#Remy8 - Bab 6

74 13 12
                                    

Rizki mendapat keputusan cemerlang! Dan Remy sudah bersedia dengan sebuah buku karya penulis kegemaran Rizki, buku Harry Potter keempat yang baru sahaja berada di pasaran.

Remy tahu Rizki teringinkan buku itu sejak keluarnya berita tentang sambungan kisah ahli sihir remaja itu tersebar, tapi segan hendak meminta-minta dengan ibubapa angkatnya. Ya, Remy tahu Rizki pasti akan dapat keputusan yang baik jadi sejak awal tahun lagi dia sudah menabung. Mak Ngah pula bekerjasama dengan membawanya ke kedai buku seawal jam 8 pagi pada hari pertama buku itu berada di pasaran.

Remy beratur selama dua jam untuk mendapatkan buku itu. Dia tidak minat langsung Harry Potter. Dia lebih sukakan fiksyen aksi. Kalau siri buku X-Venture, itulah pilihannya. Ataupun, komik Jepun yang sudah diterjemah.

Bagi Remy kisah ahli sihir dan hidupan mitos, tak masuk akal sahaja.

"Tahniah Riz!" kata Remy pada waktu rehat itu, sambil menghulurkan buku yang dibelinya itu.

"Hoi Remy, eh, apa ni?" Rizki menegur Remy seperti biasa, walaupun dia sudah mencapai status popular di sekolah kerana keputusan cemerlangnya. 

Bulat mata gadis itu melihat naskhah di tangannya. "Whoa! Remy! Aku baru nak pergi kedai buku hujung minggu ni. Mama kata, aku boleh minta 10 buah buku! Tapi aku dengar buku ni dah habis, bagaimana boleh pula kau dapat ya?"

"Aku pun ada sakti juga. Macam Harry Potter kau tu..." jawab Remy mudah. Ya, mungkin dia tidak pernah membaca apa-apa tentang Potter tapi kalau setakat nama watak, ada beberapa yang kerap disebut Rizki, dan Remy tidak melupakannya.

"Ugh, Harry? Aku peminat Draco Malfoy lah. Handsome!"

"Baik kau minat aku je Riz. Aku dekat," balas Remy, entah bagaimana dia boleh memberanikan diri menuturkan ayat sebegitu. 

"Kalau kau, aku risau la Remy. Sebab kau lagi bahaya daripada Draco Malfoy," cepat sahaja Rizki membalas, tersengih-sengih pula tu.

Jantung Remy yang tadinya berdebar kini diselubungi perasaan ingin tahu. Makin laju derapnya. 

"Apa yang bahayanya?" 

Rizki mulalah tergelak. Ditariknya Remy supaya duduk lalu dihulurkan nuget ayam yang dibawanya dari rumah.

"Kau... species berkepak!" bisiknya.

"Hampeh kau Riz!" marah Remy.

****

"Dah sedap kau main lagu Unforgiven ni, Remy," ulas Rizki setelah mendengar alunan gitar yang dipetik remaja itu.

Pembantu Mak Ngah, Kak Sulastri muncul dengan sedulang air dan kudapan. Dia baru sahaja mula bekerja, sejak Mak Ngah tidak sihat, akhir-akhir ini.

"Lima bulan aku berlatih versi penuh ni. Mak Ngah kata bila dengar aku main, hilang lenguh-lenguh di badannya," balas Remy.

Rizki mahu bertanya sesuatu, namun didiamkannya. Setelah membisu seketika, diteruskan jua niatnya.

"Kau rasa, Mak Ngah kau tu ok ke tak?" tanya Rizki.

Remy menghela nafas panjang. "Aku risau sebenarnya, Riz. Baru je ibu aku meninggal. Takkanlah Mak Ngah pun sakit juga. Tapi mereka kembar. Aku dah google tentang kembar-kembar seiras ni. Mereka..."

Ayat Remy segera dipotong oleh Rizki. "Eh, Remy, jangan percaya sangat Google. Kau kena doa banyak-banyak, tu je."

Remy mengangguk.

****

Ros dan Rithauddin gusar. Perkhabaran yang dibawa oleh Rizki minggu lepas, telah disahkan sendiri oleh empunya badan.

"Betul kata Riz, Mak Ngah si Remy, ada barah. Sama seperti kakaknya, ibu Remy. Saya dah agak ia akan terjadi selepas kita dapat tahu tentang kesan fizikal warga 8 pada manusia... Tapi cepat betul mereka nak uruskan pemergian dia," keluh Ros.

"Terpaksa, kalau dibiarkan, matilah dia. Terpaksalah Remy berpisah lagi dengan orang kesayangannya..." kata Rithauddin pula.

Rizki mencelah. "Betul ke, kalau Mak Ngah tiada nanti, Remy akan dihantar ke Pulau Pinang, tempat bapa saudaranya?"

Ibu bapanya mengangguk. "Ya, begitulah. Pak Lang dia tu, adik saudara kepada Mak Ngah Remy. Dia tak pernah tahu sejarah ibu dan ibu saudara Remy dengan 8. Mereka, saudara yang jarang berjumpa. Tapi sudah disiasat, dan lelaki itu baik orangnya. Bujang terlajak, tak ada saudara lain selain ibu saudara Remy dan Remy sendiri."

Rizki terdiam. Pasti sukar untuk Remy terima semua ini. Tapi demi menyelamatkan nyawa Mak Ngah, dia dan Remy terpaksa berpisah. Begitu juga yang pernah terjadi dengan ibu Remy sendiri.

Kadang-kala Rizki tidak tahu, kehadiran dia dan Remy di planet biru ini, bagus atau bala untuk manusia.

"Riz, mama dan papa terpaksa lepaskan Rizki kalau Remy tidak lagi tinggal di sini. Riz, sedia?" tanya Rithauddin.

Pantas sekali Riz mengangguk. "Riz dah lama sedia. Riz tahu, Remy, tanggungjawab Riz."

****

Deringan telefon mengejutkan Remy yang sedang asyik memetik gitar.

Rizki: Hoi Remy. Kepak kau masak apa hari ni? BBQ ke?

Remy: Gulai macam biasa, Riz.

Rizki: Remy, aku dapat masuk asrama la. Macam kakak dan abang!

Remy: ... Tahniah Riz. Tahniah!

Rizki: Jom pergi Burger King hujung minggu ni. Aku belanja kau Whopper.

Remy: Ok!

Rizki: Kau nak tak nota lagu Wherever I May Roam?

Remy: Sedap juga lagu tu.

Rizki: Hujung minggu aku bagi. Kita berlatih sama-sama.

Remy: Ok! Eh, Riz. Kau masuk asrama tu, kau suka ke?

Rizki: Mestilah! Aku nak sama macam abang dengan kakak, barulah Papa dan Mama bangga.

Remy: Kau tahu kan, kalau tak pergi pun tak apa. Kau dah sama saja macam anak kandung mereka.

Rizki: Aku tahu lah. Tapi aku pun nak sama berjaya macam mereka.

Remy: Sama berjaya macam abang kau yang bila balik rumah, asyik tengok TV dan biarkan semua lampu rumah terpasang dan membazirkan elektrik tu?

Rizki: Haha! Ya! Ah dia memang loser, tapi aku sayang dia. Dia pelari pecut yang terpantas di sekolah sekarang tau.

Remy: Ya lah Riz. Dia baik sebenarnya.

Rizki: Ya, tapi kau masih kena tolong aku kalau aku minta kau curikan seluar katok dia. Faham?

Remy: Bye Riz!

Remy8Where stories live. Discover now