#Remy8 - Bab 20

45 4 6
                                    

Terduduk santai di sebelah kanan sofa, Remy yang kurus, tinggi dan cengkung sedikit itu direnungnya. Ada sesuatu mengusik perasaan rakannya. Biarpun baru seminggu lebih mereka kembali selalu bersua, Rizki sudah terlalu selalu mengintai pergerakan Remy. Kenal sangat bahasa tubuh Remy.

"Kau sayang betul bapa angkat kau. Kau pernah teringat bapa kandung kau? Emak kandung kau? Aku selalu terkenang emak dan ayah kandung aku. Walaupun tak ingat rupa ayah, ada gambar saja," ujar Remy, tanpa segan berterus-terang pada sahabatnya.

Memang pada bila-bila masa Rizki boleh tanya apa saja, dan dia akan menjawabnya. Kecualilah kalau yang ditanya itu tentang perasaan sebenar Remy pada gadis itu.

Memang dalam dunia ini, Rizki sahaja yang membuatkan dia selesa bercerita. Tapi kalau soal hatinya, Remy sangat takut cintanya takkan diterima.

Di seberang sana sofa empuk, kata-kata Remy berdenting kuat dalam jiwa Rizki.

Ya, Rizki sayang dan rindu ibubapanya. Kadangkala tak tertahan, kerana tahu mereka juga terikat dengan tugas, sama seperti dia. Mereka perlu membersihkan nama keluarga. Namun Rizki tak pernah menyalahkan mereka atau sesiapa, tidak ayahnya yang jatuh cinta ketika menjalankan tugas di Bumi, tidak ibunya yang terpaksa mengikut bapanya ke Planet 8 tanpa membawa dia bersama.

Malah ibubapa Remy pun tidak juga biarpun merekalah antara penyebab keluarganya terpisah.

Semua ini salah keadaan.

"Tiap hari aku terfikirkan mereka. Apa mereka buat sekarang. Mereka ingat aku tak. Sihat ke tak..." Tanpa sengaja Rizki meluah.

Remy memandangnya keanehan. "Kenapa gaya kau cakap.. Macam.. Er.. Ibubapa kau hidup lagi ke?"

Astaga. Rizki tersedar dia terlepas cakap. Sungguh dia jadi cuai bila makin rapat dan dekat dengan Remy.

"Er... Aku suka bayangkan mereka hidup. Bukan hilang. Atau apa-apa..." tergagap Rizki menutup rahsia.

"Oh. Hmm. Betul juga. Lebih seronok berangan macam tu. Lagi pun, di syurga nanti pasti jumpa, kan?" balas Remy kembali ceria.

Semudah itu Rizki melupuskan melankolia yang menyelubungi Remy.

"Betul. Kita doa banyak-banyak kesejahteraan mereka. Itu pun cukup buat aku gembira. Ibubapa angkat aku pun, aku harap akan jadi sebahagian daripada hidup aku selama-lamanya. Kak Rahmah, Abang Rahman juga," balas Rizki cuba mengikhlaskan senyumannya.

"Aku bayangkan kalau ayah aku masih hidup, rupa aku sekarang, banyak macam dia. Macam yang mak selalu kata dulu, 'Remy ni tak ubah macam ayah', lepas tu ada saja yang dia kata sama. Rambut aku lah, hidung aku lah, gigi depan aku lah..." Remy mengenang tanpa hiba. Dia rindukan ibunya, namun dia tahu bukan salah ibunya dia jadi yatim piatu di awal usia.

Rizki, yang pernah melihat imej ibubapa Remy melalui Xral terkedu. Memang wajah Remy dan susuk tubuhnya mirip benar bapanya.

Yang tak ada, cuma sayap sahaja.

"Betul lah cakap mak kau tu. Gambar yang kau tunjuk tempoh hari, nampak sama je," kata Rizki, teringat kan gambar yang pernah ditunjukkan oleh Remy suatu ketika dahulu, ketika mereka masih sering berlumba pulang ke rumah Remy untuk belajar main gitar.

Mereka terdiam, memandang TV sambil menghadam perbualan tadi.

"Eh, Melia dah lulus ujian memandu. Esok dia ada di rumah, jom jamming?" ajak Rizki.

"Boleh! Aku nak jumpa Qi juga. Seronok bersembang dengan dia, banyak betul dia sempat belajar tentang muzik di YouTube," Remy bersetuju.

Bila bersembang dengan Remy, Qi macam budak biasa, yang tak ada Asperger's Syndrome, kata Melia melalui pesanan teks siang tadi.

Teringat kata-kata Melia tentang Remy dan Qi, Rizki pasti, itulah kelebihan yang ada pada DNA bangsawan 8 dalam tubuh Remy.

"Riz," panggil Remy.

"Ya?" balas Rizki.

"Kat syurga nanti kita masih sahabat baik ya? Janganlah lupa aku pula bila kau dah jumpa semua ahli keluarga. Luangkan masa untuk kau dan aku, kita berdua saja," mohon Remy.

Bergetar jantung Rizki, iramanya tak sekata.

Tergema kata-kata ustazah di sekolah, Pasangan suami isteri yang soleh dan soleha bukan sahaja akan berbahagia di dunia, malah di syurga kelak. Satu kelas Rizki tersenyum dan tergelak-gelak bila Ustazah Seripah pesan agar pelajarnya berusaha mencari jodoh di kalangan lelaki yang baik dan beriman.

Kemudian terbayang pula Rizki kelibat Remy siang tadi, berpakaian pengantin lelaki, songket ungu bunga tabur, bertanjak dan berkeris. Kacak yang melampaui tahap luar biasa.

Rapat, dekat... Dapat! Amaran Kak Rahmah pula menerjah jemalanya.

Apa ni Rizki! Mengarut semua ni. Remy sahabat baik. Remy tugasan kau. Remy sahaja yang boleh satukan semula keluarga kau! Rizki mulalah nak marah, dan organ dalamannya seolah mahu protes, tidak mahu ikut acuan yang penat dia tetapkan.

"Riz! Kenapa muka kau merah?" gegar suara Remy tiba-tiba.

Berhempas-pulas Rizki mengawal otot, saluran darah dan kebuk jantungnya. Dia juga dapat merasakan dirinya hampir mengeluarkan cahaya kerana itulah yang tubuhnya akan lakukan apabila terlalu suka.

Pada pandangan Remy, wajah Rizki yang tadi merah padam mula kembali normal.

"Haha! Kau ni buat aku risaulah cakap pasal akhirat pula. Janganlah buang tabiat macam ni, Remy," Rizki paksa dirinya bersenda.

Remy terdiam.

"Hei Doh Doh. Mestilah di syurga nanti kita masih bersahabat. Sama macam sekarang. Itu, tak payah tanya kot..." usik Rizki lagi.

Tersengih Remy. Dipandangnya wajah Rizki. Ada sinar dimatanya. Eh, macam ada listrik pula, terlintas begitu di hatinya. Agaknya aku terlalu sukakan Rizki, sampai nampak dia bersinar macam bidadari pula, keluhnya.

"Baguslah. Aku kan, 'Doh Doh Kau Seorang Sahaja'," balas Remy menutup bicara dengan nama yang biasa digunakan dalam emelnya.

"Dan aku pun 'Doh Doh Kau Seorang Juga'," akui Rizki.

Hon pendek kereta yang dipandu Rithauddin mengejutkan mereka.

"Uncle dah sampai!" umum Remy, macamlah Rizki tak kenal bunyi hon kereta bapa angkatnya.

Sebelum beradu malam itu, Remy memaksa dirinya bertahan. Reaksi Rizki, wajah merah padamnya tadi bukti dia tidak begitu gemar bercakap tentang hal berpasangan. Kalau Remy berterus-terang tentang perasaannya, Remy yakin ia pasti ditolak. Remy tak sanggup cintanya ditolak kemudian Rizki jadi enggan terus bersahabat.

Di tingkat atas rumah, Rizki pula teringin mengadu pada Rahmah. Apa yang kakaknya bimbangkan itu, benar. Risiko rahsia Remy terbongkar kini lebih tinggi, kerana Remy kini mampu menggugat disiplin diri Rizki.

Dalam malam yang haru, Rizki mengaku, Remy memang mampu membuat kalbunya rasa tak menentu. Dibaringkan tubuhnya yang lesu. Dibiarkan jantungnya meleper, perutnya menggeleber dan anggota badannya lega meleleh.

Remy tanggungjawab kau. Kau dah berjanji akan menjadi pahlawan pengawalnya. Dan walaupun dia tetap sahabat, kau cuma itu, Rizki. Kau cuma penjaga Remy, sebelum tertidur, Rizki mengingatkan diri sendiri.

Remy8Where stories live. Discover now