DHA_25

447 32 2
                                    

"KAU nak tengok aku mati ke, Karl? Kau nak tengok aku ni hidup merana, sengsara, baru kau puas hati? Macam tu?"

Wajah emaknya yang menyinga tidak mampu ditatap lagi. Rasa kesal yang menghuni di dada juga serasa tidak berguna.

Benda dah jadi pun.

"Berapa kali lagi? Berapa banyak masalah lagi kau nak buat? Kau nak jadi apa? Anak tak guna?"

Karl Adrian masih juga terus menundukkan wajah.

"Aku dah penat, Karl..." Saat ini, emaknya yang gagah berdiri dan menghamunnya tadi, terus jatuh terduduk di atas sofa.

Badannya disandarkan, tangan kiri naik memicit dahi yang terasa mahu meletup saat ini.

"Apa salah aku dah buat, Karl? Tak cukup ke semua beban dan hinaan yang aku tanggung selama ni... Kenapa mesti kau nak tambahkan lagi?" Lemah suara yang terlahir dari bibir emaknya.

Air mata Karl Adrian bertakung saat ini.

Dia...

Sumpah, tak ada niat sekelumit pun untuk dia menyakiti hati wanita kesayangannya ini. Sumpah, tak ada!

Cuma, dia sedar. Tindakannya itu pasti akan mendatangkan kemarahan emak. Cuba sahaja emak tahu mengapa semua itu terjadi.

"Kalau kau rasa terseksa hidup dengan aku... kau boleh pergi, Karl. Aku sedar, sampai bila-bila pun, aku tak akan jadi emak yang kau idamkan."

Laju Karl Adrian mengangkat muka memandang emaknya. Apa yang sudah terkeluar dari mulut emak itu,  seolah-olah sedikit pun tidak memberi kesan kepada emak, namun baginya?

Sangat merobek tangkai hatinya.

"Karl tak akan pergi, mak." Dia tahan sebak di dada dengan kepayahan.

"Emak, tetap emak yang terbaik untuk Karl." Dalam kepayahan juga dia menuturkan ayat tersebut.

Dia mahu emaknya tahu. Rasa sayangnya kepada emaknya itu, tidak pernah surut.

Biar bagaimanapun layanan emaknya. Dia tidak peduli.

"Kau, aku... kita sama-sama tahu, Karl. Aku, tak akan jadi emak yang baik untuk kau. Mungkin sebab tu jugak kau buat macam ni. Balasan untuk aku, kan?" Karl Adrian tergamam.

Tak.

Dia tak pernah terfikir begitu pun.

"Tak pe, Karl. Bukan salah kau. Aku yang tak pandai ajar kau. Aku yang tak pernah peduli pasal kau. Memang layak aku terima semua ni."

Karl Adrian lebih tergamam kini saat melihat air mata yang menitis di pipi emaknya.

Air mata?

Emaknya menangis?

Menangis kerana dia?

Ya Allah... Semakin sakit hatinya kini. Segalanya terasa seolah tidak lagi memberi makna.

Dia, hanya mahu emaknya gembira dan bahagia. Hanya itu.

Tapi, apa yang sudah dia lakukan kini?

"Maafkan Karl, mak."

Rasa kesal semakin menggunung dalam dadanya. Jatuh bahunya. Sedar, kesal yang dirasakan itu tidak akan mampu mengubah sedetik pun segala yang telah berlaku.

Terpapar riak kecewa di wajah emak, sejak di dalam pejabat pengetua tadi lagi.

Ya, dia akui. Ini bukan kali pertama. Malah, sudah acap kali emak dipanggil ke sekolah kerana masalah yang dilakukan dirinya.

Dia Hero Aku Wo Geschichten leben. Entdecke jetzt