#Remy8 - Bab 21

50 5 2
                                    

Butik milik Ros mengalami krisis keesokan harinya, langsung Rizki tak dapat memenuhi janji kepada Melia yang dia akan membawa Remy untuk jamming bersama Qi.

Malah, Rizki terpaksa memujuk Melia agar dia dan Marzuqi ikut sama ke butik dan bantu ibunya.

"Hah, kau nak aku dan Qi jadi model untuk busana di butik mama kau? Aku bolehla cuba-cuba. Tapi Qi, ish, dia tak pernah buat semua ni. Mak aku kata nanti dia buat tak tahu saja bila kau suruh berposing, macam mana?" persoal Melia, gusar.

Marzuqi pendiam, pemalu dan canggung bila berdepan dengan orang yang tak dikenali. Kalau dia menikus nanti, haru jadinya. Kalau dia serkup mukanya dalam baju macam waktu dia kecil-kecil dulu kerana tak suka dengar hingar-bingar, segan juga. Kalau dia ketuk-ketuk kepalanya dengan penumbuk kiri, Melia tak pasti dia dapat memujuknya.

Walaupun sudah lama Qi tak buat begitu, ini situasi baru. Sedangkan Melia sendiri tidak tahu dia akan panik atau tidak di depan kamera, inikan pula Qi.

Rizki terus merayu. "Remy kata dia akan sama-sama pujuk Qi. Jomlah Melia, kakak aku dah tunggu dalam kereta tu. Mama terdesak ni. Betul-betul tak sangka model-model yang dia upah kemalangan. Jurugambar pula dah dalam perjalanan ke butik. Jomlah..."

Melia dan emaknya berpandangan. Marzuqi membatu saja dengan pemain muziknya.

"Qi," tegur Remy.

Marzuqi tersenyum ke arah Remy.

"Jom tolong orang. Sambil tu kita belajar benda baru. Berlakon, nak?" ajak Remy yang sudah turun daripada van mewah yang dipandu Rahmah.

Marzuqi diam.

Remy menunggu dengan sabar. Agaknya, pemuda itu sedang berfikir.

"Menolong orang tu bagus. Belajar perkara baru tu bagus. Berlakon, bagus tak?" tanya Marzuqi setelah seminit diam.

"Eh, bagus. Sebab kalau kita pandai berlakon, kita boleh gunakan kemahiran tu bila perlu. Contohnya bila ada persembahan teater di sekolah, kita boleh jadi pelakon. Macam mana, nak tak?" kata Remy.

"Ok, jom," Marzuqi bersetuju.

Melia dan ibunya berpandangan. Akhirnya, mereka setuju lalu ikut sama ke butik Ros yang terletak di kompleks membeli-belah Mines.

Ramalan Melia benar. Marzuqi termangu sahaja dalam busana songket pengantin lelaki berwarna kelabu muda. Rizqi yang memakai busana sedondon dengannya sahaja yang beraksi cemerlang di depan kamera.

"Qi, senyum sikit. Kalau tak nak senyum, pandanglah kamera," pujuk ibunya.

Awal tadi, waktu Remy dan Melia menggayakan sepasang persalinan songket berwarna kuning cair, kemudian biru gelap, jurugambar dengan mudah sahaja mendapatkan pose menarik.

"Qi, kau boleh tolong orang tak? Kalau kau senyum, nampak gembira bila pakai baju tu, orang tahulah baju tu selesa dipakai. Tak panas. Sebab tu kena senyum bila tangkap gambar," Remy yang sudah memakai busana hijau cuba memujuk.

Terkebil-kebil Marzuqi. Kemudian dia meregang otot bahu dan tengkuk.

"Ya, baju ni selesa. Ok aku akan beritahu kalau ada orang tanya," katanya.

Kemudian dia tersenyum. Mujurlah Rizqi memang sudah sedia, lalu ikut senyum.

Klik, klik dan klik. Jurugambar dapat juga aksi yang dimahukannya.

"Rizqi, kau gantikan aku untuk busana hijau ni. Aku bawa Qi rehat dan makan di kedai sebelah," bisik Melia.

"Eh Auntie dah sediakan makanan banyak di pantry, Melia bawalah Qi berehat di situ ya. Puan Wina, jemput makan, mama baru bawa masuk makanan tadi," jemput Ros sambil membantu Melia menanggalkan rantai dan subang.

Rizki segera memakai baju songket hijau yang tak jadi dipakai Melia. Kemudian hiasan di kepalanya ditukar oleh pembantu Ros sambil jurusolek merias lagi wajahnya.

Remy yang sudah siap menunggu sahaja di kawasan penggambaran.

"Eh, adik. Apa nama tadi? Remy, kan?" panggil jurugambar.

"Ya?" sahut Remy yang asyik merenung Rizki yang sedang memakai dokoh di baju.

"Jom kita tukar tempat bergambar. Kita guna pelamin kecil di depan tu? Cuba je kalau-kalau cantik," ajak jurugambar.

Remy ikut sahaja. Tak perlu disuruh, ringan sahaja tulangnya membantu jurukamera mengangkat lampu-lampu dan peralatan sokongan. Gembira jurugambar memujinya.

"Ha, adik, kita tangkap gambar awak berdua di sini, OK?" tanya jurugambar pada Rizki bila gadis itu muncul dari tempat jurusolek.

Rizki mengangguk, Remy ternganga. Kalau dalam busana kelabu tadi rambut Rizki disanggul, kali ini rambut degilnya berjaya dipintal jurusolek. Beralun hingga ke bahu, rambut Rizki juga dirias bunga segar selain tiara.

Hati Remy berdebar bila disuruh berdiri lebih dekat dengan Rizki. Wah, nak ajak Rizki jadi teman wanita pun takut, inikan pula teman hidup. Tapi aku suka perasaan ni, perasaan yang aku dapat bila Rizki ada di sisi aku, Remy cuba bertenang.

"Tak menariklah buat pose tegak sahaja begitu. Adik berdua boleh duduk tak? Macam betul-betul bersanding," cadang si jurugambar lalu didekatkan kerusi mewah panjang yang tadi cuma jadi prop latar belakang.

Rapat, dekat, dapat? Oh Rizki, jangan ke situ, Rizki memarahi dirinya kerana tak semena-mena buah fikiran itu yang muncul di jemalanya.

Mereka duduk.

"Dekat sikit?" mohon jurugambar lagi.

Mereka mengesot.

"Adik pengantin perempuan, letak tangan di dada pengantin lelaki. Sentuh sikit saja, biar nampak ada kelas, tak mahu nampak macam menggoda pula," panjang lebar jurugambar beri arahan.

Rizki sentuh sedikit dada Remy.

Sesuatu berlaku pada sel tubuh Remy yang diwarisi daripada bapanya yang bukan manusia.

Rizki mengesan sedikit getaran. Dia cuba menenangkan diri, sangkanya ada bahagian dirinya yang gagal dikawal seperti biasa, hanya kerana dia terasa sesuatu yang luar biasa bila terlalu dekat dengan Remy. Namun getaran kecil itu berterusan, dan dia tahu bukan dia yang boleh dipersalahkan.

"Ketawa-ketawa sikit," saran jurugambar.

Terus kedua-dua mereka ketawa besar.

"Eh itu suka sangat! Abang nak kau berdua senyum nampak gigi je..." getus si jurugambar, tapi dia ikut tergelak.

"Doh Doh lah kau ni, lawak sangat ke aku pakai macam ni?" Rizki cuba serius.

"Eh kau yang ketawakan aku. Aku rasa kau cantik pakai macam ni, Riz. Sesuai lah dengan aku," Remy bergurau, hambar, sebab ada sesuatu sedang pasang muzik mambo dalam dadanya.

Dokoh yang berangkai di baju Rizki mula tertarik ke arah tubuh Remy. Seolah lelaki itu magnet yang kuat, dan besi-besi di sekeliling mereka mula bergerak, objek besi yang ringan mula mendekati Remy.

"Pandang muka pasangan pula," arah jurugambar.

Rahmah yang sedang memerhati mula nampak beberapa objek ringan bergerak di sekeliling pelamin. Tepak sirih dan bekas air mawar mula bergegar di atas dulang.

"Ok, cukuplah tu, jom makan!" laung Rahmah bila nampak lampu jurai di butik mula berbuai ke arah pelamin yang diduduki Remy dan Rizki.

Rahmah yakin ada sesuatu yang tak elok bakal berlaku jika penggambaran diteruskan. Mungkin Remy seperti Rizki, tubuhnya akan membuat sesuatu yang aneh jika terlalu gembira. Kalau Rizki keluarkan cahaya, Remy entahlah apa pula, tapi Rahmah pasti gerakan kecil objek-objek besi di sekeliling pelamin ada kena mengena dengan DNA dua hidupan separuh manusia di situ.

Jurugambar yang tidak perasan apa-apa menangkap beberapa gambar terakhir. Remy dan Rizki yang masih tersenyum memandang satu sama lain mengubah pose sepantas mungkin.

"Ok siap!" laung jurugambar.

Rahmah segera meneliti kawasan sekitar. Dokoh di baju Rizki tergantung seperti biasa, lampu jurai di atas pelamin melurut ke bawah seperti selalu manakala sirih junjung tidak lagi condong.

Remy8Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon