#Remy8 - Bab 11

65 5 0
                                    

Dalam perbualan telefon, Rizki dan Remy tergelak-gelak. Petang itu masing-masing senggang, dan Remy baru selesai peperiksaan PMR.

Remy: Betul ke nenek kau beri petua, kalau luka, letak kopi cepat baik? Bukan ke kalau letak kopi, jadi cair?

Rizki: Betul lah. Orang dulu-dulu semua buat macam tu, katanya.

Remy: Ok, kebetulan, tangan aku luka ni. Melecet sebab dah lama tak main gitar bass. Nak letak berapa sudu serbuk kopi?

Rizki: Sudu apanya, letak secubit sudahlah. Janji terkena sedikit pada bahagian yang luka tu. Tapi, apa jadi lepas tu, aku tak jamin, ok?

Remy: Ok, aku ke dapur ni, ambil kopi.

(Seketika kemudian...)

Remy: Riz... Ada sesuatu yang pelik berlaku.

Rizki: Apa?

Remy: Pedih luka di jari aku ni, mula menghilang. Aku sekadar sentuh sikit saja serbuk kopi ni. Tapi ia kopi 3-dalam-1...

Rizki: Wow, menjadi!

Remy: Hei, kau sendiri tak pernah cuba ya?

Rizki: Pernah! Luka aku baik sendiri esoknya. Betul!

Remy: Hmm. Ini menarik. Mungkin aku patut tanya Pak Lang. Atau Cikgu Saidi.

Rizki: Alah, mereka akan kata memang petua orang tua begitu. Untuk sesetengah orang, menjadi. Untuk sesetengah lagi, tak serasi.

Remy: Kiranya, kita berdua serasi lah, kan?

Rizki: Memang!

Remy: ... Kita memang serasi berdua, kan?

Rizki: Haha, kau suka main-main perkataan macam tu, kan?

Remy: Ya, main-main. Dah lah, aku nak basuh lah jadi ni. Berbau kopi. Baik aku minum.

Panggilan berakhir.

Remy pandang luka kecil di jarinya. Makin tertutup pula koyakan pada kulitnya. Dia tidak menjangka petua itu benar-benar berkesan. 

Dia memandang lagi lukanya. Jantung jejaka berusia 15 tahun itu makin berdebar. Dia memerhatikan sahaja kulitnya, satu milimeter demi satu milimeter, mula bercantum semula.

Dia perlu telefon Riz! Maaf, dia perlu membuat panggilan video kepada Riz!

Aplikasi panggilan video itu diakses lalu nombor telefon Rizki dihubungi. Dia bernasib baik kerana Rizki segera menjawab.

Wajah comel gadis itu serta merta muncul di skrin telefon Remy. Rambutnya lebih panjang daripada biasa, membuatkan keayuannya terserlah.

"Riz! Riz, kau tengok ni!" kata Remy tanpa 'hello'. Ibu jarinya disuakan ke kamera telefonnya.

Berkerut Riz memandang. "Wah, Remy! Cantiknya jari kau. Boleh masuk pertandingan Ibu Jari Tercantik Di Dunia," usik Rizki sambil julingkan mata.

"Doh Doh! Tengoklah jari aku betul-betul! Tengok lama-lama."

Rizki memandang lagi, tekun. Dan akhirnya dia ternampak apa yang dimaksudkan Remy.

"Awal tadi, berapa besarnya luka kau tu?" soalnya, masih terus memandang.

Remy yang masih menyuakan ibu jari ke kamera telefon membalas. "Kesan melecetnya lebih satu sentimeter. Baru sekejap aku sentuhkan luka tu ke kopi. Dah kurang satu sentimeter sekarang, kan?"

Rizki menggeleng. "Dah nak tertutup dah, Remy. Dah macam tak ada luka pun di situ."

Segera Remy menarik jarinya untuk diamati sendiri. Allahuakbar. Benar kata Rizki.

"Luka kau dulu, macam ini ke?" tanya Remy.

"Luka aku dulu, kecil tapi dalam. Luka masa siang ikan. Cepat juga lega tapi kesan luka tu, esoknya baru baik," cerita Rizki.

"Riz, aku ni makhluk asing ke?!" panik pula Remy.

Rizki teringin benar untuk terbang sahaja ke bilik sahabatnya itu untuk menenangkan Remy.

"Taklah. Takkanlah? Mungkin? Entah... Sebab kau guna kopi segera ke?" menggelupur dia cuba membalas.

Remy melihat Rizki ikut risau dengan keadaannya yang tertekan. Dia segera memujuk diri agar bertenang. Rantai pemberian ibunya, diusap, dan seperti biasa ia segera menenangkannya.

"Agaknya, keturunan aku yang awal-awal jumpa petua kopi ni kot?" Remy cuba meredakan ketegangan.

Rizki tersenyum sedikit. "Haruslah tu! Er, jangan risaulah Remy. Nanti aku tanya mama, dia yang ceritakan pada aku petua tu."

Remy angguk. "Kalau dia beritahu apa-apa, cerita pada aku ya?"

Rizki tunjukkan simbol 'ok' dengan jari-jemarinya.

***

"Mama, papa, kenapa cepat sangat kulit Remy baik lepas sentuh kopi? Kenapa tak ambil masa, macam kulit Riz?" tanya Rizki.

Rithauddin meletakkan minumannya. "Rasanya inilah kelainan antara DNA warga pahlawan berbanding warga bangsawan. Setahu papa, memang kelebihan bangsa pahlawan, seperti Riz, ialah fizikal yang kuat dan pantas. Namun untuk bangsawan, minda mereka jauh lebih cerdas."

Lelaki separuh umur itu terkenang waktu awal dia bertemu dengan warga 8. Riq  pernah menyelamatkan nyawanya dengan menggunakan tubuh sendiri untuk melindungi Rithauddin. Ternyata makhluk asing itu sungguh perkasa malah tangkas pula. 

Namun setelah diperkenalkan kepada dua orang putera 8 yang menjadi tanggungjawab Riq, Rithauddin segera mengesan perbezaan dua spesis planet asing itu. Putera-putera itu lebih cekap dalam menentukan bentuk tubuh mereka. Kalau Riq mengambil masa lebih 24 jam untuk membentuk dirinya agar benar-benar serupa manusia,  dua putera yang turun kemudian itu cuma perlu sejam setelah mendarat di Bumi untuk meniru rupa fizikal manusia. Menurut Riq lagi, organ dalaman pula dapat ditiru dua putera itu dalam masa cuma beberapa hari. 

Kopi atau lebih tepat lagi, kafein, memang jadi pemangkin untuk makhluk itu mengubah fizikal asal mereka. Kopi dicadangkan oleh isteri Riq, Laila setelah Riq meminta wanita itu mencarikan elemen organik yang boleh meransang fizikal manusia. Ternyata serbuk kopi biasa banyak membantu warga 8 itu menyelami dunia manusia tanpa disyakki sesiapa.

Setelah Rithauddin ceritakan apa yang diketahuinya itu kepada Riz dan Ros, dia cuba menganalisa. 

"Tak sangka walaupun bercampur dengan DNA manusia, kelebihan itu ada pada Remy malah berganda pula. Papa sepatutnya berhati-hati ketika nak suruh Rizki biasakan Remy menyentuh kopi. Walaupun kafein dalam kopi itu sesuai untuk bantu warga 8 belajar mengawal rupa bentuk fizikal mereka, tak sangka pula dengan Remy ia membawa manfaat lain seperti boleh membantu sembuhkan luka sepantas itu."

Tiga beranak itu terdiam seketika. 

"Tapi kita terpaksa buat juga tadi, mama, papa," keluh Rizki. "Remy dah pandai bertukang, tempoh hari buat pemukul dram sendiri, sebelum tu buat penggantung baju. Dia suka buat kerja kraf macam Pak Lang dia. Dia perlu tahu jaga diri. Kalau dibawa ke hospital dan organ dalamannya tak serupa manusia, macam-macam masalah boleh jadi."

Kedua ibubapanya mengangguk. Sungguh, mereka sudah mendapat arahan agar dipastikan kewujudan Remy tidak dihidu saintis Bumi. Mereka perlu berbuat apa saja agar kehadiran jejaka istimewa itu terus kekal rahsia.

Remy8Where stories live. Discover now