#Remy8 - Bab 18

43 5 0
                                    

Mereka ke rumah Melia lagi, beberapa hari kemudian. Kali ini, adik Melia, Marzuqi memunculkan diri.

Remy teringat Rizki ada menceritakan tentang Marzuqi padanya sewaktu berjalan pulang dari rumah Melia, kali pertama dia berkunjung dahulu.

"Remy, tadi tak nampak langsung adik Melia. Marzuqi tu, lagi muda daripada kau. Tapi dia pandai main piano tau. Aku pernah tengok video dia main kan lagu Stevie Wonder, Lately, sedap gila," cerita Rizki sebaik sahaja mereka keluar dari rumah Melia.

Ini menarik perhatian Remy. Dia terlupa insiden sotong awal tadi.

"Kau tak pernah jumpa dia?" soal Remy.

"Sekali sahaja waktu keluarganya melawat Melia di asrama. Masa tu keluarga kami berkenalan tapi Marzuqi diam sahaja. Kata Melia, Marzuqi ada Asperger's Syndrome," cerita Rizki lagi.

Itu kali pertama Remy mendengar tentang Asperger's Syndrome. "Apa tu?"

Rizki ceritakan apa yang Melia ceritakan padanya. "Satu keadaan istimewa, kata Melia, Marzuqi macam ada dunianya sendiri. Jadi dia kadang-kadang macam tak mahu berbual. Ada kalau bila berbual, macam tak kena cara. Tapi dia bijak! Dia tak perlu ke sekolah kanak-kanak istimewa. Dia belajar di sekolah bias a, namun sentiasa top 3 dalam kelasnya."

Remy terdiam. "Kiranya dia hebatlah ya," komennya.

Kini, melihat Marzuqi yang memandang Rizki dan dirinya tanpa sebarang kata, Remy teringin benar nak bersembang dengannya.

Seperti Melia, Marzuqi kacak, bergaya dan punya aura seorang terpelajar. Baru habis Tingkatan 3, dia bersantai, bermain ukulele di dalam studio rumahnya.

"Kau berdua dah berlatih dua lagu yang kita pilih minggu lepas?" tanya Melia, tidak sabar mahu menekan kekunci keyboard. Tadi bila memperkenalkan Marzuqi dan mempelawa mereka menjamah kuih, dia sudah katakan yang studio muzik baru saja dibersihkan dan dia mahu merekod video lagi.

The Ghost Who Walks, nyanyian Karen Elson dan Wondrous Place, karya klasik Billy Fury.

Dua lagu itu memang sudah lama Rizki dan Remy mainkan di gitar dan dram. Malah mereka berdua pernah melalak bersama ketika buat panggilan video, beberapa bulan lepas.

"Er, kau berdua tak kisah kan, kalau Marzuqi nak main sama? Dia nak main ukelelenya," Melia memohon. Dia tahu adiknya punya sedikit kelainan, tapi dia berharap rakannya tak kisah.

"Masuk sajalah. Mesti seronok," ajak  Rizki.

Remy juga mengangguk lalu melempar senyum kepada Marzuqi yang masih bermain lagu I'm Yours di hujung studio.

"Qi, jom main sama-sama, lagu Wondrous Place dulu OK?" tegur Melia.

Marzuqi mengangguk sekali.

Melia tekan butang Rakam di telefonnya yang sudah dia letakkan di bucu studio dan mulakan kiraan, lalu dia dan Remy memulakan lagu, sebelum Rizki  masuk dengan gitar. Lagunya ringkas, dan seawal dua rangkap pertama Marzuqi diam sahaja.

Masuk ke bahagian korus, Marzuqi tiba-tiba memainkan segaris melodi yang tidak ada dalam lagu, membuatkan lagu itu berubah susunannya. Namun Remy tidak berhenti memainkan dram, jadi Melia dan Rizki menurut sahaja dengan bahagian masing-masing.

Lagu berakhir. Melia segera menghentikan rakaman.

"Aku suka!" umum Remy tiba-tiba.

Marzuqi yang sedari tadi tidak mahu bertentang mata dengan sesiapa merenung Remy. Kemudian senyuman terukir di bibirnya.

"Sedap running notes yang kau tambah, Qi," ujar Rizki, kagum. Ukulele bukan alat yang biasa digunakan untuk melodi solo, namun Marzuqi buat macam mudah benar saja tadi.

Remy8Where stories live. Discover now