang siapa yang arahkan dia orang untuk bunuh kau," ujar Ibrahim sekali gus menyampaikan sebuah berita kepada sahabatnya.

Tatkala berita mengejut itu sampai kepada Hud, dahinya serta merta berkerut. Duduknya lantas ditegakkan semula dan dia berpaling menghadap wajah Ibrahim. "Kenapa?"

"Diracun. Kami syak dalam penjara tu ada orang dalam. Mesti ketua dalang ni orang yang berkuasa atau main rasuah. Pelik bila dia orang mati serentak lepas makan tengah hari!" kata Ibrahim. Sungguh, dia juga kaget setelah mendapat khabar itu.

Hud menggaru pelipisnya yang tak gatal. Kepalanya tergeleng tidak mengerti kenapa samseng-samseng itu harus dibunuh. Mereka kehilangan jejak sekelip mata sahaja!

Sungguh, Hud bungkam dengan berita ini. Tiada kata yang keluar dari mulutnya. Apalah yang dimahukan oleh orang yang mahu membunuhnya sehingga sanggup membunuh konco-konconya sendiri?

"Tapi sayang, klu yang dia orang bagi tu pula tak begitu jelas. Dia orang cuma cakap yang dia orang hanya diupah untuk bunuh kau sebab ada orang berdendam dengan kau. Jadinya, berdasarkan hasil siasatan itu kami klasifikasikan bahawa kes kau ni motif dendam. Tapi setahu aku, kau tak pernah aniaya orang Hud! Tu yang aku pelik tu," kata Ibrahim lagi.

Dia kenal Hud Aidan itu seperti mana orangnya. Tak akan sesekali Hud menganggu kehidupan orang lain. Tetapi mengapa pula sahabatnya ini mahu dibunuh atas asbab mahu melepaskan dendam?

Ketika itu, angin kencang pada malam itu tidak lagi terasa nyaman. Jantung Hud sudah berdebar kencang tatkala Ibrahim menjelaskan mengenai motif percubaan bunuh ke atasnya.

KERANA AKU BUKAN DIA (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now