#Remy8 - Bab 17

59 6 0
                                    

"Riz? Minum ni," Melia segera hulurkan air sirap.

Sotong yang cuba ditelan Rizki bagaikan dikurnia kehidupan semula, bukan nirvana. Ia enggan melepaskan tekak Rizki lalu membuatkan gadis itu terus terbatuk-batuk.

Bila Rizki tidak menjawab, Melia mula panik. Dia menggesa Rizki minum tapi Rizki menggeleng.

Dalam beberapa saat muka Rizki berubah warna. Tanpa berlengah Remy tarik sahabatnya itu agar berdiri. Kemudian dipeluknya Rizki dari belakang dengan kedua belah tangan, kemudian disentaknya perut gadis itu.

Heimlich manouver, yang sebenarnya tidak perlu. Rizki sudah hampir ok, dan sotong tadi sudahpun ditewaskannya. Wajahnya merona kerana malu mendengar deklarasi tidak rasmi Remy tadi.

Dan sekarang, dalam keadaan Remy masih memeluknya dan Melia pula masih terbeliak memandang mereka, Rizki teringin sangat mahu melebarkan sayap dan melenyapkan dirinya.

"Er, terima kasih Remy," tegurnya. Dengan canggung dileraikan tangan Remy yang melilit pinggangnya.

"Sepatutnya bila buat bantuan kecemasan macam ni, makanan yang tersekat tu akan tersembur keluar. Kau dah telan ke makanan yang buat kau tersedak tadi?" tanya Remy. Lelaki itu masih risaukan keadaan Rizki.

Rizki angguk. "Ya. Sedap sotong masakan Melia, rugilah kalau aku luahkan..."

Gadis itu segera duduk. Melia dan Remy ikut duduk. Pembantu rumah, tanpa diundang muncul dengan semangkuk buah jambu batu yang sudah dipotong.

Melia berdehem. "Cakap trntang luahan ni, boleh aku tanya? Remy, tadi kau bergurau atau meluah perasaan sebenar kau pada Rizki?"

Aduh, keluh Remy. Bukan dia tak jelas motif Melia bertanya begitu. Sejak mereka berkenalan tadi minat Melia padanya agak ketara. Remy yang sudah biasa dikejar pelajar perempuan itu kini cepat mengenal isyarat kaum Hawa.

"Sebenarnya Melia, aku tadi cuma mengulang semula apa yang arwah Mak Ngah aku selalu kata. Dari kami kecil dulu dia gelarkan Rizki ni teman wanita aku. Sebabnya, di sekolah rendah aku tak ramai kawan. Rizki ni seorang sajalah teman," Remy melalutkan sebuah jawapan.

"Tapi sekarang Remy dah ada teman wanita. Dua pula tu. Kembar!" Rizki cuba bergurau.

"Mereka kawan sajalah," tingkah Remy.

"Ya lah tu. Meraung Mia dan Nia kalau tahu kau cakap begitu," usik Rizki lagi.

"Takkanlah..." Remy menolak.

Melia memerhatikan dua sahabat itu berdebat dan otak geliganya dapat mencerna, kalau bukan Mia dan Nia menjadi saingan berganda, Rizki seorang sudah cukup untuk menahan Remy daripada memberi perhatian kepada seorang Melia Khairunnisa binti Rahmat.

Melia tahu dia tak perlu membuat kira-kira lagi. Dia pasti kalah.

"Sudahlah kau berdua. Jom kita cuba main lagu lain pula lepas ni. Kalau dapat buat video untuk dua lagu,  ada peluang kita buat duit di Youtube," katanya, bersedia untuk jadi rakan sepasukan sahaja.

***

Malam itu Melia menelefon Rizki.

Melia: Dia sukakan kau.

Rizki: Terpaksa, sebab aku kawan baik dia.

Melia: Bukan suka yang macam tu. Suka yang kalau boleh esok nak ajak pergi temujanji berdua saja.

Rizki: Banyaklah kau punya suka.

Melia: Aku minta maaf ya sebab siang tadi aku cakap aku nak dia.

Rizki: (Ketawa)

Melia: Hoi. Aku serius ni. Aku tak tahu yang dia sukakan kau. Masa dia selamatkan nyawa kau tadi...

Rizki: Mana ada? Aku dah ok, dia je nak jadi Boy Scout.

Melia: Dia betul-betul risaulah. Aku tengok muka dia 'ketat' je bila kau tak dapat bersuara.

Rizki: Banyaklah kau punya ketat.

Melia: Rizki! Apa salahnya lalau dia suka kau? Sebab beza umur setahun, kau tak nak layan?

Rizki: Bukan... sebabnya, dia sahabat baik aku. Peliklah kalau jadi boyfriend pula! Pelik. Aneh. Ganjil. Tak selesa.

Dan ayat itulah yang sampai ke telinga Remy. Tangannya yamg hampir mengetuk pintu bilik Rizki untuk bertanyakan sama ada gadis itu mahu rasa sandwich yang baru dibuatnya, tergantung di udara.

Rizki terus berceloteh di telefon, melayan panggilan Melia.

Remy berundur, kembali ke dapur.

"Hah, kata tadi nak panggil Riz. Mana dia?" soal Rahmah yang sudah mula menjamah sandwich telur garapan Remy.

Remy paksa dirinya agar senyum. "Dia sibuk bercakap di telefon. Kita berdua sajalah makan dulu," ajaknya.

Rahmah akur, namun masuk minit kelima Remy membisu, ditanyanya juga.

"Kenapa muka tu gerhana je? Rizki ada buat Remy terasa ke? Ada apa-apa jadi ke, siang tadi?"

Selesai senafas, Remy meluah perasaan. "Kak Rahmah, pelik ke kalau sahabat baik macam saya dan Rizki bercinta? Tak layak ke sahabat baik jadi kekasih?"

Rahmah terkedu. Wah, berat ni. Yang aku, mama dan Rahman risaukan rupanya tak tersasar, desisnya dalam hati.

"Tak pelik, Remy. Malah bertuahlah mana-mana sahabat yang juga jadi pasangan kekasih.  Cuma, kalau masih budak-budak,  memanglah aneh sikit. Sebab masih banyak perlu didahulukan. Pelajaran satu hal. Kemudian, tak nak ke Remy mengembara dulu, berkenalan dengan lebih ramai kawan?" tanya Rahmah.

Remy geleng. "Bagi saya ada Rizki seorang pun dah cukup," katanya.

Rahmah senyum. "Bagi Remy mungkin begitu. Tapi bagi Rizki, bagaimana? Tahun depan dia akan ke kolej, kemudian universiti. Dia akan berkenalan dengan ramai orang. Mungkin dia tak mahu terikat. Mungkin berapa ramai sekalipun orang baru dia kenal, dia takkan pilih sesiapa pun jadi teman istimewa," tambah Rahmah.

Remy keliru. Yang dia tahu, perasaannya pada Rizki tak pernah berubah sejak zaman sekolah rendah dahulu. Lima tahun dia memendam perasaan, sangkanya lepas Rizki selesai sekolah menengah, memang waktu yang sesuai untuk dibicarakan.

Memikirkan kemungkinan Rizki bertemu orang baru dan memilih untuk bercinta dengan seseorang yang bukannya dia, membuatkan dia celaru.

"Habis tu, kalau saya sukakan Rizki lebih daripada sekadar sahabat, macam mana kak? Takkanlah saya nak biarkan orang lain yang dapat?" keluhnya.

Sandwich yang dibuat mengikut resipi Nia itu, tak jadi Remy makan.

Rahmah cuba serius. "Rizki, malah mana-mana gadis pun, bukanlah sesuatu yang boleh Remy 'dapat'. Ada satu ayat yang kakak suka tentang percintaan ni. Bunyinya lebih kurang lah ya, kalau sayang, lepaskan," Rahmah memetik kata pujangga.

Riak wajah Remy menjadi muram durja. Hampir tergelak Rahmah melihatnya, lalu cepat-cepat dia menghulurkan secawan milo yang masih berasap.

"Kalau dia juga sayangkan Remy, dia pasti akan terbang semula ke pangkuan. Jadi Remy kena biarkan Rizki lalui hidupnya. Kalau ada jodoh, mesti dia akan kembali pada Remy. Yang kakak tahu, walau apa pun jadi, Rizki akan tetap setia bersahabat dengan Remy," nasihat Rahmah panjang lebar.

Remy terasa nak menangis di situ juga.

"Ha! Makan lewat malam sedap-sedap tak ajak aku ya? Sampai hati! Tak sayang aku ya?" sergah Rizki yang tiba-tiba sahaja sudah muncul di dapur lalu terus menerpa ke meja.

"Sayang! Siapa kata tak sayang?" dalam sebak Remy membalas.

Rahmah pura-pura fokus menuang milo ke dalam cawan.

"Ih, geli lah!" Rizki membalas sambil tergelak-gelak.

"Doh Doh la kau ni, nah makan sandwich," marah Remy, cuba menenangkan gelora perasaan.

"Wah! Sedap ni!" kata Rizki lalu mula makan dengan agak lahap.

"Perlahan sikit makan tu. Ini bukan lumba lari. Ke, kau nak aku buat Heimlich manouver lagi?" perli Remy.

Cepat-cepat Rizki melambatkan kunyahan.

Remy8Onde histórias criam vida. Descubra agora